CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, February 27, 2008

BAB 5


Loceng menandakan tamat waktu persekolahan pada hari itu berbunyi dengan nyaring. Semua murid meluru ke pintu besar sekolah sambil bersorak riang. Namun, ada juga beberapa orang murid tidak memempedulikan bunyi loceng itu. Sebaliknya, mereka mengemaskan beg sekolah masing-masing dan kemudian persi ke dewan sekolah. Mereka semua adalah ahli-ahli Persatuan Badminton Sekolah Menengah Sri Tanjung dan murid-murid yang berminat mewakili sekolah dalam acara badminton. Mereka duduk sambil berbual-bual sementara menantikan guru mereka. Beberapa ketika kemudian, seorang guru lelaki masuk ke dalam dewan.


“Saya minta maaf kerana terpaksa mengadakan perjumpaan tergempar pada hari ini,” Cikgu Mahadi memulakan bicara. Semua murid yang hadir mendengar makluman yang disampaikan dengan penuh minat. “Untuk pengetahuan kamu semua sekolah kita akan menyertai Pertandingan Badminton antara Sekolah-sekolah Menengah peringkat Daerah. Sekiranya berjaya, kita akan mewakili daerah untuk bertanding di peringkat negeri. Pemenang peringkat pula akan bertanding di peringkat kebangsaan,” sambung Cikgu Mahadi . Dia memberitahu berita yang baru diterimanya kepada semua murid yang ada di situ.


Amran merupakan salah seorang ahli persatuan badminton ysng hadir pada tengah hari itu. Dia sangat tertarik hati mendengar penerangan Cikgu Malik sebentar tadi. Semangatnya berkobar-kobar untuk mewakili sekolah. Perutnya yang mula berkeroncong kerana kelaparan tidak dihiraukan lagi. Sebaliknya, fikirannya mula menerawang. Dia membayangkan kegembiraan apabila semua rakan menjulangnya selepas setiap pertandingan. Amran benar-benar tidak sabar lagi untuk mewakili sekolahnya kerana itulah impiannya selama ini.

“Cikgu, bila latihan akan bermula?” spontan sahaja pertanyaan itu keluar daripada mulut Amran.


Pertanyaan Amran itu menarik perhatian murid-murid yang lain. Mereka segera berpaling ke arah Amran dengan pandangan separuh mengejek. Bagi mereka, pertanyaan Amran seolah-olah menunjukkan dia telah terpilih untuk mewakili sekolah.


“Sabar, Amran…..Sebenarnya, bukan mudah untuk kita melepasi berbagai-bagai peringkat sebelum tiba di peringkat kebangsaan. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Dan, untuk pengetahuan kamu semua, pertandingan antara sekolah-sekolah akan bermula dua bulan lagi. Pemilihan akan dibuat semasa latihan intensif selama tiga minggu. Saya akan memilih sepuluh orang pemain sekolah, iaitu tujuh orang pemain utama dan tiga orang pemain simpanan.” Cikgu Mahadi memberi penerangan dengan panjang lebar.


Empat orang murid yang tidak berminat untuk menyertai pertandingan itu, meminta kebenaran untuk pulang lebih awal. Cikgu Mahadi tidak keberatan mengizinkan mereka pulang. Apabila melihat sikap mereka, Amran berfikir sendirian. “Inilah kesempatan yang baik buat aku. Empat orang murid telah menarik diri. Ini bermakna persaingan untuk mewakili sekolah tidaklah terlalu sengit. Aku akan berusaha untuk memastikan aku terpilih nanti.”


Sementara itu, Cikgu Mahadi sebenarnya secara tidak rasmi telah memilih tujuh orang bakal pemain yang akan mewakili sekolah. Ketujuh-tujuh orang murid itu adalah ahli persatuan badminton sekolah. Malah, Cikgu Mahadi sudah biasa melihat mereka bermain dan bertanding dalam pesta sukan sekolah. Tetapi, dia mahu merahsiakannya dahulu. Cikgu Malik mahu melihat prestasi murid-muridnya secara individu. Selain itu, dia juga ingin melihat semangat dan disiplin pemain-pemain yang dibayangkannya itu. Jika prestasi mereka kurang memuaskan atau disiplin dan semangat mereka tidak tinggi, dia tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mereka dan memilih pemain yang lain.


Sambil matanya memandang murid-murid di hadapannya itu, Cikgu Mahadi menyambung penerangannya, “Berbalik kepada soalan Amran tadi, iaitu tentang latihan yang akan diadakan, cikgu rasa kita akan memulakan latihan intensif itu pada petang esok. Kita tidak boleh membuang masa lagi. Cikgu akan membuat jadual latihan dan menampalkannya di papan kenyataan sekolah. Kamu semua boleh melihat jadual itu pagi esok. Walau bagaimanapun, sekiranya ada di antara kamu ingin berlatih pada petang ini, kamu boleh berbuat demikian.”

Kemudian, Cikgu Mahadi dan murid-muridnya itu berbincang lagi untuk seketika.Selepas itu, barulah Cikgu Mahadi membenarkan mereka pulang ke rumah masing-masing. Amran dengan langkah yang longlai berjalan pulang ke rumahnya yang jauhnya kira-kira tiga kilometer itu. Suasana jalan yang sunyi dan lengang ketika itu membuatkan Amran berasa rumahnya terlalu jauh.


Amran sampai di rumah lebih kurang pada pukul 3.00 petang. Sewaktu melangkah memasuki halaman rumah, hatinya berdebar-debar. Dia mendapati basikal buruk ayahnya ada di bawah rumah. Ini bermakna ayahnya ada di rumah. Dia berasa hairan. Mengapa dia perlu berdebar-debar apabila ayahnya ada di rumah? Dia bukannya ada membuat kesalahan. Tetapi, yang nyata, perasaan itu timbul secara tiba-tiba sahaja.


Amran perlahan-lahan memanjat tangga rumah. Di atas rumah, Pak Hilmi sedang berbaring di serambi. Matanya terpejam. Apabila lantai rumah berkeriut, Pak Hilmi mencelikkan matanya. Dia memandang Amran yang baru balik dari sekolah itu dengan pandangan yang tajam. Tetapi, Pak Hilmi tidak berkata apa-apa. Sebaliknya, dia memejamkan matanya semula. Amran berasa lega kerana dia tidak dimarahi atau ditanyai soalan mengapa dia balik lewat dari sekolah..


* * * * * * *


Hari ini adalah hari pertama latihan intensif diadakan. Jam pada waktu itu menunjukkan hampir ke pukul 4.00 petang. Cikgu Mahadi dan murid-murid yang ingin mengambil bahagian dalam latihan itu telah pun berkumpul di bawah sepohon pokok rendang di tepi gelanggang badminton. Amran juga berada di situ.

“Amran, cepat sampai. Kamu tak balikkah?” tanya Sarjit yang masih berpeluh-peluh kerana baru sampai.


“Ya saya tak balik. Saya duduk di perpustakaan sambil menyiapkan kerja-kerja rumah saya. Kalau saya balik, saya bimbang tak sempat pula datang tepat pada waktunya. Lagipun, penatlah berulang alik dengan berjalan kaki,” jawab Amran. Di dalam hati Amran, sebenarnya ada alasan lain yang membuatkan dia bimbang untuk balik ke rumah. Amran takut sekiranya ayahnya ada di rumah, peluang untuk dia datang semula ke sekolah untuk berlatih menjadi tipis.


“Betul cakap kamu itu. Saya yang menaiki basikal pun berasa penat, apatah lagi kamu yang berjalan kaki,” kata Sarjit.


Perbualan mereka berdua terhenti apabila Cikgu Malik mengarahkan mereka semua memulakan latihan. Cikgu Malik memperhatikan Amran berkejar ke tepi gelanggang untuk mengambil raket badminton yang disediakan. Ketika itu, baru Cikgu Mahadi perasan bahawa semua pelatih yang lain mempunyai raket sendiri kecuali Amran. Apabila melihat keadaan itu, Cikgu Malik memuji Amran di dalam hatinya. Baginya, Amran mempunyai semangat yang tinggi untuk mewakili sekolah walaupun serba kekurangan.


Petang itu, Cikgu Mahadi memulakan latihan dengan memberi penerangan yang panjang lebar tentang aspek-aspek yang perlu diberi perhatian, seperti kesihatan dan kecergasan diri. Dia juga menasihatkan murid-muridnya itu supaya bersungguh-sungguh ketika menjalani latihan. Selepas itu, barulah dia mengajar anak-anak muridnya membuat latihan kecergasan.


Pada hari pertama latihan itu, Amran berlatih bersama-sama Sarjit. Kedua-dua mereka mempunyai semangat yang kental untuk mewakili sekolah. Kedua-duanya sama hebat.


Sebelum bersurai kira-kira pada pukul 6.00 petang hari itu, Cikgu Mahadi telah menerangkan serba ringkas tentang jadual latihan. Menurut Cikgu Mahadi, latihan intensif akan diadakan pada setiap hari mulai pukul 4.00 hingga 6.00 petang. Oleh itu, kesemua pelatih dikehendaki hadir setiap hari. Sesiapa yang gagal berbuat demikian tanpa alasan yang kukuh akan digugurkan.


Dalam perjalanan pulang ke rumah lewat petang itu, Amran mengingatkan kata-kata Cikgu Mahadi. Latihan akan diadakan setiap hari, dari pukul 4.00 hingga 6.00 petang. Ini bermakna untuk tempoh hampir dua bulan itu, dia terpaksa pulang lewat ke rumah setiap hari. Mampukah dia berbuat begitu? Apa kata emak dan ayahnya nanti? Tentu mereka akan menuduhnya cuba mengelak daripada membuat kerja di rumah. Apabila memikirkan hal itu, Amran resah gelisah.

0 comments: