CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, February 27, 2008

BAB 4













Waktu rehat tiba. Amran bergegas keluar dari kelasnya. Sambil menjinjing bungkusan ubi kayu rebus yang dibekalkan oleh emaknya, dia menuju ke arah rakan-rakannya yang berkumpul di tepi pagar sekolah. Ketika itu, mereka sedang leka memperhatikan rakan-rakan yang lain bermain bola sepak di tengah padang. Amran mendekati mereka secara senyap-senyap. Kemudian, Amran duduk di sebelah rakan sekelasnya, Said.


“Said, kamu nak rasa ubi rebus?” Amran mempelawa rakan sekelasnya itu. Said terperanjat. Dia segera menoleh ke arah Amran. Dia tidak sedar akan kehadiran Amran. Bila Amran berada di situ pun tidak disedarinya. “Kamu nak rasa ubi rebus?” tanya Amran sekali lagi apabila melihat Said terpinga-pinga seolah-olah tidak mendengar pertanyaannya yang pertama kali tadi. “Terima kasih sajalah. Saya baru lepas makan di kantin,” jawab Said sambil menggelengkan kepalanya sebagai tanda menolak pelawaan Amran. Selepas itu, dia kembali menumpukan perhatian kepada rakan-rakannya yang sedang bermain bola sepak di tengah padang.


Amran turut memandang rakan-rakannya yang sedang bermain di tengah padang itu. Sambil menonton, tangan Amran membuka bungkusan bekal yang dibawa. Ubi rebus itu telah sejuk. Namun, Amran tetap memakannya dengan senang hati. Kalau dia tidak lalu memakan ubi itu, apa lagi yang boleh mengalas perutnya sehingga ke tengah hari nanti.

Amran mengunyah ubi rebus itu perlahan-lahan. Matanya masih tertumpu ke tengah-tengah padang. Rakan-rakannya di tengah padang itu kelihatan bermain dengan bersungguh-sungguh. Mereka langsung tidak menghiraukan pancaran matahari yang terik. Amran perhatikan bilangan murid yang turut beraksi di tengah padang semakin ramai. Amran memang berasa seronok menyaksikan rakan-rakannya bermain bola. Tetapi, dia tidak berapa minat untuk turut serta kerana dia lebih berminat dalam sukan badminton.


“Gol!” Amran tiba-tiba bertempik keseronokan apabila melihatkan rakan sekelasnya berjaya menyepak bola menembusi gol lawan. Rakan-rakan yang lain bertepuk tangan memberi sokongan. Walau bagaimanapun, keseronokan mereka terhenti apabila loceng yang menandakan waktu rehat tamat berbunyi.


Murid-murid Sekolah Menengah Sri Tanjung yang berada di padang bergerak menuju ke kelas masing-masing. Amran berjalan seiring dengan Said menuju ke kelas mereka. Mereka berdua berada dalam kelas yang sama, iaitu tiga Cergas. Kelas itu dikategorikan sebagai kelas yang terbaik di anatara kelas-kelas tingkatan tiga yang lain. Kebanyakan pelajarnya adalah daripada keluarga yang berada. Oleh itu, pakaian mereka sentiasa kelihatan baru dan licin bergosok. Cuma Amran seorang yang agak ganjil. Pakaian, kasut, beg dan semua peralatan sekolahnya lusuh belaka. Walau bagaimanapun, kelusuhan itu tidak berapa ketara kerana Amran sentiasa menjaga kebersihan pakaian serta peralatan sekolahnya.

Apabila tiba di kelas, Amran terus duduk di kerusinya. Kemudian, dia menyimpan baki ubi rebus yang tidak habis dimakan ke dalam beg. Baki ubi rebus itu akan dibawa pulang. Amran tidak mahu membazir. Kalau dibawa pulang, dia boleh memberikan baki ubi itu kepada ayam atau itiknya untuk dimakan. Sekurang-kurangnya, ayam atau itik itu mendapat habuan untuk makan tengah hari nanti. Tak perlulah ayam dan itiknya itu terkais-kais atau menyudu-nyudu untuk mencari makanan.


