CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, February 27, 2008

BAB 3


“Praaanggg!” Bunyi pinggan kaca yang jatuh ke lantai begitu jelas kedengaran. Habis berderai pinggan kaca yang berisi ubi rebus yang baru siap direbus itu.

Mak Limah mengucap panjang. Entah apa yang difikirkannya sehingga menyebabkan pinggan yang berisi ubi itu terlepas dari tangannya. Tangan Mak Limah menggigil-gigil menahan perasaan takut kerana membayangi wajah bengis suaminya. Mata Pak Hilmi membulat. Ditenungnya wajah isterinya itu dalam-dalam seperti isterinya melakukan kesalahan yang amat dahsyat.


Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata dengar kasar, “Apa kena dengan kamu ni, Limah! Pagi-pagi buta begini dah berangan sampai habis kau musnahkan sarapan pagi aku! Apa aku nak makan untuk sarapan ni! Kau nak aku mati kelaparan ke hari ni, Limah! Kau memang tak boleh tengok aku senang! Selalu nak buat aku naik darah je!”


“Maafkan saya, bang. Saya tak sengaja jatuhkan pinggan ni.” jawab Mak Limah lembut. “Ah, kau ni tak habis-habis nak bagi alasan! Dah buat salah tu, mengaku je la!” tengking Pak Hilmi lagi. Selepas itu, dia terus melangkah keluar dari rumah dengan perasaan marah terhadap Mak Limah yang masih berbuku di hati.


Marlina yang terkejut daripada tidur apabila mendengar bunyi suara garau ayahnya dari dapur yang sedang memarahi emaknya. Lantas, dia bergegas bangun dari tempat tidur untuk mendapatkan emaknya di dapur. Dia melihat emaknya sedang terbongkok-bongkok mengutip ubi rebus dan kaca pinggan yang bertaburan di atas lantai rumah usang mereka.


“Mak tak apa-apa ke? Mengapa boleh jadi begini, mak?” tanya Marlina kepada Mak Limah. “Maafkan mak, Mar. Mak tak sengaja jatuhkan pinggan ni tadi. Nanti mak gantikan dengan makanan yang lain ye, untuk kamu adik-beradik sarapan.” jawab Mak Limah. Air matanya bergenang. “Tak mengapa la, mak. Mungkin ubi rebus ini bukan rezeki kita.” jawab Marlina lembut. Tanpa disuruh, Marlina turut membongkokkan badannya untuk membantu emaknya membersihkan lantai yang bertaburan dengan serpihan kaca dan ubi rebus.


Mak Limah tidak berkata apa-apa apabila melihatkan anak sulungnya itu membantu. Jari-jemarinya pantas membersihkan lantai. Sewaktu mengutip beberapa ketul ubi rebus yang sudah dilekati serpihan kaca, hatinya hiba. Makanan untuk mereka bersarapan pagi itu telah musnah. Ini bermakna, tidak ada lagi bahan makanan yang boleh dijadikan sarapan untuk anak-anaknya. Namun, Mak Limah akan cuba berusaha untuk mencari bahan makanan yang boleh anak-anaknya makan untuk sarapan pada pagi itu.




Walaupun hidup mereka sekeluarga ibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tapi hati emak mana yang sanggup melihat anak-anaknya kelaparan. Biarlah diri sendiri yang ikat perut tetapi bukan anak-anak yang dikandung dalam rahim selama 9 bulan..


Kehidupan mereka tidak seperti keluarga-keluarga yang lain kerana selama ini, Mak Limahlah yang menyara kehidupan mereka sekeluarga. Kalau hendak diikut-ikutkan, tanggungjawab untuk menyediakan makan minum mereka sekeluarga sepatutnya dipikul oleh Pak Hilmi. Tetapi, keadaan yang sebaliknya berlaku dalam keluarga mereka. Mak Limah pula yang terpaksa menyara mereka sekeluarga, bukannya Pak Hilmi. Perangai Pak Hilmi semakin menjadi-jadi sejak daripada Amran mengambil keputusan berhenti belajar di sekolah berasrama penuh.


Pak Hilmi sebagai ketua keluarga langsung tidak mempedulikan hal itu semua. Selama dua puluh, iaitu seusia dengan umur Marlina anak sulung mereka, Mak Limah yang mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga daripada Pak Hilmi. Jika Mak Limah tidak berbuat demikian, alamat dapur rumahnya tidak akan berasap.


Selama itulah juga Pak Hilmi tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki. Selain itu, dia juga tidak berusaha untuk mencari pekerjaan tetap. Sebaliknya, Pak Hilmi hanya berharap kepada Mak Limah. Oleh itu, Mak Limah terpaksa bekerja keras mengambil upah menoreh getah dan memungut kelapa sawit setiap pagi. Pada sebelah petang pula, Mak Limah pergi mencuci pakaian di rumah pengurus estet getah, tempat Mak Limah menoreh. Di samping itu juga, Mak Limah menjual kuih-muih kepada penduduk kampung. Begitulah rutin harian Mak Limah. Sepenat manapun dia bekerja, dia tidak pernah mengeluh malah dia begitu cekal mencari rezeki menggunakan kudrat yang dikurniakanNya untuk menyara kehidupan keluarganya terutamanya anak-anaknya.


Walaupun Marlina sudah berusia dua puluh tahun, tetapi dia tidak menyambung pengajiannya ke menara gading. Marlina terpaksa berhenti sekolah ketika dia dalam tahun tiga. Mak Limah yang memaksa Marlina berhenti sekolah. Mak Limah menyuruh Marlina menjaga rumah dan menjaga adiknya, Saiful yang ketika itu baru berusia satu tahun. Apabila Marlina ada di rumah, senanglah Mak Limah untuk bekerja pagi dan petang. Walaupun jauh di sudut hati Marlina ingin bersekolah seperti anak-anak yang lain, tetapi dia akur dengan keadaan kemiskinan yang melanda keluarganya. Dia mahu meringankan beban yang ditanggung oleh Mak Limah. Tidak sanggup rasa hati Marlina melihatkan keadaan emaknya bersendirian memikul bebanan yang sepatutnya dipikul oleh seorang lelaki yang bergelar ayah. Ada ketikanya, linangan air mata membasahi pipi Marlina apabila mengenangkan susah payah emaknya mencari rezeki untuk mereka terus hidup.


Marlina pernah menyatakan hasrat kepada Mak Limah untuk menolongnya bekerja tetapi Mak Limah tidak membenarkan Marlina bekerja. Dia begitu risau akan keselamatan anak gadisnya itu. Mak Limah menyatakan bahawa dia boleh melakukannya tanpa bantuan Marlina.



Amran, adik kepada Marlina, bernasib baik kerana dibenarkan meneruskan persekolahan. Dia kini dalam tingkatan tiga dan akan menduduki peperiksaan PMR. Namun, kasihan Amran kerana tidak seperti murid-murid lain. Dia tidak pernah mempunyai peralatan sekolah yang cukup. Pakaian sekolahnya pula sudah lusuh benar. Manakala beg dan kasut sekolahnya pula sudah terkoyak. Walaupun kasut itu telah dijahit, tetapi jahitan itu tidak tahan lama dan kasutnya kembali terkoyak dan begitulah keadaannya. Walau bagaimanapun, kasut itulah yang terpaksa dipakainya setiap hari untuk ke sekolah.


Amran hanya menggunakan pakaian dan keperluan yang telah dibelinya semasa dia dapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh. Pada masa itu, Amran menggunakan duit biasiswa yang diberikan oleh kerajaan. Setelah dia bertukar ke sekolah harian biasa, semuanya ditanggung oleh Mak Limah.


Segala kesusahan dan kepayahan Mak Limah anak-beranak tidak pernah diambil kisah oleh Pak Hilmi. Dia cuma tahu, keluar pagi dan balik malam. Makanan untuknya pula mesti siap terhidang. Jika tidak, alamatnya naik berang dibuatnya orang tua itu. Hal ini menyebabkan Mak Limah anak-beranak berasa lebih bahagia jika Pak Hilmi tidak ada di rumah. Tambahan pula, jika ada di rumah ada-ada sahaja perkara yang tidak kena pada mata Pak Hilmi. Buat ini salah buat itu salah. Kesimpulannya ada sahaja yang tidak memuaskan hati Pak Hilmi jika dia pulang ke rumah.


Pagi itu, Mak Limah terlewat bangun. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Biasanya pada waktu itu, Mak Limah sudah bersiap sedia untuk ke ladang. Mengenangkan hal itu, Mak Limah bingkas bangun dan menuju ke dapur untuk menjerang air. Terbongkok-bongkok dia menghembus api dapur kayu supaya menyala. Agak lama juga barulah api marak menyala. Kemudian, Mak Limah meletakkan cerek berisi air yang telah usang ke atas tungku. Selepas itu, tangannya bergerak pantas mencapai pisau dari celah dinding. Mak Limah duduk mencangkung sambil mengopek kulit ubi kayu dan memasukkannya ke dalam periuk. Setelah siap, periuk yang berisi ubi kayu itu diletakkan di atas tungku bersebelahan dengan tungku cerek. Api yang marak membakar buntut cerek dan periuk yang memang hitam legam.


Apabila azan subuh berkumandang, Mak Limah segera membersihkan dirinya dan seterusnya mengambil wuduk untuk bersolat. Setelah menunaikan sembahyang subuh, Mak Limah bergegas turun ke tanah untuk ke ladang. Mak Limah membawa peralatan menoreh dan sedikit bekal untuk mengalas perutnya.


Sebelum melangkah pergi, Mak Limah memanggil dan mengejutkan Amran. Amran yang mendengar namanya dipanggil, terus bangun. Kemudian, dia menggerakkan ayahnya, Pak Hilmi supaya bangun. Tetapi, Pak Hilmi tidak segera bangun apabila Amran menggerakkannya. Sebaliknya, dia mengeliat-geliat malas. Kemudian, dia menarik selimut dan menyelubung seluruh badannya. Melihatkan sikap ayahnya demikian, Amran malas mengejutkannya lagi. Amran tahu, kalau dia masih terus mengejutkan ayahnya, silap-silap hari bulan dia akan dimarahi pula. Pak Hilmi silap hari bulan dia akan dimarahi pula. Pak Hilmi pantang betul kalau tidurnya diganggu.
Suasana hening pagi itu dicemari oleh bunyi deburan air mandi Amran. Dia mandi untuk menyegarkan badan supaya tidak kelihatan lesu. Amran tahu kalau badan terasa lesu tentu malas menguasai diri dan sekaligus juga akan menyebabkan dia tidak dapat menumpu sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu, walau bagaimana sejuk sekalipun dia tetap akan mandi setiap pagi.


“Pukul berapa ni, hah?” tanya Pak Hilmi dari tempat tidurnya. “Lagi sepuluh minit pukul 6.30 pagi,” jawab Amran pendek. “Ya Allah! Mengapa kamu tak kejutkan aku, hah?” Tengkingan keras Pak Hilmi menerjah masuk ke telinga Amran.


Amran mendiamkan diri. Dia tidak mahu melayan getusan ayahnya pagi-pagi begitu. Dia tahu jika dia menjawab, persoalan itu akan menjadi semakin panjang. Lebih baik dia mendiamkan diri walaupun dengan berbuat demikian dia dikira bersalah. Memang susah untuk melayan kemahuan dan kehendak ayahnya.


“Kamu memang tak guna! Kamu tak tahukah aku nak bangun awal pagi ini? Pak Musa tu dah menunggu sejak pukul 5.30 pagi tadi lagi. Kamu nak memalukan aku ya? Biar semua orang kata aku tak pernah menepati janji!” kata Pak Hilmi dengan keras sambil membeliakkan matanya ke arah Amran.


Amran tidak berani menentang mata ayahnya. Dia menikus. Amran pasti, ayahnya telah berjanji dengan Pak Musa, rakan karib ayahnya untuk pergi meracik burung. Memang itulah kegiatan yang sering dilakukan oleh mereka.

Setelah puas melepaskan kemarahannya, Pak Hilmi bergegas turun ke bilik air. Hentakan kakinya yang kuat menggegarkan rumah usang itu dan menyebabkan lantai minyak tanah yang diletakkan di lantai dapur bergoyang-goyang dan senget ke kanan. Amran segera membetulkan kedudukan pelita itu. Jika dibiarkan, api pelita itu bila-bila masa sahaja boleh memusnahkan rumah usang beratap rumbia yang bocor di sana sini.


Dalam kesamaran pagi, Amran memperhatikan wajah Pak Hilmi. Ayahnya itu masih kelihatan muda dan masih mampu untuk melakukan kerja-kerja berat seperti bersawah atau menoreh getah. Tetapi, Amran tidak pernah melihat ayahnya bekerja. Apa yang dia nampak, cuma wajah ayahnya yang sentiasa bengis dan kasar. Amran termenung seketika. Kemudian, dia terfikir. Mengapa ayahnya tidak tenang seperti Ustaz Hakam atau seperti Cikgu Afiq? Wajah mereka sentiasa manis. Tutur kata mereka pula teratur dan beradab. Amran sangat kagum dengan kesempurnaan peribadi kedua-dua guru sekolahnya itu. Jika dibandingkan peribadi ayahnya dengan peribadi kedua-dua guru itu, ternyata bagaikan langit dengan bumi bezanya.


Semasa Amran bersiap-siap untuk ke sekolah, Pak Hilmi juga sibuk bersiap. Pagi itu, Pak Hilmi memakai kemeja hijau yang sudah lusuh. Kemarahan Pak Hilmi kepada Amran masih belum reda lagi. Kesejukan air waktu pagi ketika mandi tidak dapat langsung menurunkan api kepanasan dalam dada Pak Hilmi. Hatinya bertambah panas apabila mendapati Mak Limah tidak menghidangkan sarapan pagi untuknya.


“Huh, lembap….semuanya lembap! Aku tak tau apa nak jadi dengan orang dalam rumah ni la!” Pak Hilmi berdengus sebelum menuruni anak tangga rumahnya.


Amran memandang ke arah ayahnya dengan pandangan yang kosong. Dia sudah masak benar dengan perangai ayahnya itu. Di dalam hati, Amran berdoa semoga suatu hari nanti ayahnya akan berubah sikap. Moga-moga doa Amran termakbul.

0 comments: