CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 5, 2008


Wednesday, February 27, 2008

BAB 12

Selepas kemenangan pada peringkat MSSD, pasukan badminton sekolah Amran bersiap sedia pula untuk ke pertandingan peringkat MSSN. Semua pemain dalam pasukan itu terus bekerja keras. Mereka terpaksa berlatih setiap hari .


Beberapa orang jurulatih yang terkenal di daerah itu turut memberi sumbangan, selain Cikgu Mahadi sendiri. Amran sudah bersedia dengan semangatnya yang berkobar-kobar. Kejayaan pasukannya menjadi juara daerah merupakan dorongan terkuat untuk merebut gelaran peringkat negeri pula. Nama Amran sebagai ayam tambatan sering disebut-sebut bukan sahaja di Sekolah Menengah Sri Tanjung , malah di sekolah-sekolah lain juga.


Pada hari pertama pertandingan diadakan, pagi-pagi lagi Amran dan rakan-rakan sepasukannya telah tiba di dewan badminton tempat pertandingan akan diadakan. Kedatangan mereka kali ini diringi oleh dua buah bas sekolah yang berisi lapan puluh orang penyokong yang terdiri daripada murid-murid Sekolah Menengah Sri Tanjung. Mereka ingin memberi sokongan yang padu di samping melihat pasukan sekolah mereka berentap di gelanggang badminton peringkat negeri.


Amran dan rakan-rakan sepasukannya berdiri tenang di sudut gelanggang. Cikgu Mahadi dan guru besar turut berada di situ. Beberapa orang penonton kelihatan menunjuk-nunjuk ke arah Amran. Sementara itu, Cikgu Mahadi tidak henti-henti memberikan nasihat terakhir kepada para pemain sekolahnya. Sebelum masuk ke gelanggang, mereka memanaskan badan bagi mengelakkan berlakunya kekejangan otot.


Pada waktu itu juga, guru besar menghampiri Amran dan berkata separuh berbisik, “Amran, jika kamu dan rakan-rakan kamu memenangi perlawanan ini, bermakna tempat kamu semua di Sekolah Badminton di Kuala Lumpur itu terbuka luas. Di sana kamu hanya perlu memikirkan soal pelajaran dan badminton saja. Ini peluang baik, Amran. Kamu berjuanglah habis-habisan!” Amran membalas, “Saya akan buat yang terbaik dan saya tidak akan menghampakan harapan cikgu.”


Guru besar cuba membakar semangat yang ada dalam diri Amran. Segala-galanya terbentang luas di hadapan Amran. Sekarang hanya Amran yang boleh menentukan, sama ada dia mahu merebut peluang itu atau melepaskannya begitu sahaja.


Dalam pertandingan peringkat MSSN itu, juara-juara daerah akan bertemu. Mereka akan bertanding untuk menentukan juara di antara juara. Pertandingan peringkat MSSN akan berlangsung selama lima hari.


Sebanyak lapan daerah mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat MSSN. Seperti juga dalam pertandingan peringkat daerah, pasukan dari lapan daerah itu akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Kemudian, dua pemenang daripada Kumpulan A dan dua pemenang daripada Kumpulan B akan bertemu di peringkat separuh akhir untuk menentukan dua pasukan yang layak ke peringkat akhir.


Pada hari pertama pertandingan, beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Sri Tanjung akan bertanding. Amran, Sarjit dan rakan-rakan sepasukan yang lain bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan pada hari itu adalah milik mereka. Di samping itu, corak permainan yang ditunjukkan oleh Amran ternyata menarik minat penonton dan pegawai-pegawai penganjur. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menentukan pemenangnya. Perlawanan di antara juara-juara terus berlangsung dengan lancar.


Setelah menunjukkan kehandalan mereka pada hari pertama, pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung tidak bertanding pada hari kedua kerana pasukan lawan menarik diri dan secara automatiknya mereka memenangi perlawanan tersebut. Jadi, pada hari itu mereka hanya menonton dan melihat pasukan lain beraksi sambil memikirkan strategi dan taktik terbaik untuk mengalahkan pasukan lawan kelak.


Yusof merupakan penonton tetap yang turut memberi sumbangan besar kepada pasukan Amran. Pada hari pertama dan kedua, debarannya tidak begitu terasa. Tetapi, pada hari ketiga, suasana pertandingan amat mendebarkan. Sepanjang perlawanan itu, Yusof hanya sempat bertemu sekejap-sekejap sahaja dengan Amran. Ini kerana kesemua peserta pertandingan tidak dibenarkan keluar dari asrama masing-masing. Para pemain disediakan tempat tinggal dan makanan percuma sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.


Sungguhpun tidak berpeluang menemani Amran, Yusof tetap dapat mengetahui perkembangan diri Amran. Cikgu Mahadi memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Yusof. Cikgu Mahadi memberitahu Yusof yang dia pasti Amran dan pasukannya dapat melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Yusof juga dapat merasakan begitu.


Pada hari ketiga, ramalan Cikgu Mahadi menjadi kenyataan. Amran berjaya melepasi segala rintangan dan mencerahkan peluang pasukan sekolahnya ke peringkat separuh akhir. Begitu juga dengan Sarjit. Kejayaan pasangan beregu pertama pasukan Amran yang berjaya mengalahkan lawan mereka menghentikan debaran di dada pemain-pemain dan penyokon-penyokong Sekolah Menengah Sri Tanjung. Mereka tidak perlu risau lagi. Tempat mereka untuk ke peringkat separuh akhir telah pasti.


Pasukan lawan daripada Kumpulan B yang bakal ditemui oleh Sekolah Menengah Sri Tanjung dalam pertandingan separuh akhir ialah Sekolah Menengah Tuk Bahaman. Pemain-pemain pasukan lawan walaupun seusia dengan Amran dan Sarjit, tetapi badan mereka kelihatan lebih tegap dan kuat. Gentar juga Amran memikirkannya. Namun, dia sering berkata kepada dirinya sendiri bahawa segala-galanya akan ditentukan sewaktu pertandingan nanti.

“Hari ini merupakan hari penentuan sama ada kamu semua mahu meneruskan perjuangan atau tidak. Hanya satu perlawanan lagi yang perlu kamu semua tempuhi untuk menempah tiket ke peringkat akhir. Inilah peluang keemasan yang perlu kamu rebut,” nasihat Cikgu Mahadi kepada pemain-pemain pasukan sekolahnya. Ketika itu, semua pemain sudah berada di tepi gelanggang sementara menanti perlawanan bermula.


“Kamu semua mesti mengekalkan prestasi permainan kamu. Sudah tiga hari kamu menunjukkan permainan yang menarik. Jika kamu dapat mengulanginya pada hari ini, cikgu percaya kemenangan akan berpihak kepada kamu,” kata Cikgu Mahadi lagi, terus memberi semangat dan perangsang kepada pemain-pemainnya.


Dengan berbekalkan kata-kata semangat Cikgu Mahadi dan cita-cita sendiri untuk ke peringkat yang lebih tinggi, Amran dan rakan-rakan sepasukannya terus mara. Pada hari keempat itu, mereka bermain dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh. Amran, khususnya terus mempamerkan corak permainan yang memukaukan. Oleh itu, tidak hairanlah jika dia belum dikalahkan sekalipun oleh lawan-lawannya.


Tepuk sorak penyokong-penyokong Sekolah Menengah Sri Tanjung bergema di dewan itu apabila pasukan sekolah itu berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir. Walau bagaimanapun, sememangnya kejayaan pasukan sekolah Amran itu sudah diduga.

Yusof merupakan orang yang paling gembira mendengar berita Amran dan pasukannya layak ke peringkat akhir. Sebaik sahaja mendengar berita itu, Yusof segera pulang ke Kampung Sri Tanjung dengan menaiki motosikalnya. Apabila sampai di kampung, dia terus pergi ke rumah Pak Hilmi.


“Mengapa dengan kamu ni, Sop? Tergesa-gesa saja,” tanya Pak Hilmi apabila melihat Yusof dengan tergopoh-gapah memanjat tangga rumahnya. “Ada berita gembira, Pak Hilmi,” kata Yusof dengan senyuman yang lebar. “Apa, berita gembira?” tanya Pak Hilmi dengan tidak sabar.


Ketika itu, Mak Limah muncul bersama-sama Marlina dan Saiful. “Bagaimana dengan Amran, Sop?” tanya Mak Limah. Mak Limah bertanya begitu kepada Yusof kerana dia tahu Yusof mengikut rombongan sekolah Amran pergi menyaksikan pertandingan badminton peringkat negeri yang disertai oleh Amran.


“Amran sihat, Mak Limah. Ini sebab Amran jugalah saya ke mari. Ada berita gembira tentang Amran,” kata Yusof yang masih lagi hendak berahsia. “Engkau ni, Sop, buat kami suspen saja. Apa berita gembira tu?” sekali lagi Pak Hilmi bertanya. “Amran dan rakan-rakannya berjaya masuk ke peringkat akhir! Sungguh hebat Amran beraksi di gelanggang badminton,” kata Yusof dengan gembira. “Syukur, alhamdulillah,” ucap Mak Limah. Air matanya segera tergenang.


Kemudian, Yusof mendesak Pak Hilmi sekeluarga pergi menyaksikan pertandingan akhir yang akan diadakan pada pagi esok. “Pak Hilmi dan Mak Limah sekeluarga mesti pergi tengok Amran bermain. Kehadiran Pak Hilmi dan Mak Limah tentu akan menaikkan lagi semangat Amran,” ujar Yusof dengan bersungguh-sungguh memberi pendapat.


“Aku memang teringin nak pergi tengok Amran bermain. Tapi, nak pergi naik apa, Sop? Kami ni ramai. Takkan nak kayuh basikal pula! Pak Badar pula sedang bercuti di rumah anaknya di Perak,” kata Pak Hilmi. “Alah...bukankah teksi lain ada, Pak Hilmi?” gesa Yusof. “Teksi lain? Mana aku ada duit nak bayar tambang. Kalau naik teksi Pak Badar tu lain la. Bukannya dekat tempat pertandingan tu!” kata Pak Hilmi lagi. “Tentang tambang, Pak Hilmi jangan bimbang. Saya akan bayarkan,” jawab Yusof. Pak Hilmi terdiam mendengarkan kata-kata Yusof.


“Saya ikhlas, Pak Hilmi. Janganlah banyak berfikir lagi. Besok, teksi akan datang ambil Pak Hilmi sekeluarga pada pukul 7.00 pagi. Jangan lewat pula sebab pertandingan itu akan diadakan pada pukul 9.00 pagi. Nanti terlepas pula nak tengok Amran beraksi, ” Yusof berpesan sebelum meninggalkan rumah itu.


Keesokan harinya, kira-kira pukul 8.00 pagi, Pak Hilmi, Mak Limah, Marlina dan Saiful telah sampai ke tempat pertandingan. Ketika itu orang ramai sedang berpusu-pusu masuk ke dalam dewan. Pak Hilmi dan keluarganya tidak tahu di mana hendak duduk. Mereka tercangak-cangak.

“Pak Hilmi, sini!” tiba-tiba kedengaran suara memanggil Pak Hilmi. Pak Hilmi tercari-cari arah datangnya suara itu. Di celah-celah penonton, Pak Hilmi terpandang Yusof sedang melambai-lambai ke arahnya.


Sebenarnya, Yusof juga baru sahaja sampai. Pak Hilmi segera menarik tangan Mak Limah dan anak-anaknya pergi ke tempat Yusof berada. Rupa-rupanya mereka telah disediakan tempat duduk istimewa, iaitu di sebelah guru besar dan Cikgu Mahadi. Pak Hilmi menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan guru besar dan Cikgu Mahadi. Mereka berkenal-kenalan dengan lebih rapat.


Melalui cerita guru besar, Pak Hilmi mengetahui Amran kini merupakan murid kesayangan di Sekolah Menengah Sri Tanjung. Amran bukan sahaja berjaya dalam sukan, tetapi juga dalam pelajaran. Dia tergolong dalam kumpulan pelajar pintar.


Perlawanan di antara Amran dengan lawannya membuka tirai pertandingan akhir peringkat negeri pada hari itu. Sorakan penonton menggamatkan lagi dewan besar itu. Laungan nama Amran menggegarkan dewan. Sokongan kepada Amran begitu kuat.


Pertandingan berlangsung dengan sengit. Kedua-dua pemain memang handal. Sewaktu bermain, Amran cukup berhati-hati. Dia juga sentiasa mengkaji kelemahan lawannya. Dia tidak mahu mengulang kesilapan yang lalu. Apabila ternampak peluang mematikan servis lawan atau mengutip mata, Amran langsung tidak membuang masa. Dia segera bertindak pantas. Dia tahu banyak pemain tidak mempunyai kelebihan dari segi stamina. Pergerakan yang tangkas dan pantas itu dapat mengunci pergerakan lawan. Walau bagaimanapun, pihak lawan juga mempunyai kemahiran yang unggul. Beberapa kali pukulan yang dihantarnya tidak dapat diambil oleh Amran.


Sesekali apabila permainan dihentikan seketika kerana pemain hendak mengesat peluh, Amran memandang ke arah keluarganya yang berada di tepi gelanggang. Saiful melambai-lambai ke arah Amran. Apabila melihat emak dan ayahnya berada di situ, semangat Amran semakin berkobar-kobar.


Akhirnya, selepas hampir empat puluh minit berhempas pulas, Amran berjaya menewaskan lawannya dalam tiga set – 15-8. 15-17 dan 15-11. Sekali lagi sorakan gemuruh daripada penonton menggamatkan dewan itu.


Tiada kata yang dapat digunakan untuk melahirkan kegembiraannya. Air matanya mengalir ke pipi. Amran berasa terharu melihatkan sokongan keluarga, sekolah dan para penonton dalam dewan itu.


Dalam keharuan itu, Amran diterpa oleh rakan-rakannya. Mereka menjulang Amran sambil bersorak-sorak kegembiraan. Para penonton pula tidak henti-henti memberi tepukan gemuruh.

“Amran, mari ke sini,” panggil Cikgu Mahadi. Kemudian, Cikgu Mahadi membawa Amran kepada keluarganya yang menanti di tepi gelanggang. Pak Hilmi terus memeluk Amran sebaik sahaja Amran datang dekat kepadanya. Kekerasan hati dan perasaan Pak Hilmi tidak dapat menghalang air matanya daripada mengalir keluar. Amran dan Pak Hilmi sama-sama mengalirkan air mata tanpa mempedulikan orang ramai di sekeliling mereka. Pak Hilmi benar-benar tidak dapat menahan keharuan hatinya. Pak Hilmi diselubungi rasa kekesalan.


“Ayah bangga, Amran! Ayah bangga! Kamu mempunyai semangat yang begitu tinggi. Maafkan ayah,nak...kerana mengabaikan kamu selama ini,” Pak Hilmi berkata-kata sambil memeluk Amran dengan lebih erat. Air mata Amran semakin deras mengalir apabila mendengar kata-kata sesalan daripada ayahnya itu.


“Ayah, Amran juga minta ampun dan maaf di atas segala kekasaran Amran terhadap ayah selama ini,” Amran berkata dengan sayu kepada Pak Hilmi. Dia tidak dapat berkata-kata lebih panjang lagi. Hatinya terlalu sayu dan pilu.


Orang ramai menyaksikan drama keluarga itu dengan penuh rasa terharu. Malah, ada di kalangan mereka yang turut mengalirkan air mata. Kemudian, Amran pergi mendapatkan emaknya. Dia mencium tangan Mak Limah dengan penuh hormat. Sementara itu, Marlina yang berada di sebelah Mak Limah, mengusap-usap kepala adiknya itu dengan penuh kasih sayang. Hari itu merupakan hari yang paling berbahagia buat Amran.

Yusof pula tidak melepaskan peluang untuk menjulang Amran. Tindakan Yusof itu menarik perhatian para penonton lain. Mereka memberi tepukan gemuruh kepada Amran. Guru besar dan Cikgu Mahadi turut berasa bangga dengan kemenangan yang dicapai oleh Amran. Mereka berharap kemenangan Amran itu akan membuka jalan kepada rakan-rakannya yang lain untuk meraih kemenangan pada perlawanan yang lain.


Harapan mereka tidak sia-sia. Apabila pertandingan selanjutnya diteruskan, rakan-rakan sepasukan Amran bermain dengan amat bersungguh-sungguh. Akibatnya, suatu keputusan yang di luar dugaan berlaku. Pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung berjaya menumpaskan pasukan lawan dengan keputusan 5-0!


* * * * * * *


Acara penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan badminton yang berjaya meraih kemenangan diadakan dengan penuh gilang gemilang. Piala dan pingat-pingat kemenangan telah disampaikan oleh Ketua Persatuan Badminton Malaysia, Dato’ Razali Rizal bin Muhtadon. Pasukan sekolah Amran berjaya merangkul piala kemenangan yang menjadi harapan setiap sekolah yang bertanding. Amran juga telah terpilih sebagai pemain badminton terbaik di peringkat negeri.


Amran tersenyum bangga. Hatinya puas. Hari itu dia membuktikan segala-galanya. Kini, harapannya untuk ke sekolah berasrama penuh sukan terbentang di hadapannya. Amran mahu berjaya dalam hidupnya. Dia tidak mahu mewarisi kemiskinan keluarganya. Benarlah bahawa usaha itu tangga kejayaan...dan, Amran tidak akan berhenti untuk mengejar cita-citanya itu kerana...usahanya belum berakhir.



























13



Impian Amran untuk masuk ke sekolah berasrama sukan akhirnya tercapai. Amran, Sarjit dan rakan-rakannya yang telah berjaya dalam pertandingan tersebut telah ditawarkan untuk masuk ke sekolah khas badminton di Kuala Lumpur. Mereka semua akan masuk ke sekolah tersebut selepas mereka semua selesai menduduki peperiksaan PMR yang akan tiba tidak lama lagi. Tawaran tersebut adalah sebagai tanda hadiah guru besar Sekolah Menengah Sri Tanjung di atas kejayaan mereka mengharumkan nama sekolah.


Pada masa ini, Amran dan Sarjit sedang sibuk mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan PMR. Mereka banyak menghabiskan masa pergi ke kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah, melakukan perbincangan di samping bertanyakan guru-guru setiap mata pelajaran jika menghadapi sebarang masalah mengenai mata pelajaran tersebut.


Buat masa ini, mereka tidak memikirkan mengenai persediaan untuk ke sekolah khas badminton kerana mereka lebih memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajaran. Amran dan Sarjit mahu berjaya dalam pelajaran juga di samping bidang sukan badminton. Keseimbangan perlu ada untuk memastikan mereka tidak hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam satu bidang sahaja. Amran ingat lagi kata-kata Cikgu Hashim bahawa kita perlu menjadi insan yang bersifat glokal.

Hari peperiksaan PMR semakin hampir. Murid-murid Sekolah Menengah Sri Tanjung sedang sibuk membuat rujukan dibantu oleh guru-guru di sekolah tersebut. Di samping itu, mereka turut didedahkan dengan ceramah-ceramah motivasi untuk menaikkan semangat mereka dan juga bengkel bijak belajar di mana mereka belajar teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan PMR dengan cara yang lebih mudah.


Pada setiap minggu, ujian latih tubi akan diberikan kepada para pelajar tingkatan tiga. Latih tubi ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR. Kaedah mentor-mentee diperkenalkan di sekolah Amran. Kaedah ini bertujuan untuk para guru yang bertindak selaku mentor mengetahui dengan lebih dekat mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar yang bertindak sebagai manteenya. Kesungguhan para pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sri Tanjung pada tahun ini begitu meyakinkan guru besar. Dijangkakan keputusan peperiksaan PMR pada tahun itu akan meningkat.


“Amran, bagaimana persediaan kamu sekarang? Sudah siap sedia sepenuhnya untuk menghadapi PMR?” tanya Sarjit kepada Amran semasa mereka dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan.


“Boleh tahan la juga persediaan yang saya telah lakukan tapi belum sampai seratus peratus, Sarjit,” jawab Amran. “Kamu bagaimana pula, Sarjit? Keputusan ujian latih tubi kamu baikkah?” tanya Amran kepada Sarjit kembali. “Ujian hari itu okay saja. Persediaan saya pun macam kamu juga Amran, boleh tahan jugalah. Cuma saya ni lemah sikit la dengan subjek Sains. “Amran, bukankah awak mahir dalam mata pelajaran Sains?” kata Sarjit. “Ish, saya tidaklah pandai sangat, Sarjit. Tapi, kalau kamu nak saya ajar sikit-sikit tu bolehlah,” Amran merendah diri. “Kalau begitu, lepas ni bolehkah saya datang ke rumah kamu untuk belajar Sains dengan kamu, Amran?” Sarjit meminta kebenaran. “Boleh saja. Apa salahnya. Saya begitu mengalu-alukan kedatangan awak ke rumah saya yang tak seberapa tu, Sarjit,” jawab Amran. Perbualan mereka terhenti apabila mereka telah tiba di sekolah.


Akhirnya, peperiksaan PMR tiba. Peperiksaan tersebut berlangsung selama empat hari. Para pelajar tingkatan tiga telah bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut walaupun terdetik perasaan gementar. Pada pagi itu, sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan, para pelajar tingkatan tiga diberikan sedikit taklimat daripada guru besar beserta dengan kata-kata semangat.


Selepas beberapa minit, para pelajar masuk ke dalam dewan dalam keadaan tertib dan senyap. Mereka meninggalkan beg sekolah di luar dewan dan hanya membawa masuk peralatan untuk menulis ke dalam dewan peperiksaan. Seramai 8 orang pengawas yang datang dari sekolah-sekolah yang berlainan bertugas mengawasi para pelajar di dalam dewan peperiksaan. Keadaan dewan menjadi sunyi apabila peperiksaan bermula. Amran membaca doa sebelum menjawab Bahasa Melayu kertas satu yang telah diedarkan kepadanya dan menjawabnya dengan tekun. Amran bertawakal setelah dia telah selesai menjawab kertas peperiksaannya yang pertama.


“Bagaimana dengan kertas Bahasa Melayu tadi, Amran? Senang atau susah?” tanya Sarjit sewaktu mereka keluar dari dewan peperiksaan. “Ada yang susah dan ada juga yang senang,” jawab Amran. Mereka mengalas perut dengan bekalan masing-masing kerana selepas ini, peperiksaan Bahasa Melayu kertas dua dan Sejarah akan diadakan.


Empat hari telah berlalu, maka tamatlah peperiksaan PMR bagi para pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sri Tanjung. Para pelajar bersorak kegembiraan kerana telah melepasi peperiksaan yang dianggap begitu sukar untuk ditempuh. Amran dan Sarjit masih ada tugas lain yang perlu diselesaikan selepas tamat peperiksaan PMR. Mereka perlu membuat persediaan untuk masuk ke sekolah khas badminton.


* * * * * *


Kehidupan Amran sekeluarga tidak seperti dulu lagi. Pak Hilmi telah berubah dan sedar akan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Perubahan Pak Hilmi begitu mengembirakan ahli keluarganya yang lain. Sinar kebahagiaan telah menerangi kehidupan Amran sekeluarga. Amran berasa bersyukur kerana Tuhan telah memakbulkan doanya yang mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia.


Selepas makan malam, mereka sekeluarga berbual-bual di serambi rumah sambil menikmati air kopi buatan Mak Limah. Yusof juga ada bersama-sama dengan mereka. “Tidak lama lagi berserilah rumah kita ni Limah,” kata Pak Hilmi mengusik Yusof dan Marlina. “Ya la, bang. Mana tak berserinya, tak lama lagi kita nak dapat menantu,” balas Mak Limah. Merah padam muka Yusof dibuatya. Amran hanya ketawa mendengar perbualan mak dan ayahnya.


Yusof dan Marlina akan bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Perkahwinan mereka berdua amat direstui oleh Mak Limah dan Pak Hilmi. Amran begitu gembira kerana Yusof akan menjadi salah seorang ahli keluarganya kelak. Nanti senanglah dia hendak berlatih bermain badminton bersama-sama dengan Yusof.


“Ni, ayah ada berita nak beritahu kamu semua,” kata Pak Hilmi. “Apa beritanya, ayah? Cepatlah beritahu..Am tak sabar nak tahu ni,” sampuk Amran. “Ayah telah dapat kerja sebagai kerani di sebuah syarikat di pekan,” jawab Pak Hilmi dengan nada yang gembira. “Yeke, bang? Bila abang pergi ke pekan ni? Abang tak beritahu Limah pun..Abang pergi senyap-senyap ye?” tanya Mak Limah kepada suaminya. “Hari tu abang pergi temuduga saja. Selepas itu, mereka minta abang datang dalam masa dua hari semula untuk mengetahui sama ada abang diterima bekerja atau tidak. Akhirnya, abang diterima bekerja,” terang Pak Hilmi dengan panjang lebar. “Oh, begitu. Syukurlah bang. Akhirnya nasib keluarga kita terbela juga,” Mak Limah menjawab.


“Awak Limah selepas ini tak perlulah bekerja lagi kerana selepas ini awak ada kerja yang lebih penting di rumah,” tambah Pak Hilmi lagi. Kerja apa yang pentingnya nanti saya kena buat kat rumah kita ni, bang?” tanya Mak Limah kehairanan. Mak Limah tidak dapat menangkap maksud tersirat di sebalik kata-kata Pak Hilmi tadi.

“Mak, maksud ayah kerja mak kat rumah nanti menjaga cucu mak la. Kakak kan dah nak kahwin tak lama lagi,” jelas Amran kepada emaknya. “Oh,itu rupanya maksud ayah kamu tu ye. Ayah kamu ni dah pandai mengena-ngenakan orang ye,” Mak Limah berkata. Marlina, Yusof dan Amran hanya ketawa melihat gelagat Mak Limah dan Pak Hilmi yang saling mengenakan satu sama lain. Saiful yang tidak tahu apa-apa juga kelihatan menari-nari riang. Alangkah indahnya nikmat kebahagiaan ini. Amran berkata dalam hati.


* * * * * * *

Hari yang dinanti-nantikan oleh Amran telah tiba. Hari ini dia kan mendaftarkan diri ke sekolah khas badminton. Segala keperluan barangan, pakaian dan raket telah lengkap disediakan oleh Amran untuk dibawa bersama-sama ke sana. Pendaftaran telah berjalan dengan lancar. Kali ini, semua ahli keluarganya termasuk Yusof menghantar Amran ke sekolah berasrama penuh sukan yang terletak di bandar Kuala Lumpur.


Tidak ada apa yang diharapkan oleh Amran melainkan sokongan dan dorongan daripada setiap anggota keluarganya. Usaha Amran selama ini tidak sia-sia malah membuahkan hasil yang tak dijangka sehingga dia berjaya menyambung pengajiannya ke tingkatan empat di sekolah yang menjadi impian hidupnya selama ini. Sekolah ini merupakan tempat di mana wakil-wakil negara dan wakil-wakil kebangsaan ditempatkan.


Kehidupan di sekolah khas badminton amat menyeronokkan. Amran dan Sarjit gembira menjalani pengajian dan latihan badminton di sana. Pelajaran masih diutamakan walaupun sekolah berkenaan merupakan sekolah sukan Di situ, Amran dan Sarjit telah didedahkan dengan lebih terperinci mengenai skil-skil bermain badminton, kaedah pukulan, kaedah pemantapan stamina dan kaedah latihan yang sistematik. Mereka diajar secara teori dan juga secara praktikal supaya mereka lebih memahami apa yang telah diajarkan.


Amran masih berusaha dan terus berusaha kerana usahanya untuk menjadi pemain badminton terkenal dunia belum berakhir.. Amran kuatkan semangat dan azam dalam dirinya bahawa impiannya itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.. Doa Amran sentiasa mengiringi setiap pukulan yang dilakukannya kerana bagi Amran usaha perlu disusli dengan doa supaya apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan dengan izin Yang Maha Esa…

BAB 11


Petang itu, rumah Pak Hilmi riuh-rendah. Yusof dan Mak Limah empat beranak masih lagi bercerita tentang kemenangan Amran. Yusof begitu ghairah bercerita tentang detik-detik cemas sewaktu Amran hampir tewas. Dalam keriuhan itu, Amran sedar yang ayahnya belum pulang. Tetapi, dia tidak mahu bertanya. Amran sedar sememangnya ayahnya tidak pernah mengambil kisah tentang keadaan dirinya. Walaupun Amran sedih dengan keadaan itu, tetapi Amran tidak dapat berbuat apa-apa.


Setelah agak lama berada di Rumah Mak Limah, Yusof meminta diri untuk pulang. Sebelum melangkah pergi, Yusof menghulurkan wang RM10.00 kepada Amran. “Terpulang kepada kamu sama ada nak simpan atau nak belanja keluarga,” kata Yusof berseloroh.


Amran segera terkenang akan wang simpanan pemberian Ah Kan dahulu yang masih belum bertambah. Sebenarnya, Amran merancang untuk menambah wang simpanannya apabila menerima wang hadiah kemenangan pertandingan peringkat negeri nanti.


Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Yusof berselisih dengan Pak Hilmi di tengah jalan.


“Sop, dari mana?” tanya Pak Hilmi. “Dari rumah Pak Hilmilah,” selamba sahaja Yusof menjawab. “Buat apa kamu datang ke sana,” Pak Hilmi yang terkejut bertanya lagi. “Hmmm..., inilah padahnya kalau ketua keluarga sendiri tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga sendiri,” Yusof sengaja menempelak Pak Hilmi.


Pak Hilmi yang ingin berbaik-baik dengan Yusof tidak mengendahkan sindiran itu. Sebalinya dia bertanya, “Sop, besok engkau nak ikut aku pergi meracik burung?”


“Sudahlah, Pak Hilmi. Saya dah tak berminat lagi. Bila lagi Pak Hilmi nak bersara daripada membuat kerja yang membazir tu? Pak Hilmi, sedarlah... keluarga Pak Hilmi perlukan tanggungjawab dan perlindungan serta kasih sayang daripada Pak Hilmi,” Yusof berkata agak tegas.


Pak Hilmi terdiam mendengar kata-kata Yusof. Jantungnya pedih bagai terhiris-hiris. Tetapi, Pak Hilmi tidak menunjukkan kemarahannya kepada Yusof. Di dalam hati, Pak Hilmi mengakui kebenaran kata-kata Yusof itu. Selepas berbual-bual seketika dengan Yusof, Pak Hilmi meneruskan perjalanannya ke rumah.


Ketika Pak Hilmi menongkatkan basikalnya di bawah rumah, dia dapat mendengar keriuhan suara anak isterinya yang sedang bergurau senda. Timbul pula perasaan cemburu di hati Pak Hilmi terhadap kemesraan mereka. Pak Hilmi sedar, hubungannnya dengan anak-anak malah dengan isterinya sendiri tidak mesra. Sikapnya yang mudah naik darah menyebabkan anak-anaknya, terutamanya Amran sering mengelak daripada bertemu muka dengannya. Pak Hilmi melangkah naik ke atas rumah perlahan-lahan. Dia berpura-pura batuk apabila tiba dimuka pintu. Marlina dan Amran serta-merta terdiam. Suasana sepi tiba-tiba sahaja menyelubungi anjung rumah Pak Hilmi.


“Mak, saya masuk ke dalam dulu. Saya belum sembahyang asar,” kata Amran meminta diri. Dengan kepala yang tertunduk, Amran beredar ke dalam biliknya. “Ayah nak minum? Nanti Mar buatkan air kopi,” ujar Marlina pula dan terus beredar ke dapur dengan diekori oleh Saiful.


Pak Hilmi yang tidak pernah mengendahkan Amran dan Marlina selama ini, tersinggung melihat tingkah laku anak-anaknya itu. Mak Limah pula tidak dapat berkata apa-apa. Dia hanya memandang Amran pergi dan kemudian diikuti oleh Marlina.


Rupa-rupanya sewaktu Pak Hilmi balik, Amran sedang menunjukkan pingat yang baru dimenanginya pagi itu kepada Mak Limah dan Marlina. Kebetulan ketika Pak Hilmi melangkah masuk, pingat itu sedang berada di tangan Mak Limah.


“Pingat apa tu?” tanya Pak Hilmi kepada Mak Limah setelah terpandang pingat tersebut.


Mak Limah tidak menjawab. Sebaliknya, dia menghulurkan pingat itu kepada Pak Hilmi. Pak Hilmi mengambil pingat itu daripada tangan Mak Limah dan meneliti tulisan yang tertera di atas pingat tersebut. Dahinya yang berkerut-kerut tadi tenang semula. Pak Hilmi tersenyum lebar memandang Mak Limah.


“Amran! Amran! Mari ke mari sekejap” Pak Hilmi memanggil Amran dengan suara garaunya.


Sementara itu, Amran yang berada di dalam biliknya terkejut besar apabila mendengar namanya dipanggil oleh Pak Hilmi. Dadanya sengan serta-merta berdegup kencang. “Mungkinkah ayah akan memarahi aku lagi? Habislah aku kena bahagian darinya lagi,” bisik Amran dalam hati.


“Amran!” Amran!” keluar sekejap, nak. Ayah kamu nak bercakap,” terdengar pula suara Mak Limah memanggil Amran.


Dengan langkah yang berat, Amran keluar dari biliknya yang sempit. Dia berdiri terpaku di hadapan biliknya dan menundukkan kepalanya. Amran bersedia untuk menerima sebarang bentuk habuan daripada ayahnya.


Pak Hilmi menghampiri Amran dan berkata, “Syabas, Amran! Tahniah! Ayah gembira dengan kejayaan kamu. Teruskan usaha kamu untuk berjaya ke peringkat yang lebih tinggi.”

Amran terpegun mendengarkan kata-kata ayahnya. Dia bagaikan baru dikejutkan daripada mimpi yang ngeri. Buat pertama kali dalam hidupnya, ayahnya menghargai usahanya. Bunga- bunga kemenangan mula berputik di hati Amran...


* * * * * * *


Pagi-pagi lagi Pak Hilmi telah bangun. Kali ini tiada sesiapa pun yang mengejutkannya. Kemudian, dia pergi mandi di perigi. Sewaktu balik dari perigi, Pak Hilmi membawa dua baldi air dan memasukkannya ke dalam kolah di bilik air. Pagi itu juga Pak Hilmi berdiri tegak menghadap kiblat untuk menunaikan solat subuh.


Selepas bersolat, dia berdoa panjang di atas tikar sembahyang. Sesudah sembahyang, Pak Hilmi membantu Mak Limah mengemas peralatan dan keperluan untuk menoreh. Dia juga menolong mengasah pisau toreh yang telah tumpul.


Mak Limah kehairanan melihat perubahan mendadak Pak Hilmi pada pagi itu. Penyakit apa yang datang menyerang suaminya ini, bisik hati Mak Limah. Tetapi, Mak Limah tidak berani menyuarakannya kepada suaminya itu. Tersilap gaya nanti Pak Hilmi akan mengamuk macam hantu raya. Mak Limah terus bersiap-siap seperti biasa.


Sewaktu Mak Limah hendak menuruni anak tangga, Pak Hilmi menghampirinya, “Limah, engkau tak payahlah pergi menoreh lagi. Biar aku saja yang pergi menoreh getah dan mengutip buah kelapa sawit. Engkau bolehlah pergi mencuci pakaian di rumah pengurus estet itu. Biarlah kita bersama-sama cari rezeki,” Pak Hilmi mengucapkan kata-kata yang terlalu lama ingin didengar oleh Mak Limah.


Mak Limah terpaku seketika mendengarkan kata-kata Pak Hilmi. Adakah dia sedang bermimpi atau itu benar-benar diperkatakan oleh Pak Hilmi, detik hati kecilnya itu. Setelah menyedari bahawa itulah yang telah diperkatakan oleh Pak Hilmi, Mak Limah tersenyum lebar sambil menganggukkan kepalanya. “Baiklah, bang,” ujar Mak Limah dengan perasaan syukur.


Tanpa menunggu dengan lebih lama, Pak Hilmi memijak anak tangga rumahnya untuk turun ke tanah. “Bang, ini bekalan ubi rebus untuk abang. Nanti, lepas menoreh tentu abang akan terasa lapar,” kata Mak Limah dengan lembut.


Pak Hilmi menyambut bekal itu daripada tangan Mak Limah dengan mesra. “Terima kasih, Limah,” balas Pak Hilmi. Kemudian, dengan menjinjing beg yang mengandungi peralatan menoreh dan bekalan, Pak Hilmi melangkah menuju ke arah ladang.


Mak Limah memerhatikan pemergian Pak Hilmi dengan linangan air mata. Kemudian, Mak Limah menadah tangan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Dia memang tidak menyangkakan perubahan besar yang berlaku dalam diri Pak Hilmi pada pagi itu. Namun, Mak Limah akur, begitu besarnya kekuasaan Allah S.W.T..


Pagi itu, burung-burung berkicauan dengan riangnya di atas pokok. Matahari pagi memancar terang. Keheningan pada waktu pagi di rumah Mak Limah tidak lagi diiringi dengan kemuraman.


“Mar, bangun! Hari dah siang!” Mak Limah mengejutkan anak dara suntinya. Apabila mendengar namanya dipanggil, Marlina membuka matanya perlahan-lahan. Dia terkejut melihatkan emaknya yang masih berada di rumah sedangkan matahari sudah terbit.


“Emak, mengapa emak tak pergi menoreh?” tanya Marlina kehairanan. Sebelum sempat Mak Limah menjawab, Marlina bertanya lagi, “Emak tak sihatkah? Mak Limah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Ayah kamu tak bagi emak pergi menoreh,” jawab Mak Limah ringkas.


“Mengapa?” kata Marlina dengan terkejut. “Habis tu, siapa lagi yang nak menoreh?” tanya Marlina. Mak Limah tidak segera menjawab. Dia membiarkan anaknya itu meneka-neka. Dia juga mahu melihat reaksi Marlina. “Tak apalah, emak. Biar Mar yang gantikan tempat emak,” sambung Marlina lagi. Sedih benar bunyi suara itu.


“Tak perlu, Mar. Ayah kamu dah pergi menoreh. Kita tak perlu bersusah payah lagi. Mak hanya kerja mencuci pakaian,” Mak Limah memberitahu berita baik itu kepada Marlina. “Betulkah, emak?” tanya Marlina bagaikan tidak percaya.


Mak Limah kemudiannya menceritakan apa yang berlaku pagi itu kepada Marlina. Seperti Mak Limah, Marlina juga bersyukur dengan perubahan sikap ayahnya. Di dalam hati, dia berharap perubahan itu sekaligus akan merubah kehidupan mereka yang daif itu. Bagi Marlina, kesefahaman dan kerjasama adalah lebih utama daripada wang ringgit dalam menentukan kebahagiaan sesebuah keluarga.


Perubahan sikap Pak Hilmi turut melegakan hati Amran. Pada tengah hari itu, selepas Pak Hilmi balik daripada mengutip buah kelapa sawit, mereka sekeluarga menikmati makanan tengah hari dengan penuh kegembiraan. Amran tidak lagi berasa takut untuk bersuara sewaktu berhadapan dengan ayahnya. Hubungan mereka menjadi semakin baik sejak dari hari kemenangan Amran dalam pertandingan badminton peringkat daerah.


“Amran, bila pertandingan peringkat negeri tu akan bermula?” tanya Pak Hilmi kepada Amran pada suatu hari. “Dua minggu lagi, ayah,” ujar Amran. Ketika itu Amran dan Pak Hilmi duduk di atas bangku di bawah pokok manggis di hadapan rumah. Amran sedang menunggu Sarjit datang untuk sama-sama pergi berlatih badminton di sekolah.



“Ayah berharap kamu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan tersebut. Mana tahu, suatu hari nanti kamu boleh jadi seperti anak-anak Datuk Haji Sidek,” kata Pak Hilmi memberi perangsang kepada Amran.


Kini, Amran tidak lagi takut untuk pergi berlatih badminton. Malah, sekarang dia juga dapat berlatih dengan tenang. Emak dan ayahnya jarang lagi bergaduh. Namun, yang paling menggembirakan Amran ialah ayahnya sudah menyedari tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Ini bermakna emaknya tidaklah perlu bekerja seteruk dahulu lagi.

BAB 10

Debaran peserta pasukan sekolah semakin kencang. Musim pertandingan tinggal sebulan lagi. Amran dan Sarjit kian giat berlatih. Malah, keazaman Amran bertambah kuat setelah mendapat raket sendiri. Yusof yang membeli raket itu untuk Amran.


Pak Hilmi pula sudah mengetahui kegiatan Amran di sekolah. Yusof sendiri yang memberitahu Pak Hilmi dan Mak Limah. Dia telah menceritakan segala-galanya kepada Pak Hilmi. Kini, Pak Hilmi tidak lagi banyak bercakap. Dia sebenarnya malu dengan Yusof. Yusof walaupun masih muda, tetapi lebih bertanggungjawab daripada dirinya sendiri.

Sekarang, Amran berasa lega. Dia tidak lagi takut untuk pulang lewat apabila menghadiri latihan intensif di sekolah. Malah, sekarang Amran mengikuti tiga sesi latihan yang berasingan.


Sesi pertama, dia berlatih di bawah bimbingan Cikgu Mahadi di sekolah. Bagi sesi kedua pula, Amran berlatih dengan Yusof. Masa latihan mereka ialah pada pagi Sabtu dan Ahad. Yusof bertindak sebagai jurulatih Amran. Mereka berlatih di halaman rumah Amran. Kadang-kadang apabila telah bosan bermain badminton. Yusof mengajak Amran berjoging di sekeliling kampung. Yusof banyak memaksa Amran mengikuti cara latihannya. Dia mempunyai pengetahuan yang agak luas dalam bidang latihan fizikal kerana Yusof juga seorang atlit yang aktif semasa bersekolah dahulu.

Ada masanya Amran hampir menyerah kalah. Dia tidak berdaya menjalani latihan sekeras itu. Termengah-mengah dan tercungap-tercungap Amran berlari, jalan itik, melompat tinggi dan memukul angin, secara berganti-ganti. Latihan itu memang amat meletihkan. Tetapi, semangat Amran sering ditiupkan semula oleh Yusof. Yusof banyak memberi kata-kata perangsang kepada Amran agar berazam untuk menang dalam pertandingan dan seterusnya berjaya ke peringkat yang lebih tinggi demi mencapai matlamat membantu keluarga mengubah corak hidup yang ada sekarang. Semangat dan perangsang benar-benar berkesan dan menjadikan Amran yakin kepada diri sendiri.


Sesi ketiga latihan badminton Rahman ialah pada setiap Sabtu dan Ahad. Kali ini Rahman menjalani latihan bersama-sama dengan Sarjit. Mereka bertanding sesama sendiri. Sebenarnya, corak permainan mereka berdua tidak banyak berbeza. Malah kadangkala Amran tewas di tangan Sarjit. Mereka sama-sama hebat dan mempunyai keistimewaan masing-masing. Di samping itu,mereka sering berbincang tentang kelemahan masing-masing. Namun, kalau dikira, Amran lebih kerap menewaskan Sarjit. Amran sentiasa lebih cergas dan pantas daripada Sarjit. Kecergasannya itu adalah hasl latihannya yang tak pernah kenal erti penat. Kecergasan Amran sering membuatkan Sarjit berasa kagum terhadapnya.


“Amaran, apa rahsia kamu?” tanya Sarjit pada suatu hari sewaktu mereka sedang berehat. “Rahsia apa pula ni? Kamu fikir saya menggunakan jampi?” Amran bertanya sambil berseloroh.

“Bukan begitu maksud saya. Saya cuma hairan bagaimana kamu boleh begitu cergas sekrang. Permainan kamu juga semakin pantas. Pukulan smash kamu pula semakin kencang dan kuat. Tapi, peliknya kamu lansung tak berasa penat.”


“Sarjit, bukankah kita mahu mengharumkan nama sekolah kita?” tanya Amran kembali. “Ya, sudah tentu!” jawab Sarjit.


“Kemudian, kamu ingat atau tidak janji guru besar kepada kita dulu?” Sesiapa yang bermain dengan cemerlang dan berjaya mengharumkan nama sekolah akan diusahakan tempat bagi memasuki sekolah khas badminton di Kuala Lumpur. Tawaran itu terlalu bagus untuk saya. Saya tidak akan mensia-siakannya. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk berjaya sehingga ke peringkat kebangsaan. Saya tak mahu menyerah kalah sebelum bertanding,” Amran berkata membayangkan kesungguhan kata-katanya.


Sarjit terus terdiam mendengar jawapan daripada Amran. Dia tidak menyangka semangat Amran sekental itu. Bagi Sarjit, penyertaannya dalam pertandingan itu hanyalah suka-suka sahaja. Cita-cita utamanya sekadar ingin memenangi pertandingan dan mengharumkan nama sekolah mereka. Selepas itu, namanya juga akan turut popular di seluruh kampung. Sarjit cukup bangga sekiranya namanya disebut-sebut orang.



Setelah agak lama berehat, mereka terus mencapai raket masing-masing untuk menyambung permainan. Kali ini, mereka berdua kelihatan lebih bersemangat. Sarjit dengan azam baru, iaitu ingin menandingi ketangkasan Amran. Paling tidak pun, Sarjit mahu menyamai ketangkasan Amran. Mereka terus bermain sehingga kedua-duanya berpuas hati.


Di sekolah, latihan badminton giat diadakan. Cikgu Mahadi menumpukan sepenuh perhatian kepada pasukan perseorangan. Pemain perseorangan banyak mempengaruhi semangat pasukan secara keseluruhan. Jadi, kalah atau menang sesebuah pasukan banyak bergantung kepada pemain perseorangan. Kini, perlawanan sesama sendiri banyak diadakan untuk melihat kemahiran dan kecekapan seseorang pemain, di samping untuk menentukan pemain perseorangan pertama, kedua dan ketiga dalam pasukan sekolah.


Pada petang itu, giliran Amran daqn Sarjit bertemu di gelaanggan sekolah. Perlawanan di antara mereka berdua memang ditunggu-tunggu oleh pemain-pemain lain. Malah oleh guru-guru juga. Mereka berdua memang diharapkan untuk menerajui pasukan badminton sekolah. Perlawanan dalam set pertama antara Amran dan Sarjit telah berlangsung hampir lima belas minit. Mata yang telah dikutip masih lagi 10-12. Amran mendahului Sarjit dengan dua mata sahaja. Rakan-rakan yang lain memberi sokongan kepada kedua-dua pihak. Mereka sendiri tidak tahu siapa yang harus disokong kerana kedua-dua mereka sama hebat.


Cikgu Mahadi memperhati sahaja corak permainan Amran dan Sarjit. Walaupun set pertama berjaya dimenangi oleh Amran. Cikgu Mahadi masih mahu perlawanan set kedua diteruskan. Dia mahu melihat dan menilai siapa yang benar-benar handal. Akhirnya, selepas berhempas pulas selama lebih setengah jam, Amran memenangi perlawanan itu. Cikgu Mahadi cukup berpuas hati dengan corak permainan mereka berdua. Dia yakin kedua-dua pemain itu tidak akan menghampakan harapannya dan juga sekolah.


Prestasi pemain beregu juga tidak kurang hebatnya. Keempat-empat orang pemain beregu sekolah juga mempunyai semangat yang tinggi. Apatah lagi apabila melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Amran dan Sarjit dalam setiap latihan yang diadakan. Mereka juga mahu sama-sama menjulang piala kemenangan yang menjadi idaman setiap sekolah.

* * * * * * *


Pertandingan badminton antara sekolah-sekolah menengah peringkat MSSD telah bermula. Menurut Cikgu Mahadi, ada sepuluh buah sekolah dalam daerah tesebut yang turut serta. Sekolah-sekolah tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Sekolah Menengah Sri Tanjung dimasukkan di dalam kumpulan A. Pemenang bagi kumpulan A akan ditentukan selepas setiap sekolah dalam kumpulan tersebut bertanding dalam empat perlawanan. Pemenang pertama dan kedua dalam kumpulan A kemudiannya akan bertanding pula dengan pemenang pertama dan kedua dalam kumpulan B dalam peringkat separuh akhir. Mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan lawan mereka dalam peringkat separuh akhir itu, akan bertanding dalam peringkat akhir. Pemenang peringkat akhir pula akan mewakili daerah untuk pertandingan MSSN nanti. Begitulah seterusnya hingga ke pertandingan peringkat kebangsaan.


Debaran suasana pertandingan semakin terasa. Hari berganti hari. Kini, tiba masa perlawanan pertama bagi pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung. Sekolah itu bertemu dengan pasukan Sekolah Menengah Datuk Menteri, iaitu sebuah pasukan yang agak digeruni oleh pasukan lawan. Perlawanan tersebut diadakan di Dewan Sekolah Menengah Datuk Menteri. Oleh sebab itu, sejak tengah hari lagi dewan sekolah tersebut telah dipenuhi oleh murid-murid dan para penyokong pasukan Sekolah Menengah Datuk Menteri. Keadaan itu membuatkan para pemain Sekolah Menengah Sri Tanjung berasa gementar.


Pemain persorangan pertama kedua-dua pasukan sedang beraksi. Amran sebagai pemain pertama Sekolah Menengah Sri Tanjung agak tertekan. Semua mata penonton bertumpu ke arah gelanggang. Permainan telah berlangsung kira-kira sepuluh minit. Amran ketinggalan lima mata di belakang, iaitu 5-10. Amran agak cemas. Tambahan pula, dia sudah tertewas dalam set yang pertama tadi. Namun, dia tidak mahu kehilangan peluang untuk mewakili daerah. Cikgu Mahadi yang berada di tepi gelanggang kelihatan resah. Cikgu Mahadi bangun dan memberi isyarat supaya Amran jangan berputus asa dan kuat teruskan permainan.



Amran faham maksud Cikgu Mahadi. Tetapi, dia sendiri seolah-olah terkunci langkah. Memang lawannya itu diketahui umum merupakan pemain yang handal. Sorakan penonton semakin gemuruh. Para pemain dan penyokong pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung senyap. Harapan dan semangat mereka hanya akan muncul jika Amran memenangi perlawanan tersebut.


Tetapi, apa yang ditunggu-tunggu oleh pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung itu tidak menjadi kenyataan. Amran tidak berupaya menentang ketangkasan lawannya. Mata demi mata terus dikutip oleh pemain dari Sekolah Menengah Datuk Menteri itu. Amran pula walaupun sekali-sekala berpeluang merebut servis, tetapi tidak berupaya mengutip sebarang mata. Akhirnya, Amran tewas...


Pertandingan itu kemudiannya diteruskan pula oleh Sarjit sebagai pemain perseorangan kedua. Sarjit juga menghadapi tentangan yang sengit. Walau bagaimanapun, Sarjit berjaya mengawal permainannya dengan baik. Keputusannya dia memenangi perlawanan tersebut. Kemenangan Sarjit menyemarakkan kembali semangat pasukan pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung. Sarjit berasa sangan gembira. Kemenangan pasangan beregu pertama semakin meyakinkan mereka. Tetapi, malangnya pasangan beregu kedua dan pemain perseorangan ketiga tidak berjaya meneruskan perjuangan mereka. Mereka turut tewas di tangan lawan masing-masing seperti Amran.


Kekalahan 2-3 itu sangat menyedihkan Amran. Dia merasakan kekalahan itu adalah berpunca daripada dirinya sendiri. Di samping itu, dia merasakan peluang untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi akan tertutup. Oleh sebab itu, sepanjang perjalanan pulang ke sekolah, dia muram sahaja.


“Amran, kamu janganlah terlalu sedih. Ini baru perlawanan pertama kita. Peluang kedua kita memenangi pertandingan peringkat daerah ini masih terbentang luas. Kita masih ada tiga perlawanan lagi,. Kita mesti yakin bahawa kita boleh lakukannya. Gagal sekali tak bermakna gagal untuk selamanya. Mungkin tadi bukan rezeki sekolah kita untuk menang,” kata Sarjit yang duduk di sebelahnya di dalam bas sekolah itu.


“Saya berasa kecewa sebab saya sudah berusaha bersungguh-sungguh sebelum ini. Tapi, hari ini saya tewas dengan mudah...,” kata Amran perlahan. “Kamu tak boleh berfikiran begitu. Kalah atau menang menang telah menjadi adat permainan,” pujuk Sarjit lagi. “Maafkan saya, Sarjit. Saya terlalu mengikut perasaan...,” kata Amran sayu.


Selepas kekalahan pertama, pasukan badminton sekolah Amran semakin giat berlatih. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu menerima kekalahan lagi. Akhirnya, kesungguhan dan ketekunan yang ditunjukkan oleh pasukan badminton Amran membuahkan hasil.


Pertandingan-pertandingan seterusnya dimenangi oleh pasukan sekolah Amran. Ini bermakna, dalam Kumpulan A, Sekolah Menengah Sri Tanjung dan Sekolah Menengah Datuk Menteri layak ke pertandingan separuh akhir. Walau bagaimanapun, dalam kumpulan A, Sekolah Menengah Sri Tanjung hanya menduduki tangga yang kedua. Dengan ini, Sekolah Menengah Sri Tanjung terpaksa menentang juara kumpulan B, iaitu Sekolah Menengah Datuk Betara Dalam.


Sewaktu pertandingan separuh akhir, perasaan Amran semakin berdebar-debar. Dia bimbang perjuangannya dan rakan-rakannya tidak sampai ke puncak. Ini kerana pasukan Sekolah Menengah Datuk Betara Dalam ternyata handal juga.


Ketika menentang pasukan Sekolah Menengah Datuk Betara Dalam, Amran dan rakan-rakan sepasukannya berjuang bermati-matian. Akhirnya, kemenangan berpihak kepada pasukannya dan mereka layak ke peringkat akhir.


Namun, debaran di dada Amran bertambah kencang apabila mendapati pasukan Sekolah Menengah Datuk Menteri juga layak ke peringkat akhir setelah mengalahkan pemenang kedua daripada Kumpulan B. Ini bermakna, kedua-dua pasukan yang layak ke peringkat akhir ialah daripada Kumpulan A. Amran bimbang sekiranya kekalahannya dahulu berulang lagi. Jika itu berlaku, peluang untuk dia bertanding di peringkat yang lebih tinggi tidak akan kesampaian.


Apa yang dirasai oleh Amran turut dirasai oleh Cikgu Mahadi. Dia juga tidak mahu pasukan sekolahnya kalah lagi bagi kali kedua kepada pasukan Sekolah Menengah Datuk Menteri. Oleh sebab itu, dia mengkaji kelemahan pasukan lawan itu dengan teliti dan cuba menggunakan kelemahan-kelemahan itu untuk mencari mata kemenangan bagi pasukan sekolahnya.
Untuk pertandingan ke peringkat akhir, Cikgu Mahadi membuat perancangan yang lebih rapi. Dia juga memberi lebih tumpuan kepada Amran. Cikgu Mahadi tahu, Amran mampu membuat kejutan kepada lawannya.


Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba juga. Sejak awal pagi lagi dada Amran berdegup kencang. Dia bimbang dia akan kalah lagi. Namun, kali ini Amran berasa agak lega kerana pertandingan itu tidak diadakan di dewan Sekolah Menengah Datuk Menteri lagi, tetapi di dewan yang berkecuali. Jadi, dia tidak perlu berasa gerun seperti dahulu apabila dikelilingi oleh sebahagian besar murid sekolah itu. Amran seolah-olah tidak dapat menahan debaran di dadanya. Darahnya bergerumuh. Puas dia beristigfar untuk menenangkan kali pertama dahulu seperti menghantui dirinya. Akibatnya, permainan Amran dalam set pertama menjadi kelam-kabut. Sebaliknya, membuat banyak kesilapan, dan akhirnya Amran tewas dalam set itu.


Sepuluh minit telah berlalu. Set kedua telah dimulakan. Amran sudah ketinggalan 0-6. Corak permainan Amran kelihatan kaku dan tidak menyakinkan. Dia kelihatan begitu tertekan.


Di luar gelanggang Sarjit dan rakan-rakan sepasukan yang lain serta Cikgu Mahadi resah gelisah. Malah, Cikgu Mahadi kelihatan menggeleng-gelengkan kepalanya. Jika Amran kalah, sedikit sebanyak semangat rakan-rakan yang lain akan terjejas. Namun, mereka bersama-sama memberi sokongan moral kepada Amran.


Yusof yang duduk di antara penonton yang menyaksikan pertandingan akhir itu, tidak dapat menahan sabar melihat keadaan Amran. Lalu, Yusof turun ke tempat duduk bawah. Dia menghampiri Cikgu Mahadi. Yusof berharap dengan kehadirannya di sebelah Cikgu Mahadi membolehkan dia memberi kata-kata pendorong kepada Amran.


Harapan Yusof termakbul. Ketika Amran keluar gelanggang untuk mengesat peluh, Yusof sempat berkata sesuatu kepada Amran. Kehadiran Yusof seolah-olah memberi kekuatan dan semangat baru kepada Amran. Sebenarnya, bagi diri Amran, apabila dia terpandang wajah Yusof, serta-merta fikirannya mengingati semua segala susah payah dan pengorbanan yang diberikan oleh Yusof selama ini. Raket yang digunakan pada hari pertandingan itu juga adalah raket pemberian Yusof.


Apabila, permainan disambung semula, corak permainan Amran berrubah. Amran menukar taktik permainannya, iaitu dengan bermain pantas. Bermain cara ini memerlukan stamina yang tinggi. Amran menyambut hantaran lawan lalu mematikan servis. Sekarang giliran Amran membuat servis. Dia tidak memberi peluang langsung kepada lawannya untuk bertindak balas. Mata demi mata dikutip oleh Amran. Lawan Amran tidak dapat mengikut rentak permainan itu dengan baik. Amran semakin tangkas dan ligat di gelanggang.


Sementara itu, tepuk sorak penonton semakin riuh. Mereka terpesona dengan perubahan mendadak yang ditunjukkan oleh Amran. Amran kelihatan semakin yakin kepada dirinya sendiri.

Tujuh belas minit kemudian, Amran berjaya memenangi permainan dalam set kedua. Ini bermakna mereka akan bermain dalam set penentuan, iaitu set ketiga.


Sebelum permainan dalam set penentuan itu dilangsungkan, masing-masing diberi rehat selama lima minit. Cikgu Mahadi dan Yusof mengambil kesempatan yang singkat itu untuk membakar semangat Amran.


“Para pemain diminta masuk ke gelanggang!” Suara pengadil permainan mengejutkan Amran. Dadanya kembali berdebar. “Aku mesti menang dalam set ini!” getus hati Amran sambil mula melangkah masuk ke gelanggang.


Amran memulakan servis. Dia membuat hantaran tinggi ke belakang gelanggang lawan. Lawannya melompat tinggi dan membuat pukulan kencang. Amran terpaku dan gagal membalas pukulan lawannya itu.


Servis bertukar tangan. Pemain perseorangan pertama Sekolah Menengah Datuk Menteri itu membuat servis pula. Servisnya pendek sahaja, tetapi cukup mengelirukan Amran. Amran tidak menyangka lawannya itu akan membuat servis yang pendek. Amran tergamam dan tidak dapat mengembalikan servis itu. Mata pertama berjaya dipungut oleh pemain lawan.

Lima belas minit telah berlalu. Permainan bertambah sengit. Kedua-dua pemain menunjukkan mutu permainan yang tinggi. Kedudukan mata sering terikat. Dari satu sama, dua sama dan sehingga kini, sepuluh sama. Servis telah beberapa kali bertukar tangan. Namun, kedudukan tersebut tidak berubah.


Sementara itu, di luar gelanggang penyokong kedua-dua pemain semakin berdebar. Maisng-masing turut tertekan melihatkan permainan yang sengit itu. Masing-masing mengharapkan pemain yang disokong akan mencapai kejayaan.


Pada kedudukan sepuluh sama itu, Amran kembali merampas servis. Dengan berdebar-debar dan tekad ingin memecahkan kebuntuan. Amran membuat servis jauh ke belakang. Lawannya membalas dengan menghantar bola separuh gelanggang. Tanpa membuang masa, Amran terus melonjak dan melakukan pukulan pancung untuk menambahkan matanya.


Setelah berupaya memecahkan dua mata lagi sehingga menjadikan kedudukan tiga belas berbalas sepuluh. Amran membuat servis lagi bagi mencari mata penamat. Dengan perasaan yang berdebar-debar, dia cuba membuat servisnya itu terkandas di jaring.


“Wuuhhh...!” kedengaran penyokong-penyokong Sekolah Menengah Sri Tanjung mengeluh.Mereka berasa hampa dengan kegopohan Amran itu.

Amran juga berasa kecewa dengan kegagalannya itu. Tekanan yang diarsainya semakin hebat. Disebabkan tekanan itu juga, dia mula membuat kesilapan sehingga membolehkan lawannya mengejar mata demi mata sehingga dapat menyamakan kedudukan. Akhirnya, mereka terpaksa bermain dengan mata tambahan lima.


Sebelum pemain Sekolah Menengah Datuk Menteri hendak memulakan permainan dengan mata tiga belas sama, Amran meminta kebenaran daripada pengadil untuk mengesat peluh dan minum air. Ketika itulah dia terdengar suara Abang Yusof mengingatkannya.


“Jangan gopoh, Amran. Tumpukan perhatian dan berhati-hati. Tenangkan perasaan. Kamu dah hampir berjaya tadi. Jangan kecewakan diri kamu! Kamu boleh melakukannya!”


Kata-kata galakan tersebut membakar semangat Amran. Dia menarik nafas panjang untuk menenteramkan dirinya sebelum melangkah untuk meneruskan permainan.


Berkat daripada sokongan dan semangatnya, Amran berjaya merampas semula servis. Tanpa, melepaskan servis yang yang dirampas itu. Akhirnya, setelah berhempas pulas selama dua puluh lima minit dalam set penentuan itu. Amran berjaya menewaskan lawannya dengan mata 18-15.


Dia berjaya menjadi pemenang dalam pertemuan sengit itu. Penyokong- penyokongnnya termasuk Yusof meluru ke arah Amran dan mereka menjulangnya beramai-ramai. Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan semangat pasukan lawan semakin pudar. Sebaliknya, pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung semkain berkobar-kobar.


Kemudian, Sarjit meneruskan perjuangan dan mengutip mata kemenangan kedua bagi Sekolah Menengah Sri Tanjung. Kegembiraan pasukan badminton sekolah Amran semakin memuncak apabila pasangan beregu pertama berjaya mengalahkan lawan mereka. Dengan itu, kemenangan telah ternyata menjadi milik Sekolah Menengah Sri Tanjung. Walaupun begitu, perlawanan diteuskan juga. Keputusan akhir pertandingan itu ialah Sekolah Menengah Sri Tanjung berjaya mengalahkan pasukan Sekolah Menengah Datuk Menteri dengan mata kemenangan 4-1.


Kemenangan itu disambut dengan perasaan yang amat gembira oleh pasukan Sekolah Menengah Sri Tanjung dan penyokong- penyokong mereka. Tetapi, bagi Amran kemenangan itu memberi erti yang amat besar baginya. Kejayaan pasukannya menjadi johan peringkat daerah membuka lembaran baru dalam cita-citanya. Tekadnya untuk menjadi jaguh badminton sekolah semakin membara.


Kemenangan pasukan badminton Sekolah Menengah Sri Tanjung , khususnya kemenangan Amran sangat memberi erti kepada Yusof. Dia merasakan usahanya membantu anak Pak Hilmi tidak sia-sia. Dia percaya kemenangan yang seterusnya. Oleh itu, sebagai meraikan kejayaan Amran. Yusof telah mendukung Amran di belakangnya sewaktu sampai di Sekolah Menengah Sri Tanjung . Selepas itu, Amran dibawa berjalan menuju ke rumahnya. Rakan-rakan sekolah Amran mengikut Yusof dan Amran dari belakang. Cikgu Mahadi dan guru besar pula tersenyum melihat gelagat anak-anak murid mereka.


Dalam pada itu, guru besar tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Cikgu Mahadi kerana kejayaan pasukan badminton sekolah yang dibimbing oleh Cikgu Mahadi iu. Guru besar juga berjanji akan mengusahakan tempat di asrama penuh untuk Amran, walaupun Amran belum mewakili negeri.


Yusof terus mendukung Amran sehingga ke halaman rumah Pak Hilmi. Kemudian, dia melaung memanggil Mak Limah. Mak Limah, Marlina dan Saiful yang berada di dalam rumah kelam-kabut keluar. Apabila, melihat Amran didukung oleh Yusof dan diekori pula oleh rakan-rakan Amran, Mak Limah menjadi pucat lesi. Dia menyangka Amran cedera ditimpa kemalangan.


Sebaliknya, Amran tersenyum memandang emaknya. Perlahan-lahan Yusof menurunkan Amran. Amran kemudian memberitahu emaknya bahawa pasukan sekolahnya telah memenangi pertandingan badminton sebentar tadi. Di samping itu, Amran juga tidak lupa memberitahu Mak Limah bahawa pasukannya akan berpeluang mewakili dan bertanding di peringkat negeri. Berita itu sangat menggembirakan Marlina. Dia bersorak kesukaan lalu memeluk Amran. Tetapi, Mak Limah yang belum faham hal sebenar, terpinga-pinga melihatkan kelakuan anak-anaknya.

“Sekolah Amran telah menjadi juara pertandingan badminton, Mak Limah. Dia menjadi salah seorang pemain perseorangan yang handal di daerah kita ini,” Yusof menjelaskan kepada Mak Limah.


“Ohh, begitu! Tahniah, Am! Emak tidak tahu pun yang kamu bertanding hari ini. Kalau tidak, mak pasti pergi menonton kamu bermain. Kasihan kamu,tiada siapa pun daripada keluarga kita yang memberi sokongan,” Mak Limah berkata dengan sayu bercampur gembira. “Tak apalah, emak. Abang Yusof ada...,” kata Amran. Yusof tersengih mendengar kata-kata Amran.


Sejurus kemudian, rakan-rakan Amran yang mengekori Yusof dan Amran, meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing. Tetapi, beredar mereka bergilir-gilir mengucapkan tahniah kepada Amran. Tetapi, entah untuk kali yang ke berapa...

BAB 9


Dua minggu telah berlalu. Ini bermakna latihan intensif badminton di sekolah telah banyak Amran tinggalkan. Walau bagaimanapun, Amran menggunakan waktu rehat untuk berlatih. Amran tidak dapat mengikuti latihan intensif di sekolah kerana setiap hari apabila loceng akhir berbunyi kira-kira pukul 1.00 tengah hari, dia akan tergesa-gesa keluar dari sekolah. Kemudian, dia berjalan dengan pantas menuju ke kedai kopi Ah Kam yang terletak di simpang jalan berhampiran dengan lebuh raya. Dia akan berada di kedai itu sehingga ke pukul 5.00 petang.


Mak Limah tidak mengetahui sebab sebenar Amran pulang lewat setiap hari. Ini kerana Amran telah mengatakan kepada emaknya bahawa dia pulang lewat sebab terpaksa menghadiri kelas tambahan di sekolah. Oleh sebab itu, Mak Limah tak kisah jika Amran pulang lewat. Mak Limah betul-betul percaya kepada kata-kata Amran. Tambahan pula, tahun itu Amran akan menduduki peperiksaan PMR. Pak Hilmi juga tidak marah pada Amran. Bagi Pak Hilmi, lewat pulang ke rumah kerana ada kelas tambahan tak mengapa. Buat sementara waktu itu, rahsia Amran tersimpan dengan baik.


Amran tahu dia berdosa kepada emak dan ayahnya. Namun, dia akan memberitahu perkara sebenar kepada mereka pada suatu hari kelak. Pada masa itu, dia akan memohon ampun daripada mereka.

Di kedai kopi Ah Kam, Amran bekerja mencuci pinggan mangkuk. Dia mendapat upah gaji hari. Ah Kam seorang yang baik hati dan bertimbang rasa. Dia tahu Amran benar-benar memerlukan wang. Itu pun setelah Amran merayu bahawa dia benar-benar memerlukan wang. Itu pun setelah Amran menceritakannya semasa mula-mula meminta kerja dahulu. Pada mulanya, Ah Kam tidak mahu mengambil Amran bekerja kerana dia risau Pak Hilmi akan memarahinya kerana mengambil Amran bekerja. Tetapi, apabila Amran menceritakan tujuan sebenar dia bekerja, Ah Kam bersedia menerimanya bekerja dengan upah sebanyak RM4.00 sehari. Jika hendak dikira upah, upah itu agak tinggi kerana Amran hanya bekerja tiga jam, iaitu dari pukul 2.00 hingga 5.00 petang. Tetapi, Ah Kam tak kisah. Dia ingin Amran mencapai cita-citanya.


Suasana di kedai kopi Ah Kam masih sibuk. Banyak pelanggan yang keluar masuk sejak tengah hari tadi. Di bahagian dapur, kedengaran bunyi pinggan mangkuk yang sedang dibasuh oleh Amran berlaga-laga. Walau bagaimanapun, Amran cukup berhati-hati ketika membasuh. Dia sedaya upaya cuba mengelakkan pinggan cawan daripada pecah ketika dibasuh. Ah Kam pun telah berpesan kepada Amran supaya berhati-hati semasa mencuci pinggan mangkuk.


Kadang-kadang Ah Kam mempelawa Amran minum percuma di kedainya. Tetapi, biasanya Amran akan menolak. Amran bukan tidak sudi tetapi dia telah banyak berhutang budi kepada Ah Kam dan tidak tahu bagaimana hendak membalasnya.


Hari itu hari Rabu. Amran, seperti biasa terus manuju ke kedai kopi Ah Kam sebaik sahaja lepas waktu sekolah. Hatinya berdebar-debar sahaja pada petang itu. Amran berasa bimbang. Dia tidak tahu apa yang dibimbangkannya. Walaupun begitu, dia tetap pergi juga ke kedai Ah Kam. Sesekali Amran terasa seperti diekori dari belakang. Oleh sebab itu, selepas menapak dua tiga langkah. Amran menoleh ke belakang. Tetapi, dia tidak dapat melihat sesiapa mengekorinya.


Setibanya di kedai Ah Kam, Amran terus ke dapur. Beg sekolahnya diletakkan di kaunter. Anak gadis Ah Kam yang menjaga kaunter meletakkan beg sekolah Amran dengan cermat di suatu sudut.


Kemudian, Amran pergi ke belakang kedai itu di mana terletak tempat membasuh pinggan mangkuk. Sebelum memulakan kerjanya, Amran menukarkan kasut sekolahnya dengan selipar jepun yang disediakan oleh Ah Kam. Selain selipar, Ah Kam juga menyediakan apron untuk Amran supaya baju sekolah Amran tidak kotor. Sewaktu Amran baru hendak menuangkan serbuk sabun ke dalam besen, dia terdengar Ah Kam berbual dalam bahasa Melayu dengan seorang lelaki.


“Sudah berapa lama dia bekerja di sini?” tanya lelaki itu. “Baru dua minggu. Dia sendiri yang datang meminta kerja di sini. Mulanya saya tak bagi. Tapi, apabila dia terus merayu, saya berasa kasihan. Jadi, saya pun terima dia bekerja di sini,” kata Ah Kam dalam bahasa Melayu yang agak pelat.

Amran tidak dapat mengecam suara lelaki itu. Namun, hatinya lega kerana suara itu bukan suara ayahnya. Itu dia cukup pasti. Amran cukup cam suara kasar milik ayahya.


“Boleh saya berjumpa dengannya?” suara lelaki itu meminta kebenaran daripada Ah Kam. “Boleh! Boleh!” terdengar suara Ah Kam memberikan kebenaran.


Dada Amran menjadi berdebar-debar. Pekerjaannya terhenti. Dia menanti sahaja orang itu mendekatinya. “Amran!”


Darah Amran menyirap ke muka apabila orang itu memanggil namanya serta memegang bahunya dari belakang. Amran memejamkan mata dan bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.


“Jangan takut. Ini Abang Yusof. Abang tak akan mengapa-ngapakan kamu,” Yusof bersuara lembut.


Ketakutan Amran berkurangan sedikit. Dia segera berpaling memandang Yusof dan kemudian memeluk pemuda itu sambil merayu-rayu. “Bang, jangan beritahu ayah saya. Saya takut. Nanti, saya kena pukul lagi... tolonglah bang,” bersungguh-sungguh Amran merayu Yusof.


Tingkah laku Amran meraih simpati Yusof. Dia memeluk Amran kembali erat-erat. Yusof dapat merasakan betapa takutnya Amran ketika itu. Apabila Amran beransur tenang. Yusof menariknya duduk di meja hadapan. Tetapi, kedudukan meja itu agak tersorok daripada pandangan orang ramai.


“Mengapa kamu bekerja di sini?” Yusof memulakan perbualan. Amran tidak terus menjawab. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu Yusof perkara sebenar. Oleh itu, dia hanya mendiamkan diri.

“Amran, percayalah kepada abang. Abang takkan berniat untuk menyusahkan kamu. Abang tak akan beritahu apa-apa kepada ayah kamu. Kamu jangan bimbang. Ceritakanlah apa sebabnya kamu bekerja di sini,” Yusof memujuk Amran dengan lembut.


“Adakah emak kamu yang menyuruh kamu bekerja di sini?” Yusof cuba meneka-neka. Amran menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kamu tak cukup duit belanja ke?” Yusof terus meneka apabila Amran membisu. Amran terus menggeleng-gelengkan kepalanya. Yusof hampir-hampir putus asa. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk mengorek rahsia daripada Amran.


“Kamu jangan bimbang. Ayah kamu tak ada. Dia tak akan balik dalam seminggu ini. Ayah kamu ada berpesan kepada abang supaya menengok-nengokkan keluarga kamu,” Yusof memberitahu Amran. “Ayah ke mana?” Amran mula bersuara.

Hati Yusof mulai lega. “Tadi dia ada sebut yang dia hendak pergi ke Kuala Lumpur,” kata Yusof lagi. “Kalau macam tu, bolehlah aku berlatih di sekolah setiap petang,” Amran berkata-kata seorang diri.


Yusof mendengar perkataan berlatih yang disebut oleh Amran. “Berlatih? Berlatih apa, Amran?” tanya Yusof yang inginkan kepastian.


“Badminton! Bang, saya sebenarnya akan menyertai pertandingan badminton antara sekolah-sekolah. Tapi, saya tak dapat menjalani latihan intensif yang diadakan di sekolah pada setiap petang. Kalau saya pulang lewat, ayah akan pukul saya dengan teruk. Tapi, saya tak mahu memberitahu dia apa yang saya lakukan di sekolah,” Amran menceritakan apa yang berlaku dengan panjang lebar.


“Habis yang kamu kerja petang ni, dia tak marah?” tanya Yusof kehairanan. “Dia tak marah, sebab dia tidak tahu yang saya bekerja. Saya cuma memberitahu emak yang saya pulang lewat kerana ada kelas tambahan,” jelas Amran.


“Abang berasa hairan kerana kamu takut untuk menghadiri latihan intensif di sekolah, tapi kamu tak takut pula bekerja di kedai ini. Apa sebenarnya tujuan kamu bekerja di kedai Ah Kam ni?” Yusof bertanya lagi.



“Begini, bang. Oleh sebab saya tidak dapat mengikuti latihan intensif di sekolah setiap hari, jadi saya bercadang nak berlatih sendiri di rumah setiap petang. Saya dan Sarjit juga telah bersetuju untuk berlatih bersama-sama pada hujung minggu. Saya perlu bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan itu nanti. Saya juga perlu memiliki raket sendiri. Saya tahu, emak tak mampu membelikannya . untuk saya. Ayah apa lagi. Sebab itu saya bekerja di sini. Saya ingin mengumpul wang untuk membeli raket itu,” Amran menceritakan tujuannya kepada Yusof.


Yusof mengannguk-anggukkan kepalanya apabila mendengar penjelasan Amran. Kini, barulah dia faham perkara yang sebenar. Dia berkira-kira sendiri berapa lama masa yang akan diamlbil oleh Amran untuk mengumpulkan duit bagi membeli raket itu.


Sewaktu Yusof dan Amran asyik berbual-bual. Ah Kam datang membawa dua cawan kopi untuk mereka. Ah Kam mempelawa mereka minum. “Yusof, Amran sila minum. Hari ni Ah Kam mahu belanja,” kata Ah Kam sambil duduk di kerusi yang berhampiran dengan Yusof. “Terima kasih. Ah Kam,” ucap Yusof.


“Bila pertandingan itu bermula, Amran?” tanya Yusof yang ingin tahu. “Lebih kurang sebulan setengah lagi,” jawab Amran.


Kemudian, kedua-dua mereka berdiam diri. Bagi Yusof, oleh sebab dia sudah mengetahui cerita yang sebenar, maka dia berasa bertanggungjawab untuk membantu Amran.
“Ayuh, kita balik, Amran. Biar abang hantar kamu ke rumah,” kata Yusof sambil bangun dari kerusi. “Tapi, saya sedang bekerja, bang. Saya baru saja masuk kerja. Nanti Tauke Ah Kam marah,” ujar Amran sambil menoleh ke arah Ah Kam yang masih duduk dikerusi di sebelah Yusof.

“Cukuplah kamu bekerja tu. Mulai hari ini kamu tidak perlu bekerja lagi. Nanti kalau ayah kamu terserempak kamu di sini, teruk kamu dikerjakan,” kata Yusof.


“Tapi, bang, saya mesti bekerja. Saya perlukan duit itu. Saya tak kisah kalau ayah nak buat apa-apa dengan saya. Macam mana pun saya mesti membeli raket itu dan memenangi pertandingan yang bakal berlangsung itu,” tegas Amran dengan semangat yang berkobar-kobar.


Yusof terpegun melihat Amran yang benar-benar nekad dengan keputusannya sendiri. Yusof pasti jika Amran dewasa nanti, dia akan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap keluarganya, Yusof kagum dengan sifat peribadi Amran.


“Amran, kamu jangan risau tentang raket itu. Abang akan tolong kamu untuk membelinya. Anggaplah raket itu sebagai hadiah daripada abang untuk kamu. Apa yang abang mahu dari kamu ialah kamu berhenti kerja dan tumpukan perhatian kepada pertandingan yang akan menjelang tidak lama lagi. Selain itu, jangan abaikan perlajaran kamu,” Yusof berkata pada Amran.

Amran terdiam. Air matanya mula bergenang di kelopak matanya. Dia sungguh tidak menyangka dan terharu. Yusof yang selama ini sentiasa mengikuti ke mana sahaja ayahnya pergi, rupa-rupanya sikap yang bertentangan dengan sikap ayahnya. Yusof seorang yang baik hati . Tiba-tiba Amran merasakan seolah-olah dia dikurniakan sorang abang kandung oleh Tuhan. Amran tidak dapat berkata apa-apa lagi. Perasaannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Amran segera memeluk Yusof sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga. Yusof memeluk Amran kembali sambil menepuk-nepuk bahu Amran. “Anak lelaki tak baik menangis tau,” Yusof mengusik Amran.


Amran memandang ke arah Yusof . Kemudian, dia tersenyum. Ah Kam turut gembira melihat Yusof sudi membantu Amran. Secara tidak langsung, Ah Kam lega kerana kerisauannya jika Pak Hilmi tahu dia mengambil Amran bekerja telah hilang. Sebenarnya, Ah Kam bimbang juga jika Pak Hilmi akan mengamuk tak tentu pasal di kedai kopinya itu. Dia tidak mahu perkara seperti itu berlaku. Akan tetapi kerana bersimpati kepada Amran, dia terpaksa memendamkan parasaannya.


Dalam masa yang sama Ah Kam sentiasa berharap agar tuhan melindunginya. Sekarang dia bersyukur kerana segala-galanya telah berlalu. Sebagai melahirkan rasa syukurnya, Ah Kam menghadiahkan wang tunai sebanyak RM50.00 kepada Amran. Amran teragak-agak untuk menerimanya kerana dia baru dua minggu bekerja di situ. Ah Kam mahu memberitahunya bahawa wang itu ialah hadiah, bukannya gaji. Kemudian, Ah Kam turut membayar gaji Amran untuk tempoh dia bekerja selama sepuluh hari, iaitu sebanyak RM40.00.

Selepas berulang kali mengucapkan terima kasih kepada Ah Kam. Amran pun mengekori Yusof keluar dari kedai itu. Dalam perjalanan pulang, Yusof berpesan kepada Amran. “Duit yang Tauke Ah Kam beri dan duit gaji kamu itu jangan digunakan. Simpan saja di pejabat pos.”


Amran tersenyum sahaja. Dia membelek-belek duit itu. Hal ini kerana inilah kali pertama dia mendapat duit sebanyak itu. Wang sebanyak RM90.00 itu sudah terlalu banyak buat Amran. Dia tidak pernah terfikir untuk memiliki wang sebanyak itu.


“Tapi, bang... kalau saya gunakan sedikit wang ini untuk membeli buah-buahan, boleh tak?” Saya nak belanja emak, Saiful dan kakak.” Amran bertanya dengan Yusof.


“Amran.... sudah tentu boleh. Esok kita pergi ke pekan dan membelinya. Abang akan membeli apa sahaja yang Amran mahu. Tapi, Amran mesti berjanji untuk menyimpan duit Amran yang ada itu di pejabat pos,” kata Yusof sambil memandang ke arah Amran yang dalam keadaan serba salah.


“Bang, saya sebenarnya tidak langsung bermaksud untuk menyuruh abang membelikan apa saja yang saya hajati. Saya harap abang faham, saya cuma nak gembirakan hati emak, Kak Marlina serta adik saya, Saiful.. Kami sekeluarga sebenarnya jarang benar menikmati buah-buahan yang dibeli di bandar. Jadi, apabila saya ada duit, saya ingin membelanja mereka,” jelas Amran pada Yusof.

“Sudahlah Amran, abang faham. Lupakanlah kesusahan itu dulu, Abang Yusof kan ada. Anggaplah abang seperti abang kandung kamu sendiri dan abang harap kamu tidak segan untuk berkongsi masalah kamu dengan abang. Sekarang mari kita pulang segera.”


Amran tidak dapat berkata apa-apa lagi. Dia sangat terharu melihat sikap Yusof. Dia juga bersyukur kerana Tuhan menemukan dia dengan orang seperti Yusof. Kemudian, bagaikan adik dan abang, Yusof dan Amran berjalan beriringan pulang ke rumah.


Petang itu, Amran bertemu dengan Sarjit. Dia memberitahu segalanya yang berlaku kepada rakannya itu. Sarjit turut gembira dengan apa yang berlaku kepada Amran. Mereka berharap tiada masalah besar lagi yang akan mengganggu program latihan mereka.


“Bersyukur. Agaknya inilah yang dinamakan takdir Tuhan,” kata Sarjit. “Kamu tahu Sarjit, Abang Yusof menyuruh saya agar menganggapnya sebagai abang kandung saya sendiri,” beritahu Amran lagi.


“Baguslah kalau begitu. Sekarang ni kamu anggaplah dia seperti abang kamu sendiri sebab dua atau tiga tahun lagi, mana la tahu dia mungkin akan menjadi abang ipar kamu pula... Ha! Ha! Ha!” Sarjit ketawa terbahak-bahak kerana dapat mengusik Amran. Amran pula tersenyum simpul mendengar gurauan Sarjit.

BAB 8




Jam menunjukkan pukul 7.20 pagi. Loceng sekolah akan berbunyi tepat jam 7.40 pagi. Murid-murid yang datang awal, bermain-main sesama mereka sementara menanti kelas bermula. Suasana riuh rendah kedengaran di sana sini. Begitulah keadaannya setiap pagi di sekolah itu. Namun, keriuhan suara rakan-rakannya itu langsung tidak menarik minat Amran untuk turut serta. Dia terus-menerus melayan perasaannya yang serba salah.


Amran berfikir panjang tentang penglibatannya dalam pertandingan badminton antara sekolah-sekolah. Sukar rasanya untuk dia membuat keputusan dalam hal ini. Dia memang menaruh harapan yang tinggi untuk memenangi pertandingan itu. Seterusnya, dia mahu mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat daerah dan akhirnya ke peringkat antarabangsa. Itulah cita-cita utama Amran. Tetapi, Amran dapat membayangkan cita-cita itu akan patah di tengah jalan.Dia tahu bukan senang untuk mencapai cita-cita tersebut.


Namun, kalau tak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya. Amran pernah membaca di akhbar tentang rintangan yang dihadapi oleh keluarga pemain badminton negara- keluarga Sidek. Orang ramai memang tidak mengetahui betapa susah payahnya keluarga itu dahulu. Keluarga tersebut hanya disanjung apabila anggota keluarga mereka seperti Misbun, Razif, dan Rashid berjaya meraih kejayaan demi kejayaan, baik di peringkat negara mahupun antarabangsa. Memang, tidak ramai yang tahu mereka sebelum ini. Mengenangkan hal itu, Amran menguatkan tekad untuk berjaya dalam bidang sukan badminton.

Amran tersenyum sendirian apabila memikirkan hal itu. Kemudian, fikirannya kembali ke dunia nyata. Dia rungsing semula apabila teringat yang dia perlu membeli sebatang raket untuk berlatih setiap hari Sabtu dan Ahad bersama-sama Sarjit. Kebetulan rumah Sarjit dan rumahnya juga tidak terlalu jauh. Amran tidak sanggup berlatih di sekolah setiap petang. Dia tidak mahu ayahnya memukul dia lagi tanpa usul periksa. Namun, Amran tidak berminat langsung untuk memberitahu Pak Hilmi sebab-sebab dia pulang lewat dari sekolah. Amran juga belum mahu menceritakan apa-apa kepada emaknya. Dia sebenarnya mahu membuat kejutan pada emak dan kakaknya. Dia mahu mereka berdua kagum dengan kebolehannya.


Apabila terkenang akan harga raket yang mahal, Amran tidak dapat melayan terus angan-angannya. Amran tahu, memang ada raket yang berharga murah. Tetapi, raket murah begitu tidak sesuai dan tahan lama untuk digunakan bagi latihan intensif. Dua tiga kali smash, besar kemungkinan tali raket itu akan putus.


Lamunan Amran terhenti apabila motorsikal Cikgu Mahadi melintas di hadapannya. Cikgu Mahadi baru sahaja tiba. Amran segera pergi mendapatkan Cikgu Mahadi yang sedang menongkat motorsikalnya. “Selamat pagi. Cikgu,” sapa Amran. “Oh, kamu Amran! Selamat pagi. Awal kamu sampai ke sekolah, sapa Cikgu Mahadi.


“Cikgu, saya ada hal sedikit yang nak saya cakapkan kepada cikgu,” ujar Amran perlahan. “Apa halnya Amran? Apa masalah kamu?” tanya Cikgu Mahadi dengan agak kehairanan. “Cikgu, saya rasa, saya terpaksa menarik diri daripada menyertai pertandingan badminton antara sekolah-sekolah,” Amran memberitahu Cikgu Mahadi dengan perasaan kesal.


“Tapi, mengapa? Apa sebabnya?” Cikgu Mahadi yang terkejut mendengar kata-kata Amran bertanya. “Adakah kamu mengaku tewas sebelum berjuang?” Cikgu Mahadi cuba menguji. Dia sebenarnya bimbang sekiranya Amran betul-betul mahu menarik diri. Ini kerana dia telah meletakkan harapan sekolah kepada Amran memandangkan bakat Amran yang terserlah dalam sukan badminton. Bakat itu perlu digilap untuk menjadikannya seorang pemain yang disegani lawan.


“Bukan…bukan begitu, cikgu. Cuma saya tak dapat menyertai latihan intensif seperti yang dijadualkan itu,” kata Amran sambil menunjukkan ke arah papan kenyataan sekolah. “Alasannya?” Cikgu Mahadi mahukan penjelasan lebih lanjut. “Saya tidak dibenarkan pulang lewat ke rumah, jawab Amran perlahan lalu menundukkan kepala memandang simen.


“Ohh, itu tak jadi masalah! Petang nanti saya akan ke rumah kamu untuk menerangkan hal yang sebenar kepada emak dan ayah kamu. Saya pasti mereka akan memberi sokongan kepada kamu,” kata Cikgu Mahadi cuba meyakinkan Amran agar tidak berputus asa.

“Bukan begitu, cikgu. Sebenarnya saya terpaksa membantu emak saya menjual kuih pada waktu petang. Saya tidak mahu mengecilkan hati emak saya. Nanti, dia fikir saya sengaja mencari-cari alasan untuk tidak menjual kuih,” Amran terpaksa membohongi Cikgu Mahadi.


“Jadi, kamu tak mahu saya pergi menemui mereka bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar? Atau sekurang-kurangnya meminta kebenaran daripada mereka?” Cikgu Mahadi bertanya inginkan penjelasan daripada Amran. Amran menggeleng-gelengkan kepalanya.


Cikgu Mahadi terus bertanya. “Kamu benar-benar mahu menarik diri daripada pertandingan itu ? Kamu dah fikir habis-habis?”

“Ya, cikgu!” jawab Amran pendek.

Perbualan mereka terhenti apabila loceng berbunyi. Amran meminta izin daripada Cikgu Mahadi untuk masuk ke kelasnya. “Amran, jumpa saya di bilik guru semasa rehat nanti,” Cikgu Mahadi berpesan.


Setelah memberi persetujuan. Amran terus berlari menuju ke kelasnya. Rakan-rakan sekelasnya ketika sedang berbaris di luar kelas. Amran berdiri di sebelah Sarjit, pasangannya sewaktu latihan badminton. Kemudian, mereka berjalan seiring masuk ke dalam kelas dengan teratur.



“Bagaimana?” Sarjit bertanya tidak sabar-sabar lagi. “Belum ada keputusan. Rehat nanti,” Amran menjawab sambil menuju ke tempat duduknya. Amran duduk di bahgian tengah di barisan kanan sekali dalam kelas itu. Semua murid kelas itu kemudiannya mengeluarkan buku teks untuk menghadapi mata pelajaran pertama.


Cikgu Ravi yang mengajar mata pelajaran Matematik belum muncul-muncul lagi. Masa yang terluang itu membuatkan fikiran Amran melayang. Dia juga teringat akan janjinya dengan Sarjit, iaitu untuk menjalani latihan yang lebih keras lagi di rumah, selain mengikuti latihan di sekolah. Kedua-dua mereka mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengharumkan nama sekolah.


Sarjit mencadangkan mereka berlatih pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Malangnya, hanya Sarjit yang memiliki raket sendiri. Raket milik sekolah pula tidak boleh dibawa balik kerana murid-murid lain juga hendak menggunakannya. Amran pun berasa malu untuk menceritakan masalahnya itu kepada Cikgu Mahadi. Lagipun, kalau boleh mereka tidak mahu orang lain mengetahui latihan intensif yang dirancangkan oleh dia dan Sarjit. Oleh itu, Amran terpaksa membeli sebatang raket untuk kegunaannya sendiri. Jadi, tidak dapat tidak, dia mesti berusaha untuk membelinya.


“Lagipun, inilah kali pertama aku ingin membeli sesuatu yang berharga. Insya-Allah raket itu banyak gunanya kepada aku sehingga aku dewasa.” Begitulah, Amran cuba mententeramkan perasaannya yang begitu meluap-luap kerana ingin memiliki sebatang raket sendiri.

Waktu rehat pada hari itu, Amran tidak pergi ke padang sekolah. Dia tidak berminat lagi untuk melihat rakan-rakannya bermain bola. Lagipun, dia sudah sering melihat rakan-rakannya bermain bola. Lagipun, dia ingat akan janjinya dengan Cikgu Mahadi pagi tadi. Dengan perasaan yang masih berkecamuk, Amran melangkah pergi ke bilik guru.


“Assalamualaikum, cikgu,” Amran memberi salam kepada Cikgu Mahadi. “Hah..., Amran! Mari duduk di sini,” Cikgu Mahadi mempelawa Amran duduk di kerusi di hadapannya selepas dia menjawab salam Amran.


Amran berasa kekok duduk bertentangan dengan Cikgu Mahadi. Tambahan pula, dia tidak pernah duduk di atas kerusi empuk seperti itu. Selama ini di rumahnya, Amran hanya biasa duduk bersila di atas lantai yang berlapikkan tikar pandan usang. Cikgu Mahadi tersenyum melihatkan tingkah laku Amran.


“Bagaimana tentang hasrat kamu tadi? Saya harap kamu telah membatalkannya,” Cikgu Mahadi memulakan perbualan. “Tidak, cikgu. Saya tetap dengan keputusan saya tadi. Saya tidak mempunyai pilihan lain,” kata Amran.


“Tapi, Amran, saya telah berbincang dengan guru besar tentang hasrat kamu itu. Guru besar juga tak setuju dengan keputusan kamu. Saya rasa kamu telah membuat keputusan terburu-buru,” Cikgu Mahadi mengatakan pendapatnya kepada Amran.
“Amran, sebenarnya kamu mempunyai bakat dalam sukan badminton. Bakat kamu akan lebih terserlah jika digilap melalui latihan-latihan-latihan intensif. Saya tidak hairan kalau kamu boleh setanding dengan Rashid Sidek pada suatu hari nanti. Kamu tak boleh menjadikan kemiskinan keluarga sebagai penghalang untuk maju. Jika kamu mengalah, bakat yang kamu ada akan menjadi sia-sia saja,” nasihat Cikgu Mahadi sambil merenung ke arah muka Amran.


“Amran, kamu tahu tak, jika kamu berjaya memenangi pertandingan itu dan seterusnya berjaya ke peringkat kebangsaan, kamu bakal mengharumkan nama sekolah ke seluruh negara. Nama kamu akan disebut-sebut dan menjadi sejarah kepada sekolah kita ini. Dan satu lagi guru besar telah berjanji akan memasukkan kamu ke sekolah khas badminton yang berasrama penuh di bandar. Di sana, kamu dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada sukan dan pelajaran dengan lebih sempurna,” Cikgu Mahadi memberitahu janji guru besar kepada Amran. Amran begitu gembira apabila diberitahu jika dia memenangi pertandingan badminton, dia akan dimasukkan ke sekolah berasrama penuh sukan yang menjadi impiannya selama ini. Dia tidak mungkin melepaskan peluang yang ditunggu-tunggu.

Amran termenung seketika. Tidak terlintas di fikrannya betapa besarnya harapan sekolah dan guru besar pada dirinya. Semangat Amran untuk menjadi jaguh dalam sukan badminton kembali membara setelah mendengar janji guru besar yang disampaikan oleh Cikgu Mahadi. Amran juga berazam akan mempamerkan permainan yang cemerlang nanti. Untuk mencapai cita-cita itu, dia perlu mendapatkan raket untuk berlatih di rumah. Dia tidak mahu cita-citanya patah di tengah jalan...

Dalam perjalanan pulang dari sekolah pada hari itu, Amran berlari-lari riang. Dia telah mendapat akal bagaimana untuk mendapatkan wang bagi membeli raket. Dia telah tekad. Dia mesti mendapat raket yang dihajatinya. Fikirannya tak berserabut lagi.


* * * * * * *

Di sebuah kedai kopi di kampung Sri Tanjung. Pak Hilmi sedang minum sambil berbual dengan Yusof. Sesekali perbualan mereka disulami dengan gelak ketawa. Sambil berbual-bual, mereka mengunyah kacang goreng. Begitulah kebisaannya. Pengunjung kedai kopi itu bukan makan makanan yang berat-berat. Mereka lebih suka memakan kacang goreng, kuaci, keropok atau kuih-muih yang siap terhidang di atas meja. Mereka jarang meminta nasi atau mi kerana mereka ke situ untuk berkumpul dan bersembang-sembang kosong. Apabila tiba waktu makan, masing-masing bersurai. Mereka memilih untuk makan di rumah sendiri. Tuan kedai itu sudah maklum benar perangai pelanggan-pelanggan tetapnya itu.


Pak Hilmi terus mengunyah kacang goreng. Matanya merenung ke arah Yusof. Di dalam fikiran Pak Hilmi, dia sedang merancang sesuatu.


“Mengapa Pak Hilmi merenung saya begitu?” tanya Yusof yang berasa tidak senang dengan pandangan Pak Hilmi. “Tak ada apa-apa. Cuma aku hairanlah tengok engkau ini. Kerja entah apa sangat, tapi duit sentiasa ada,” kata Pak Hilmi.

“Ohh, begitu! Kita ni hidup di kampung. Banyak kerja yang boleh kita buat tak bolehlah kita bergantung hidup dengan memikat atau meracik burung saja,” Yusof memberi pandangan ikhlas kepada Pak Hilmi.


Pak Hilmi terdiam mendengar kata-kata Yusof. Dia tahu Yusof menyindirnya. Hatinya terbuku. Tujuan sebenar dia memuji Yusof ialah untuk meminjam wang lagi daripada pemuda itu. Sebaliknya, Yusof menempelaknya pula dengan kata-kata sindiran yang memedihkan hati. Tetapi, Pak Hilmi tidak boleh berbuat apa-apa. Lagipun, kata-kata Yusof itu memang kena pada dirinya.


Yusof memang seorang pemuda yang rajin. Sesungguhnya dia kerap mengikut Pak Hilmi pergi meracik dan memikat burung, tetapi dia tidak pergi dengan tujuan itu semata-mata. Jika Pak Hilmi duduk termenung menanti jeratnya mengena, sebaliknya Yusof pula sibuk mencari damar atau rotan untuk dibawa pulang. Dari situlah dia dapat menambahkan pendapatannya, selain hasil jualan kambing dan susu lembu ternakannya. Bagi Yusof, meracik burung hanyalah hobi. Kalau dapat burung-burung yang baik, bolehlah dijual. Kalau tak dapat pun tak mengapa.


Berlainan pula dengan sikap Pak Hilmi yang memang mengharapkan mendapat burung merbuk atau tekukur. Ini kerana kedua-dua jenis burung itu memberi pendapatannya yang agak lumayan. Jika Pak Hilmi tidak dapat memikat burung-burung tersebut, bermakna tidak berwanglah dia. Tambahan pula, sekarang ini bukan senang hendak mendapatkan burung-burung itu lagi. Kebelakangan ini, tiga empat kali Pak Hilmi pergi meracik burung dan dia terpaksa balik dengan tangan kosong saja.


Pak Hilmi terus mencongak-congak sendiri masa yang sesuai untuk meminjam wang daripada Yusof. Hanya Yusof yang nampak ketika itu.


“Pak Hilmi, apa pula yang difikikan tu?” tegur Yusof. “Sop, ikut aku sekejap,” kata Pak Hilmi sambil bangun daripada duduknya. Kemudian, Pak Hilmi pergi ke bawah sepohon jambu yang rendang berhampiran dengan kedai kopi tersebut. Dia mahu menjauhkan diri daripada orang lain di kedai itu. Pak Hilmi tak mahu orang lain mendengar perbualannya dengan Yusof.


“Apa halnya. Pak Hilmi? Serius nampaknya,” kata Yusof sebaik sahaja berada di bawah pokok jambu itu. “Beri aku pinjam dua ratus ringgit, Sop!” Pak Hilmi berterus terang.


“Pak Hilmi nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” tanya Yusof kehairanan. “Engkau beri sajalah. Tak payah banyak tanya,” Pak Hilmi menjawab tegas tanpa mengatakan tujuannya.


“Maaf, Pak Hilmi. Saya tak ada duit sebanyak itu,” Yusof memberi alasan. Kemudian, dia pergi ke kedai kopi itu semula.

Merah padam muka Pak Hilmi apabila mendengar jawapan Yusof. Pak Hilmi menyangkakan Yusof akan meminjamkan wang kepaadanya dengan senang. Rupa-rupanya sangkaan Pak Hilmi salah. Dia cepat-cepat pergi mendapatkan Yusof semula. “Tolonglah aku, Sop,” kata Pak Hilmi dengan lembut.


“Pak Hilmi... sungguhpun saya suka mengikut Pak Hilmi ke mana-mana, tapi tak bermakna saya menuruti segala kata dan kelakuan Pak Hilmi. Kadang-kadang saya pun pelik. Saya yang masih bujang pun merasa risau jika tak ada pendapatan tetap. Tapi, saya lihat Pak Hilmi ni cukup bahagia dapat memerah hasil titik peluh Mak Limah. Saya simpati melihat Mak Limah tu... berhempas pulas mencari rezeki untuk keluarga,” Yusof meluahkan perasaannya yang terpendam selama ini kepada Pak Hilmi.


Pak Hilmi terdiam mendengar kata-kata Yusof. Dia tidak berani bersuara untuk meminjam wang daripada pemuda itu. Sejurus selepas itu, Pak Hilmi pun beredar dari situ. Di telinganya terngiang-ngiang kata-kata Yusof yang cukup memedihkan hatinya. Sambil mengayuh basikal buruknya perlahan-lahan. Pak Hilmi memikirkan kata-kata Yusof sebentar tadi dengan mendalam.Sedikit cahaya keinsafan di hatinya.

BAB 7


Matahari telah pun tegak di atas kepala. Ketika itu, Mak Limah sibuk menuangkan susu getah ke dalam baldi. Dia beredar dari satu pokok ke satu pokok yang lain untuk mengutip susu getah dari pokok-pokok yang ditorehnya tadi. Baldi yang telah penuh berisi susu getah itu kemudiannya diletakkan di tepi jalan. Sebentar lagi, lori kecil estet itu akan datang untuk mengangkut susu getah tersebut. Seterusnya, susu getah itu akan dibawa ke tempat memproses untuk dijadikan getah keping.

Mak Limah hanya akan pergi ke bangsal memesin getah setelah selesai mengumpulkan susu getah di kawasannya. Tetapi, Mak Limah tidak melakukan pekerjaan itu seorang diri. Ada lima orang lagi pekerja perempuan di situ. Bagi Mak Limah, mereka itu adalah rakan-rakan tempat dia bermesra selain anak-anaknya.

Rakan-rakan sekerja Mak Limah juga adalah orang miskin. Sumber pendapatan mereka hanyalah daripada kerja menoreh getah di estet itu. Walau bagaimanapun, kebahagiaan tetap dimiliki oleh mereka. Ini kerana keluarga mereka sama-sama memahami kepayahan hidup yang dialami oleh mereka. Oleh itu, mereka sama-sama berusaha mencari rezeki untuk menampung hidup. Mereka saling bekerjasama dan bantu-membantu. Di samping itu, mereka jarang bergaduh atau bertegang leher. Kalau ada pun, hanyalah pertengkaran-pertengkaran kecil yang merupakan asam garam kehidupan berkeluarga. Kadangkala Mak Limah berasa cemburu dengan kebahagiaan hidup rakan-rakan sekerjanya itu. Biarpun miskin, tetapi hati mereka sentiasa gembira.


Apabila sampai di bangsal memesin getah, Mak Limah menuangkan susu getah yang dikutipnya tadi ke dalam takungan. Kemudian, susu getah itu dicampurkan dengan sedikit air dan cuka getah supaya susu itu membeku. Seterusnya, Mak Limah mengacau campuran itu perlahan-lahan supaya benar-benar sebati. Setelah cukup pekat, Mak Limah membiarkan susu getah itu membeku di dalam takungan tersebut.


Sementara menunggu susu getah itu membeku, Mak Limah melepaskan lelahnya seketika. Dia mencapai bekas air yang dibawanya lalu meneguk air itu perlahan-lahan. Sambil berehat-rehat, Mak Limah berbual-bual dengan rakan-rakannya. Mereka juga menunggu susu getah mereka membeku sebelum dapat dimesin. Waktu menunggu susu getah itu membeku itulah waktu rehat bagi Mak Limah dan rakan-rakannya.


Kira-kira dua jam kemudian, susu getah membeku. Mak Limah mengeluarkannya daripada takungan dan dimesin pula untuk dijadikan getah keping. Ketika memusingkan mesin penggelek untuk menggelek susu getah yang telah beku itu, Mak Limah terpaksa menggunakan tenaga yang banyak. Namun, Mak Limah tetap cekal melakukan kerja itu.

“Limah, suami engkau datang!” beritahu salah seorang rakan Mak Limah.


Sebenarnya, Mak Limah memang sudah menyedari akan kedatangan Pak Hilmi. Tetapi, dia terus membuat kerjanya. Sementara itu, Pak Hilmi menghampiri Mak Limah. Dia berdehem untuk memberi isyarat kepada Mak Limah untuk memberitahu isterinya itu akan kehadirannya di situ. Namun, Mak Limah tetap tekun dengan kerjanya. Kehadiran Pak Hilmi tidak dihiraukannya.


Perbuatan Mak Limah yang tidak menghiraukannya itu menimbulkan kemarahan di hati Pak Hilmi. Dengan geram, dia bersuara sekuat hati tanpa menghiraukan pekerja-pekerja ladang getah yang lain yang berada di situ. “Hoi, Limah! Aku ni masih laki engkau. Kalau laki sendiri pun engkau tak hormat, siapa lagi yang hendak engkau hormatkan, hah?”


Mak Limah terperanjat mendengar kata-kata Pak Hilmi. Dia juga berasa sangat malu dengan perbuatan suaminya itu. Dia segera berhenti daripada memusing mesin penggelek getah itu. “Apa lagi yang awak hendak? Sampaikan tengah bekerja pun, awak nak marah-marahkan saya,” Mak Limah menjawab sambil memandang tajam kepada Pak Hilmi.


Semua pekerja yang berada di bangsal memesin getah itu terhenti daripada membuat kerja masing-masing. Kehadiran Pak Hilmi menarik perhatian mereka. Ketika itu, mandur estet tiba. Dia dengan hormat meminta Pak Hilmi pergi dati situ kerana perbuatan Pak Hilmi mengganggu pekerja-pekerja lain. Keengganan Pak Hilmi untuk beredar dari situ membuatkan mandur tersebut terpaksa berkeras sedikit dengan Pak Hilmi. Setelah ditolak-tolak oleh mandur itu, barulah Pak Hilmi pergi dari situ.


“Terima kasih, mandur,” ucap Mak Limah kepada mandur tempat kerjanya itu. “Saya minta maaf kerana perbuatan suami saya tadi menyebabkan kerja orang lain terganggu,” sambung Mak Limah dengan perasaan bersalah.


Sebenarnya, para pekerja di situ tidak marah kepada Mak Limah. Sebaliknya, mereka bersimpati melihatkan kekalutan rumah tangga Mak Limah. Mereka tahu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh Mak Limah adalah berpunca daripada Pak Hilmi yang malas dan tidak bertanggungjawab.


“Sabar sajalah, kak. Tak ke mana akhirnya Abang Hilmi tu. Berdoalah banyak-banyak semoga Tuhan memberi pengajaran yang boleh menginsafkannya,” pujuk Zaiton, rakan baik Mak Limah.


Sayu hati Mak Limah apabila mendengar kata-kata Zaiton. Ada juga orang yang bersimpati dengan masalah yang dihadapinya. Mak Limah mengesat air mata yang tergenang di kelopak matanya dengan hujung lengan baju.


Sebenarnya, sudah banyak air mata Mak Limah yang mengalir keluar sejak berkahwin dengan Pak Hilmi. Sehinggakan sesekali timbul perasaan menyesal di hati Mak Limah kerana berkongsi hidup dengan Pak Hilmi. Tetapi, apabila mengingatkan anak-anaknya yang sangat dikasihi, perasaan itu melayang pergi.


Semasa Mak Limah masi anak dara, ramai anak muda kampung itu yang tergila-gilakan Mak Limah. Tetapi, semuanya Mak Limah tolak. Mak Limah tidak mahu berkahwin dengan orang lain, kecuali dengan Pak Hilmi. Perkenalan mereka telah bermula ketika sama-sama pergi mengaji al-Quran di rumah Ustaz Hasrul dahulu. Akhirnya, mereka diijabkabulkan. Mak Limah yang mengharapkan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Kebahagiaan yang dikecapi oleh mereka tidak kekal lama.


Selepas beberapa bulan berkahwin, barulah Mak Limah mengetahui Pak Hilmi sebenarnya seorang yang malas bekerja. Selain itu, Pak Hilmi juga panas baran. Selepas kelahiran Marlina, keadaan rumah tangga Mak Limah semakin tenat. Oleh sebab desakan hidup, Mak Limah merelakan dirinya pergi menoreh getah dan mengutip buah kelapa sawit. Namun, perangai Pak Hilmi tidak juga berubah. Malah, Pak Hilmi sudah berani mengamuk dan memukul Mak Limah. Hidup Mak Limah semakin sengsara. Setiap hari dia berendam air mata. Badannya semakin susut kerana makan hati. Walaupun begitu, Mak Limah tetap bersabar dan terus menyayangi Pak Hilmi.


Setelah kerja-kerjanya di ladang getah selesai, Mak Limah meneruskan kerjanya mengutip buah kelapa sawit. Setelah semua kerjanya selesai, Mak Limah akan pulang ke rumah. Waktu itu Marlina sedang sibuk mengemas dapur. Makanan untuk tengah hari telah siap terhidang.
“Ada ayah kamu balik tadi?” Mak Limah bertanya kepada Marlina. “Ada mak. Dia mendengus-dengus saja. Apa yang tak kena, Mar pun tak tahulah,” kata anak gadis sunti Mak Limah itu.


Mak Limah tidak berkata apa-apa lagi. Dia faham benar akan perangai suaminya. Kalau tak dapat apa yang dihajati, mulalah dia mendengus-dengus tak tentu hala. Pantang ditegur, Pak Limah akan melenting.


Kini, telah empat hari Pak Hilmi tidak pulang ke rumah. Tiada langsung khabar berita daripadanya. Saiful mula bertanyakan ayahnya. Marlina memberitahu Saiful, ayah mereka pergi ke rumah nenek mereka di kampung seberang. Marlina sendiri sebenarnya tidak dapat mengagak ke mana hala tujuan ayahnya. Mak Limah pula seolah-olah tidak mengambil kisah. Amran pun begitu juga.


Dalam pada itu, Mak Limah perhatikan sejak kebelakangan ini, Amran sering termenung seperti sedang memikirkan sesuatu. Sekejap dia duduk di muka pintu dan seketika kemudian dia mundar-mandir pula di anjung rumah. Apabila bosan berada di atas rumah, Amran turun ke halaman rumah pula. Mak Limah berasa hairan juga melihat perangai anak lelakinya yang kelihatan rungsing dan gelisah itu.


Hari itu, Amran termenung lagi. Selepas makan tengah hari tadi, Amran terus turun ke halaman dan duduk termenung di atas bangku di bawah pohon manggis. Melihatkan keadaan Amran begitu, Mak Limah pergi mendapatkannya. Dia perlu mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh anaknya itu.


“Am…,” lembut sekali Mak Lomah menegur anaknya. “Boleh emak tahu masalah kamu?” Mak Limah bertanya sambil duduk di sebelah Amran.


Amran menundukkan kepalanya memandang tanah. Kakinya menguis-nguis tanah seperti mencari sesuatu.


“Amran, mak bertanya ni!” Mak Limah mula menegaskan suaranya apabila Amran tidak mengendahkan pertanyaan yang diajukannya. “Cakaplah, apa masalah kamu?” Mak Limah terus mendesak Amran.


“Am nak beli raket. Tapi, Am tahu emak memang tak ada duit. Jadi, Am rasa serba salah sama ada mahu berterus-terang dengan emak atau tidak,” perlahan sahaja suara Amran menerangkan masalahnya itu kepada Mak Limah.


“Kamu nak buat apa dengan raket? Bukankah harga raket mahal? Mana emak nak cari duit?” tanya Mak Limah bertubi-tubi. Selepas diam seketika, Mak Limah menyambung kembali kata-katanya, “Err…maafkan emak, Am... Emak tak bermaksud hendak mengecilkan hati kamu. Nantilah, emak cuba usahakan. Bila agaknya kamu nak beli raket tu?” “Tak apalah, emak. Tak payahlah emak bersusah-susah,” lemah sahaja jawapan Amran. Kemudian, Amran bangun dan melangkah pergi.


Mak Limah memandang Amran pergi. Keadaan itu membuatkan Mak Limah berasa sedih. Dia sedih apabila mengenangkan nasib anak-anaknya yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan. Mereka tidak pernah mendapat lebih, selain keperluan-keperluan asas seperti makan, minum dan pakaian. Tetapi, dia tetap bersyukur kerana selama ini mereka tidak pernah tidak makan.


Mak Limah bangun sambil melepaskan keluhan yang tak disengajakan. Dia tergesa-gesa naik ke atas rumah. Dia perlu bersiap-siap untuk pergi mencuci pakaian di rumah pengurus estet pula. Dalam kepalanya bersarang persoalan di mana hendak mencari duit lebih bagi membeli raket yang Amran hajati. Bagi Mak Limah, sesekali patut juga dipenuhi permintaan anaknya itu.


Lewat petang itu, sekembalinya Mak Limah daripada mencuci pakaian, dia mendapati Pak Hilmi telah pulang. Pak Hilmi ketika itu sedang beristirahat di muka pintu sambil menghisap rokok daun.


“Abang nak minum?” tanya Mak Limah memulakan perbualan. Walaupun telah bosan dengan perangai Pak Hilmi, tetapi Mak Limah masih menghormati suaminya itu. Tanpa menunggu jawapan daripada Pak Hilmi, Mak Limah terus masuk ke dalam rumah. Sebentar kemudian, Mak Limah muncul semula dengan menatang secawan kopi dan sedikit biskut. Dia meletakkan cawan itu di sebelah Pak Hilmi. “Airnya, bang,” pelawa Mak Limah. “Hmm…,” pendek sahaja jawapan Pak Hilmi. Tanpa mempelawa Mak Limah, Pak Hilmi menghirup kopi yang disediakan.


“Abang pergi ke mana selama empat hari? Di mana abang tidur?” tanya Mak Limah ingin tahu. Pak Hilmi memandang muka Mak Limah apabila mendengar pertanyaan itu. Kemudian, dia bertanya kembali, “Mengapa?”


“Yalah, dahlah tidur tak tentu di mana, makan minum tak menentu, pakaian pula tak berganti, isteri mana yang tak risau?” jawab Mak Limah.


Pak Hilmi tersenyum seketika. Melihatkan senyuman Pak Hilmi, Mak Limah terasa lapang. Sudah lama dia tidak melihat Pak Hilmi tersenyum. Tambahan pula, sebelum Pak Hilmi menghilangkan diri, Mak Limah telah bersikap kasar dengannya. Jadi, senyuman itu seolah-olah melupakan segala ketegangan yang berlaku di antara mereka berdua.


Dalam pada itu, Mak Limah cuba memikirkan cara terbaik untuk memberitahu Pak Hilmi tentang permintaan Amran. Walau bagaimanapun, tanpa diketahui oleh Mak Limah, sebenarnya dalam masa yang sama otak Pak Hilmi ligat memikirkan cara untuk meminjam wang daripada Mak Limah. Hutangnya kepada Yusof perlu dilangsaikan segera.

Agak lama juga kedua-dua suami isteri itu mendiamkan diri. Ketenangan waktu senja menjadikan suasana sepi antara Pak Hilmi dan Mak Limah semakin terasa. Akhirnya, mereka berdua terus melupakan hasrat masing-masing apabila azan maghrib berkumandang.


Dari celah-celah pohon kopi yang terdapat di sepanjang lorong menuju ke ruman Mak Limah, kelihatan kelibat Amran. Dia baru menampakkan diri setelah keluar sejak tengah hari tadi.


Kepulangan Amran dengan wajah yang sugul merungsingkan hati Mak Limah. Permintaan Amran siang tadi terus berlegar-legar dalam fikirannya.


Malam itu dengan hati yang berat, Mak Limah memberanikan diri untuk berterus terang dengan suaminya. “Abang, boleh saya tanya sikit?” tanya Mak Limah dengan lembut. Apabila Pak Hilmi tidak berkata apa-apa. Mak Limah berkata lagi, “Boleh tak abang usahakan wang sebanyak empat puluh ringgi?” tanya Mak Limah selepas itu.


Apabila mendengar jumlah wang yang diminta oleh Mak Limah itu, Pak Hilmi tersentak. “Hah, nak buat apa dengan duit sebanyak itu?” tanya Pak Hilmi. “Untuk Amran…,” jawab Mak Limah perlahan. “Untuk Amran? Budak tu nak buat apa dengan duit sebanyak itu? Nak suruh dia merayau-rayau tak tentu hala! Belanja kawan-kawan, ponteng sekolah, tengok wayang, begitu?” Pak Hilmi tiba-tiba melenting marah. “Kalau aku ada duit sebanyak tu pun, aku takkan bagi dia. Aku pun perlukan duit sekarang ini!” sambung Pak Hilmi dengan suara yang semakin tinggi. “Abang, saya tanya baik-baik. Jangan nak mengamuk pula!” balas Mak Limah yang sudah mula hilang sabar dengan perangai suaminya.


Pak Hilmi diam seketika. Kemudian, dia bersuara, “Limah, aku sebenarnya lebih perlukan duit. Pinjamkan aku duit engkau. Nanti aku ganti balik. Duit Amran pun akan aku sediakan.”


Mak Limah hanya mendiamkan diri apabila mendengarkan kata-kata Pak Hilmi. Sebenarnya, Mak Limah sudah lali dengan janji-janji kosong Pak Hilmi. Dia juga sudah masak dengan perangai Pak Hilmi yang hanya tahu meminjam, tetapi tak pernah membayarnya balik. Oleh itu, Mak Limah tidak mempercayai kata-katanya lagi.


Melihat gelagat Mak Limah yang endah tak endah saja, Pak Hilmi terus naik angin. “Aku dah hilang sabar, Limah! Engkau dah banyak kali buat aku marah. Bila aku tanya fasal duit, engkau mula buat tak tahu. Apa engkau ingat aku bercakap dengan tunggul?” tengking Pak Hilmi kepada Mak Limah. Tengkingan Pak Hilmi membuatkan Mak Limah menangis.


Marlina, Amran dan Saiful yang baru lena-lena ayam terkejut jaga apabila mendengar emak dan ayah mereka bertengkar. Suara tangisan Mak Limah cukup menyayat hati dan menyentuh perasaan mereka. Marlina yang tidak dapat menahan perasaannya berlari mendapatkan emaknya. Dia cuba memeluk Mak Limah. Tetapi, tangannya direntap oleh Pak Hilmi. “Engkau jangan masuk campur urusan orang tua!” Pak Hilmi menyergah Marlina.


Suara tangisan di rumah usang itu kini menjadi lebih sayu dan memilukan hati. Amran mengambil bantal tidurnya dan menutup telinganya, sementara tangan kanannya memeluk Saiful yang mula hendak merengek. Setiap kali emaknya menangis kerana perbuatan ayahnya, Amran akan bersedih. Namun, Amran sedar, dia tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Dia masih kecil untuk menahan kemarahan ayahnya. Walau bagaimanapun, di dalam hati Amran menanam tekad untuk mengubah nasib keluarganya. Dia merasakan keluarganya hanya akan terbela jika dia berjaya menjadi orang yang berguna. Akhirnya, Amran terlelap juga dalam kesedihannya itu….