“Assalammualaikum dan selamat sejahtera, semua!” guru mata pelajaran bahasa Melayu menegur semua muridnya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kelas.


Ketika itu, ada pelajar yang masih sibuk bercerita dan berbual-bual. Di samping itu, ada juga yang sedang terkial-kial membuat kerja rumah yang belum siap. Malah, ada juga yang termenung sendirian. Kegiatan masing-masing terhenti apabila Cikgu Hashim menyapa.


“Bangun!” Suara ketua kelas lantang meminta semua murid di dalam kelas itu bangun. “Selamat tengah hari, cikgu!” Murid-murid Tingkatan Tiga Cergas memberi hormat serentak.


Setelah itu, Cikgu Hashim memulakan kelas seperti biasa. “Baiklah murid-murid. Hari ini cikgu nak perkenalkan perkataan baru kepada kamu semua. Cikgu setiap orang gunakan perkataan ini dan buat satu ayat. Perkataan yang cikgu nak perkenalkan adalah ‘Glokal’ . Sesiapa yang tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘Glokal’ sila angkat tangan dan berikan maksudnya,” tanya Cikgu Hashim. Para pelajar di dalam kelas itu bertanya sesama sendiri. Tiada sesiapa yang mengetahui apakah maksud perkataan tersebut.


“Glokal bermaksud ilmu atau pengetahuan yang bersifat global dan fikiran yang bersifat local ataupun bersifat ketimuran. Penyatuan maksud kedua-dua penerangan inilah yang memberi maksud ‘Glokal,” jelas Cikgu Hashim panjang lebar. Amran mendengar dengan teliti segala apa yang diajarkan. Namun, sesekali dia mengerling ke arah rakannya yang duduk di meja sebelahnya. Shakir, rakannya itu adalah anak kepada penolong pengurus estet, tempat emaknya bekerja. Amran perhatikan Shakir tersengguk-sengguk hendak tertidur. Amran hanya membiarkan sahaja. Dia tidak mahu mencampuri urusan orang lain. Apa yang diutamakan ialah tanggungjawabnya untuk belajar bersunggguh-sungguh.


“Shakir, cuba kamu ulang apa yang saya ajarkan tadi!” sergah Cikgu Hashim secara tiba-tiba kepada Shakir. Rupa-rupanya Cikgu Hashim juga menyedari keadaan Shakir itu.


Shakir terkejut. Matanya terkebil-kebil. Suara garau Cikgu Hashim benar-benar memeranjatkannya. Kelam-kabut dia berdiri sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rakan-rakan sekelas yang lain tersenyum melihatkan gelagat Shakir. Beberapa orang murid lelaki yang agak nakal di barisan belakang sengaja ketawa kuat-kuat.

Amran tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku. Dia tunduk menghadap buku teks bahasa Melayu yang terbentang di atas meja di hadapannya.


Cikgu Hashim mendekati Shakir. “Shakir, saya perhatikan kamu selalu tidur di dalam kelas. Kamu tak minat belajar lagikah? Kalau kamu mengantuk pergilah cuci muka, jangan tidur dalam kelas!” Cikgu Hashim memarahi Shakir. “Cuba kamu contohi sikap Amran. Dia menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh untuk belajar,” sambung Cikgu Hashim lagi.


Amran agak tersentak apabila mendengar namanya disebut oleh Cikgu Hashim. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Cikgu Hashim dan kemudian, ke arah Shakir. Dia tidak menyangka Cikgu Hashim akan membandingkan dirinya dengan Shakir. Kelas menjadi sunyi dan sepi. Semua murid menumpukan perhatian kepada Amran. Amran berasa malu apabila diperhatikan oleh rakan-rakannya. Shakir turut mengerling ke arah Amran sambil tersengih dengan muka yang merah kerana malu.


Tiba-tiba Shakir bersuara, “Alah, cikgu. Amran memanglah kena belajar bersungguh-sungguh. Dia anak orang miskin. Ayahnya tak kerja. Tengoklah pakaiannya tu! Lusuh saja…tak berganti-ganti. Kalau dia malas belajar, nanti dia jadi macam ayah dia juga.”



Kata-kata Shakir disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan mereka yang nakal. Cikgu Hashim segera mengetuk-ngetuk meja dengan rotan bulu ayam yang dipegangnya. Dia cuba menenteramkan keadaan. Bunyi ketawa anak-anak muridnya terhenti serta-merta. Namun begitu, masih ada kelihatan murid-murid yang tersenyum-senyum, termasuklah Shakir. Shakir terasa bangga kerana dia berjaya memalukan Amran.


“Shakir, kamu berdiri di atas kerusi!” Cikgu Hashim memberi arahan. Katanya lagi, “Ini sebagai salah satu cara untuk menghilangkan rasa mengantuk. Kamu pula, Zaid, Anil dan Karim berdiri. Kamu semua didenda berdiri sepanjang waktu pelajaran ini sehingga loceng berbunyi.”


Shakir dan rakan-rakannya yang nakal itu terkejut mendengar hukuman Cikgu Hashim. Selama ini mereka tidak pernah melihat Cikgu Hashim menghukum anak-anak muridnya. Shakir perlahan-lahan memijak kerusi lalu berdiri di atasnya. Rakan-rakan yang lain hanya berdiri di atas lantai sahaja. Dengan hukuman itu bererti mereka terpaksa berdiri selama satu jam setengah.


“Dengar sini, murid-murid. Hukuman yang saya berikan kepada Shakir dan rakan-rakan kamu yang lain itu sebenarnya masih terlalu ringan. Seseorang yang menghina rakannya yang hidup dalam kemiskinan, sebenarnya dialah yang miskin. Dia miskin dari segi adab dan perikemanusiaan. Orang yang begini, jika tidak diperbetulkan hanya menjadi racun kepada orang-orang yang susah. Sepatutnya kita membantu mereka yang bernasib malang. Jika tidak melalui bantuan kewangan, kita boleh membantu dari segi moral dan nasihat.” Cikgu Hshim memberi nasihat sambil memandang ke arah murid-murid yang lain.

Semua murid tunduk dan membisu. Mereka juga tidak berani menguit. Suasana kelas menjadi sunyi sepi sehingga kalau jarum jatuh ke lantai pun akan kedengaran bunyinya.


Amran menguis-nguis jarinya di meja. Air jernih tergenang di kelopak matanya. Dia sedar akan nasib diri dan keluarganya. Kadang-kadang dia pun hairan bagaimana orang yang miskin sepertinya sering berada di tengah-tengah golongan orang berada. Fikiran Amran terus menerawang mengenangkan nasibnya itu. Akibatnya, dia langsung tidak mendengar apa-apa lagi yang disampaikan oleh Cikgu Hashim seterusnya.


* * * * * * *


Marlina sedang menyapu sampah di halaman rumah. Adiknya, Saiful duduk di tangga memperhatikan kakaknya. Terbongkok-bongkok Marlina meyapu sampah. Sekali-sekala dia tunduk untuk mencabut anak-anak rumput yang baru tumbuh meliar. Berpeluh-peluh membersihkan halaman rumahnya. Walaupun rumahnya berkedaan usang, namun Marlina tidak mahu halaman rumah itu ditumbuhi rumput atau terbiar dan tidak dijaga kebersihannya. Marlina juga tidak membiarkan tin-tin kosong terbiar dan bersepah-sepah. Sebaliknya, tin-tin itu dikumpul dan ditanam. Dia tahu, jika dibiarkan air akan bertakung di dalam tin itu setiap kali hujan turun dan nyamuk pasti akan membiak. Marlina tidak mahu perkara itu berlaku kerana akan mengancam kesihatan sekeluarga.


Selepas menyapu sampah, Marlina pergi pula ke perigi di belakang rumah. Dia menceduk air dari perigi itu dan mengangkutnya ke bilik air di dalam rumah. Itulah salah satu daripada tugas rutinnya. Itulah baktinya kepada keluarga. Jika bukan dia yang mengangkut air, bermakna kolah di bilik air akan kering kontang tidak berisi.


Marlina tidak mahu, malah tidak sanggup melihat emaknya mengangkut air. Biarlah kerja itu dia yang membuatnya. Tambahan pula, emaknya sudah teruk bekerja. Pagi terpaksa terbongkok-bongkok menoreh getah dan mengutip buah kelapa sawit, petang pula terpaksa mencuci pakaian. Dia tahu, emaknya tentu berasa penat setelah mengusung baldi susu getah dari satu pokok ke satu pokok sepanjang-panjang estet itu. Kejam rasanya kalau membiarkan emaknya mengangkut air pula. Kalau nak diharapkan kepada ayahnya, alamat kenalah mereka mandi di perigi yang jauhnya kira-kira 300 meter dari rumah mereka itu.


Pernah suatu ketika, Marlina tidak sempat mengisi air di dalam kolah. Akibatnya, Pak Hilmi marah-marah sehari suntuk. Apabila hendak mandi, Pak Hilmi pergi mandi di perigi sahaja. Bukannya dia hendak menolong mengangkut air. Pak Hilmi selalu membuat sesuatu hanya untuk kepentingan dirinya.


Suasana petang yang cerah telah digantikan dengan remang-remang senja. Keadaan di belakang rumah semakin gelap. Marlina teraba-raba mengangkut air dengan ditemani cahaya suram api pelita yang meliuk-lintuk ditiup angin. Keadaan laluan ke perigi semakin lecak kerana tumpahan air yang diangkut oleh Marlina.


Marlina cuba menyelesaikan tanggungjawabnya itu dengan secepat yang boleh. Kalau diikut-ikutkan, dia sebenarnya tidak larat lagi, tetapi kerana terpaksa , terus digagahinya juga. Ketika itu, air kolah sudah hampir tiga suku penuh.


“Mar, sudahlah tu! Cukuplah air dalam kolah yang dah ada. Tak payah dipenuhkan lagi!” Mak Limah melaung kepada Marlina.


Pada waktu itu, Mak Limah baru pulang dari bekerja dan dia sedang menyiapkan hidangan makan malam. Malam itu mereka akan menikmati hidangan yang agak istimewa. Mak Limah telah membeli beberapa ekor ikan basah petang tadi selepas menerima gaji bulan lepas. Mak Limah membeli ikan cencaru yang digemari oleh Amran dan Marlina. Ikan itu dimasak lemak cili api. Ketika Mak Limah sedang sibuk di dapur, tiba-tiba terdengar suara Marlina menjerit kesakitan dari arah belakang rumah.


Tanpa berlengah, Mak Limah berkejar ke belakang rumah. Sebaik sahaja sampai di situ, Mak Limah mendapati Marlina duduk terjelepuk sambil memegang kakinya. Timba air tergolek di sebelah Marlina. Mak Limah segera memapah Marlina naik ke atas rumah.

Mujurlah kaki Marlina tidak terseliuh teruk. Minyak urut yang lama tersimpan di tepi tingkap dicapai oleh Mak Limah. Kemudian, Mak Senah menyapu minyak tersebut pada kaki Marlina dan mengurutnya perlahan-lahan.


Beberapa hari selepas kejadian, Marlina berjalan terjengkot-jengkot. Kakinya masih sakit. Dia tidak berupaya membuat kerja-kerja yang berat. Oleh itu, selama beberapa hari, Mak Limah dan Amranlah yang terpaksa mengangkut air dari perigi. Mak Limah berasa kasihan melihat Amran terhoyong-hayang membawa timba yang berisi air. Pak Hilmi pula buat-buat tak tahu sahaja. Oleh sebab tidak mahu bertengkar, Mak Limah hanya mendiamkan diri.

0 comments: