LAYAR IMPIAN

“Assalammualaikum, ini rumah Amran bin Hilmi ke?” Marlina yang sedang mengemas rumah terkejut apabila terdengar seseorang memberi salam dari arah luar rumahnya. “Waalaikumussalam..Ya, ni rumah Amran bin Hilmi. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” jawab Marlina dengan tenang walaupun di dalam hatinya terdetik kebimbangan.
Mana taknya, ada seseorang yang tidak dikenali datang ke rumah untuk berjumpa dengan adiknya, Amran. “Saya Najib dari Kementerian Pelajaran. Saya bekerja di bahagian kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh. Saya ke sini hendak menyampaikan berita bahawa Amran bin Hilmi telah terpilih untuk masuk ke sekolah berasrama penuh.” panjang lebar orang itu menjawab.
“Oh, adakah benar apa yang encik katakan itu? Syukur alhamdulillah.. Jemputlah masuk..” Marlina dengan perasaan yang teruja menjemput Encik Najib masuk ke dalam rumah. “Terima kasih”. Encik Najib tersenyum.
“Tunggu sebentar ya.. Saya pergi panggilkan emak saya di dalam bilik.” Marlina berkata sambil melangkah masuk menuju ke dalam bilik tidur emaknya. Encik Najib hanya menganggukkan kepalanya tanda memahami apa yang diperkatakan oleh Marlina tadi.
“Mak..!Mak…! Ada orang dari kementerian datang rumah kita. Dia cakap Amran terpilih untuk masuk ke sekolah berasrama penuh,” Marlina mengejutkan Mak Limah yang sedang berehat di dalam bilik. Mak Limah tidak pergi bekerja pada hari itu kerana dia diserang demam selesema. Kasihan Marlina melihat emaknya yang bekerja mencari rezeki sehingga sakit-sakit untuk mereka anak-beranak. Ada ayah tetapi tidak tahu tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Getus hati Marlina.
“Uhuk..uhuk..uhuk.. Syukur kepada Tuhan, Mar. Adik kamu terpilih,” Mak Limah menjawab sambil menukar posisinya daripada keadaan berbaring kepada posisi duduk. “Encik tu ada tunggu kat luar, mak,” Marlina tersenyum kepada emaknya. “Mar pergilah hidangkan air dulu kepada encik itu. Emak nak tukar baju sekejap,” Mak Limah mengarah. “Baiklah, emak,” balas Marlina lantas menuju ke dapur.
“Minta maaflah kerana perlu menunggu makcik bersiap di dalam tadi,” kata Mak Limah sesampai sahaja di ruang hadapan rumahnya. “Tak mengapa, makcik. Saya minta maaf jika kedatangan saya ini mengganggu makcik sekeluarga. Nama saya Najib. Saya bertugas di bahagian kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh. Saya ke sini bertujuan untuk menghantar surat tawaran ke sekolah berasrama penuh kepada Amran Bin Hilmi. Hmm..Makcik ni, tentunya emak kepada Amran bukan?” Encik Najib meneka.
“Ya, saya emaknya Amran.. Encik boleh panggil makcik, Mak Limah je,” tersenyum Mak Limah menjawab. Sedang asyik Mak Limah berbual bersama Encik Najib, Marlina mendekati mereka dengan menatang dulang berisi air kopi. “Jemputlah minum, encik,” Marlina mempelawa. “Buat susah-susah je, Mak Limah,” kata Encik Najib. “Tak susah pun, hanya ini yang mampu kami sediakan. Jemputlah Encik Najib,” balas Mak Limah.
Setelah menghirup air kopi itu, Encik Najib meneruskan penerangannya berkaitan dengan tawaran kemasukan ke sekolah berasrama penuh yang diterima oleh Amran kepada Mak Limah dan Marlina. “Begini Mak Limah, Amran adalah salah seorang pelajar yang terpilih oleh Kementerian Pelajaran yang layak mendapat biasiswa daripada pihak kementerian kami untuk melanjutkan pengajiannya ke sekolah berasrama penuh. Program biasiswa ini dirancang khas kepada para pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga dalam bidang ko-kurikulum dan mereka ini datang dari golongan keluarga yang mempunyai pendapatan sebulan kurang daripada RM 200.00 sebulan. Pihak kementerian kami ingin membantu golongan pelajar ini mendapat tempat di sekolah berasrama penuh kerana mereka mempunyai peluang yang cerah dalam bidang akademik meskipun berada dalam keluarga yang kurang berada. Kami ingin membantu Amran mencapai kecemerlangan dalam hidupnya. Mungkin Amran akan dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti. Ini surat tawaran Amran, Mak Limah.” Cerita Encik Najib panjang lebar.
“Maksud encik, Amran akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak kementerian?” tanya Marlina yang inginkan kepastian. “Ya, Amran akan dibiayai sepenuhnya termasuklah yuran sekolah, duit belanja dan duit untuk membeli barangan keperluan masuk ke sekolah berasrama penuh. Biasiswa ini sebagai tanda penghargaan kami kepada mereka yang telah bersusah payah meraih kecemerlangan dalam akademik dan ko-kurikulum.” balas Encik Najib dengan yakin.
Encik Najib melihat jam di tangannya dan meminta diri untuk pulang kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan. Encik Najib memberikan nombor telefonnya kepada Mak Limah sebelum dia pulang. Dia berpesan kepada Mak Limah, jika ada apa-apa masalah boleh menghubunginya di talian tersebut.
Lega hati Mak Limah mendengar penjelasan itu daripada Encik Najib. Dia bukan tidak suka Amran pergi ke sekolah berasrama penuh malah dia begitu bersyukur kerana dikurnaikan nikmat yang begitu besar oleh Tuhan kepada anaknya, Amran. Apa yang dirisaukan oleh Mak Limah sebentar tadi adalah, dia tidak mampu untuk membiayai Amran ke sekolah berkenaan. Gaji menoreh dan mengutip buah kelapa sawit bukanlah lumayan sangat. Hanya cukup-cukup makan untuk keluarganya membeli barangan keperluan sahaja. Tetapi hatinya menjadi tenang kembali apabila diberitahu oleh Encik Najib bahawa Amran akan dibiayai oleh biasiswa Kementerian Pelajaran sepenuhnya.
Dalam hati Mak Limah berbisik bahawa Amran merupakan anak yang membawa tuah. Mak Limah tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi.. Dia memeluk anak bongsunya, Saiful yang datang berlari ke arahnya dengan penuh kasih sayang.
Mak Limah terasa pulih tiba-tiba daripada demamnya apabila mendapat tahu berita gembira itu. Dia tidak sabar-sabar ingin memberitahu Amran dan suaminya, Pak Hilmi mengenai berita tersebut. “Mar, di mana Am pergi petang-petang ni?” Mak Limah bertanyakan Marlina mengenai Amran.
“Am pergi ke rumah Sarjit, mak,” jawab Marlina dari arah dapur. Dia sedang menyiapkan makan malam untuk mereka seisi keluarga memandangkan Mak Limah kurang sihat pada hari itu.. Lambat menyediakan makan malam, alamatnya akan mengundang kemarahan Pak Hilmi sahaja. Selalunya Mak Limah bersama-sama Marlina akan menyiapkan makan malam.
“Mak…mak pergilah berehat dalam bilik. Mak perlu banyak berehat. Mak tak pulih betul-betul lagi ni. Ubat mak, nanti Mar hantarkan pada mak ye..” Marlina berkata. “Yelah Mar..Emak masuk rehat dulu dalam bilik. Nanti kalau ayah dah balik, buatkan air untuk ayah tau, Mar,” Mak Limah berpesan kepada Marlina sebelum dia dan Saiful masuk ke dalam bilik. “Baiklah, mak” balas Marlina tanda mengerti.
Marlina memastikan semua rutin hariannya di rumah telah dilakukan dengan sempurna selepas dia selesai menyediakan makan malam untuk seisi keluarga. Makan malam telah siap, bahagian luar rumah telah disapu, ubat telah dihantar kepada Mak Limah, cuma satu sahaja lagi tugasan yang belum diselesaikan oleh Marlina. Dia terus menuju ke ampaian dan mengangkat pakaian yang telah kering untuk dilipat.
Kelibat Amran pulang ke rumah telah kelihatan semasa Marlina sedang mengangkat pakaian di ampaian luar rumah. Marlina teringat akan berita gembira itu. Dia tersenyum kambing kepada Amran. “Kakak, kenapa kakak senyum-senyum ni? Ada apa-apa yang melucukan ke?” tanya Amran pelik. “Tidak ada apa-apa la, Am..Kakak nak senyum kat Am pun tak boleh ke?” Marlina ketawa.
Dalam hatinya masih tersimpan tentang berita itu. Dia ingin melakukan kejutan buat adiknya. Biarlah Mak Limah yang memberitahu berita gembira itu kepada Amran. “Mestilah boleh kak..Tapi Am tengok lain macam pula kakak ni,” jawab Amran sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan mimik muka yang nakal. Mereka tersenyum kepada satu sama lain. Perbualan mereka terhenti apabila Pak Hilmi telah pulang ke rumah. Amran dan Marlina segera naik ke atas rumah usang mereka.
Marlina meletakkan pakaian yang diangkat di ruang hadapan rumahnya dan bergegas ke dapur untuk menyediakan minuman kepada Pak Hilmi. Amran pula, terus masuk ke dalam bilik. Hubungan mereka anak-beranak tidak begitu mesra kerana sikap bengis dan cepat naik darah Pak Hilmi. Mereka sering dipersalahkan oleh Pak Hilmi walaupun mereka anak-beranak tidak berbuat salah. Keadaan di rumah menjadi hambar jika Pak Hilmi berada di rumah.
“Ayah, ini kopinya..” Marlina membawa dulang berisi air kopi kepada ayahnya yang sedang berehat di serambi rumah sambil menghisap rokok daun yang menjadi kegemarannya. “Hmm...” balas Pak Hilmi secara ringkas dengan nada yang malas.
Marlina tidak duduk lama di serambi rumah bersama-sama dengan Pak Hilmi. Berasa serba tak kena dibuatnya. Lantas, dia pergi menyudahkan kerja melipat pakaian yang tergendala tadi di dalam bilik. Marlina tidak berani hendak melipat pakaian di ruang hadapan rumahnya. Nanti, tidak pasal-pasal Marlina kena marah dengan Pak Hilmi.
Mak Limah masih tidur di dalam bilik. Rasanya akibat penangan ubat yang diberikan oleh Marlina benar-benar membuatkan Mak Limah mengantuk dan tertidur. Adik bongsunya, Saiful juga sedang tidur di sebelah Mak Limah. Kasihan Marlina melihat emaknya. Rasa sebak di hati kecilnya melanda. Kalau diikutkan hati Marlina hendak sahaja di menggantikan tempat Mak Limah bekerja, tetapi Mak Limah tidak membenarkan Marlina bekerja.
“Mar….! Mar…!” pekik Pak HIlmi dari luar. Menyirap darah Marlina apabila mendengar pekikan daripada Pak Hilimi yang memanggilnya tanpa perasaan sabar dengan nada yang kasar. Apa lagi yang tak kena ni. Marlina berkata dalam hati sambil melangkah keluar dari bilik itu menuju ke tempat Pak Hilmi berada.
“Ya, ayah.. Kenapa ayah?” tanya Marlina dengan lembut. “Kamu buat kopi ke atau kamu bagi aku minum air arang!! Kamu saja nak buat aku naik marah ye!” tengking Pak Hilmi kepada Marlina lantas menyimbah air kopi itu ke muka Marlina lalu membaling cawan tersebut dengan perasaan marah. Marlina terkejut tak terkata dengan tindakan agresif Pak Hilmi terhadap dirinya. Kemarahan Pak Hilmi semakin membuak-buak menyebabkan dia tidak habis-habis memarahi Marlina hanya kerana secawan kopi yang tidak diadun mengikut seleranya.
Suara marah Pak Hilmi membuatkan Mak Limah dan Saiful terjaga. “Astagfirullah, apa lagi yang tak kena ni,” kata Mak Limah sejurus sahaja bangun daripada tidurnya. Mak Limah mempercepatkan langkah menuju ke serambi rumahnya dan alangkah terkejutnya melihat keadaan yang berlaku. Marlina terus berlari mendapatkan Mak Limah dan memeluknya sambil menangis teresak-esak.
“Apa ni bang? Kenapa marah anak sampai membaling cawan tu? Besar sangat ke kesalahan Mar sampai abang bertindak sebegitu? Mar ni anak abang. Darah daging abang. Bukannya anak orang lain!” jerit Mak Limah kepada Pak Hilmi dengan suara yang lantang. “Ha’ah memang besar pun kesalahan dia! Aku penat-penat baru balik, dihidangkannya air arang pada aku!! Dia nak bunuh aku ke!” balas Pak Hilmi kasar. Mak Limah hanye berdiam diri. Dia tidak mahu memanjangkan lagi pertengkaran yang berlaku.
Pak Hilmi tidak akan mengaku bersalah walaupun dia melakukan kesalahan. Mak Limah mengutip serpihan kaca yang bertaburan dan menyuruh Marlina masuk ke dalam bilik. Marlina mengatur langkah dengan lemah sambil mengesat air matanya.
Marlina tidak tahu apa yang kurang pada air kopi buatannya. Air kopi yang selama ini diajar oleh Mak Limah. Dia hanya memendamkan sahaja perasaan walaupun dia tahu itu bukan salahnya. Dia mengalah dan pasrah dengan apa yang berlaku tadi. Air matanya berlinangan jatuh ke pipi. Marlina memegang mukanya yang disimbah air kopi panas itu. Mukanya terasa amat pedih. Amran yang dari tadi hanya duduk di dalam bilik, mengambil ubat sapu di birai tingkap rumahnya lalu menyapu ubat itu ke muka kakaknya, Marlina.
“Sabarlah kak..Kita berdoa banyak-banyak semoga suatu hari nanti ayah akan berubah,” pujuk Amran. “Kakak pun harap begitu Am.. Kadang kala kakak berasa iri hati melihat jiran-jiran kampung kita ni. Mereka begitu akrab dan mesra antara ahli keluarga. Hidup mereka sentiasa bahagia dan penuh dengan kegembiraan..” luah Marlina yang masih sedih. Amran hanya mengangguk tanda bersetuju dengan apa yang telah diperkatakan oleh kakaknya itu. Memang itulah kebenarannya. Keluarga mereka tidak seperti keluarga-keluarga yang lain. Mungkin suatu hari nanti sinar itu akan hadir dalam keluarga mereka.
Gelagat Saiful yang sentiasa mencuit hati sedikit sebanyak menghilangkan rasa sedih Marlina dan Amran. Gelak ketawa mereka adik-beradik menjadi penawar kesedihan di hati. Mak Limah masuk ke dalam bilik semula setelah selesai membersihkan serpihan cawan kaca yang pecah akibat daripada tindakan Pak Hilmi itu.
“Apa yang lucu sangat ni, anak-anak emak?” tanya Mak Limah ingin tahu. “Gelagat Saiful ni mak, mencuit hati kami,” jawab Marlina. Mak Limah berasa begitu bahagia melihat anak-anaknya. Merekalah kebahagian Mak Limah. Kesedihan dan kegembiraan mereka dirasai dan dikongsi bersama-sama.
Walaupun Mak Limah sudah bersuami, tetapi dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang suami sejak perkahwinannya dengan Pak Hilmi. Mak Limah tidak tahu mengapa secara tiba-tiba sahaja Pak Hilmi berubah dalam sekelip mata. Sebelum kahwin, macam-macam janji yang ditabur semata-mata ingin memiliki Mak Limah. Setelah berkahwin, lain pula jadinya. Perubahan drastik Pak Hilmi lebih nyata setelah Marlina dilahirkan.
Pada malam itu, Mak Limah sekeluarga makan bersama-sama. Suasana di meja makan suram dan sunyi sahaja. Masing-masing mendiamkan diri dan hanya duduk menikmati makan malam. Hati Marlina terusik mengenangkan peristiwa yang berlaku petang tadi. Tetapi Marlina menutup kesedihannya daripada diketahui oleh ahli keluarga yang lain terutamanya Mak Limah. Marlina tidak mahu melihat mereka risau. Biarlah hanya dia sahaja yang makan hati dengan sikap Pak Hilmi petang tadi.
Selepas mereka telah selesai menikmati makan malam, Marlina dan Amran membantu Mak Limah mengemas dan membasuh pinggan mangkuk. Pak Hilmi pula, sejurus naik ke serambi rumah, terus keluar dengan basikal buruknya itu. Entah ke mana arah tuju Pak Hilmi malam-malam begini. Itulah aktiviti Pak Hilmi jika dia tidak senang berada di rumah.
“Mak tak perlulah pergi bekerja esok. Mak tak sihat lagi ni. Mak rehat sahajalah di rumah. Biar Mar yang gantikan tempat emak untuk beberapa hari sehingga mak betul-betul sihat ya?” Marlina berkata kepada emaknya semasa dia sedang membasuh pinggan mangkuk di dapur. Amran naik ke atas rumah dan masuk ke dalam bilik untuk mengerjakan solat Isyak. Saiful mengikutnya dari belakang.
“Mak dah rasa sihat sikit ni. Esok mak boleh pergi bekerja semula. Mar duduk sahaja la di rumah. Jaga adik kamu tu, Saiful. Kesian dia,” jawab Mak Limah. Mak Limah lebih senang jika dia sendiri yang pergi bekerja daripada mengharapkan Marlina menggantikan tempatnya. “Mak sudah jadi sihat sedikit selepas mendapat tahu yang Am terpilih untuk ke sekolah berasrama penuh tu,” tambah Mak Limah lagi sambil tersenyum. “Mak ni ada-ada je la,” Marlina ketawa. “Hampir terlupa pula mak nak beritahu Am tentang berita gembira tu. Mana adik kamu pergi, Mar?” tanya Mak Limah sambil terjenguk-jenguk ke arah serambi rumah seperti mencari Amran kalau-kalau dia ada di situ.
“Am bersolat Isyak dalam bilik, mak. Saiful ikut Am naik tadi,” balas Marlina. “Tadi semasa Mar tengah angkat kain di ampaian, Mar ingatkan nak beritahu Am tentang berita tu, mak. Tapi rasanya biarlah mak yang beritahu sendiri pada Am. Tentu Am lebih terkejut,” tambah Marlina lagi.
“Mak….Kakak….Apa yang rancak dibualkan ni?” tanya Amran yang tiba-tiba turun ke dapur apabila terdengar mak dan kakaknya berborak-borak. “ Borak-borak biasa saja, Am. Am dah habis solat ke? Saiful dah tidur ke Am?” tanya Mak Limah. “Baru habis bersolat mak . Ha’ah, adik dah tertidur semasa Am tengah bersolat tadi,” balas Am yang duduk bersebelahan dengan emaknya.
Marlina yang sudah selesai membasuh pinggan mangkuk lantas membuatkan air kopi untuk Mak Limah dan Amran. “Jemputlah minum mak…Jemputlah Am…” kata Marlina lalu duduk bertentangan dengan Mak Limah . “Terima kasih kak. Sedap air yang kakak buatkan ni,” jawab Amran. Marlina dan Mak Limah tersenyum melihat tingkah laku Amran yang menghirup air kopi buatan Marlina dengan begitu berselera.
“Am, mak ada berita gembira nak beritahu dekat Am,” Mak Limah berkata dengan lembut sambil tersenyum. “Berita gembira untuk Am? Berita apa ni, mak?” Amran bertanya sambil memandang ke arah Mak Limah dan kemudian pandangannya beralih ke arah Marlina dengan wajah yang hairan.
“Am, kamu terpilih masuk ke sekolah berasrama penuh!” jawab Mak Limah tersenyum lebar. “Sekolah berasrama penuh yang sekolah sukan tu ke mak?” tanya Amran teruja. Amran begitu mengimpikan untuk masuk ke sekolah sukan kerana dia begitu meminati sukan badminton dan menyimpan hasrat suatu hari nanti dia mahu menjadi pemain badminton yang terkenal. “Bukan sekolah sukan, Am. Kamu dapat pergi ke Sekolah Alam Shah,” jawab Mak Limah. Amran merasa hampa.
Dia mengharapkan emaknya akan mengatakan sesuatu yang diimpikannya tetapi lain pula yang diperkatakan. “Sekolah tu merupakan sekolah yang terbaik di Malaysia ni, Am. Bukan calang-calang orang terpilih memasuki sekolah itu tau,” tambah Marlina. “Biar betul,kak… Macam mana Am boleh dapat tawaran itu sedangkan Am tak hantar apa-apa borang permohonan pun kak?” tanya Amran pelik.
“Itu la sebab tadi mak kata kamu terpilih. Kamu terpilih kerana kecemerlangan akademik kamu lebih-lebih lagi kamu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR baru-baru ni. Am juga kan merupakan pelajar terbaik Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung, jadi tak hairanlah jika Am tak hantar borang pun, Am boleh terpilih. Bukan boleh terpilih, Am sudah terpilih pun,” balas Mak Limah sambil mengusap manja kepala Amran. “Mak berbangga dengan kamu Am,” tambah Mak Limah. Amran tersenyum kepada Mak Limah.
Amran hanya memendamkan sahaja apa yang dirasakannya. Bukan Amran tidak suka untuk pergi ke sekolah berasrama penuh, malah itulah impiannya selama ini. Tetapi dia mahu pergi ke sekolah berasrama penuh sukan.
“Macam mana Am nak pergi sana, mak? Mak bukan mampu nak beli keperluan barangan Am ke sana nanti? Kasihan mak. Am tak mahu menyusahkan emak lagi. Dah banyak mak bersusah untuk Am bersekolah dulu..” Amran berkata walaupun dalam fikirannya terdapat alasan yang lain mengapa dia bertanya Mak Limah begitu.
Mak Limah tersenyum. “Am tak perlu risau mengenai semua itu. Am telah dapat biasiswa sepenuhnya daripada pihak Kementerian Palajaran. Semuanya akan diselesaikan menggunakan biasiswa yang Am dapat tu. Tugas Am pergi ke sekolah tersebut hanyalah untuk belajar dan yang lain telah diuruskan oleh pihak kementerian, Am. Kebajikan Am di sekolah itu lebih terjamin. Dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan pelbagai kemudahan disediakan di sana, Am. Am bertuah. Masa depan Am lebih cerah dan terjamin. Mungkin nanti Am dapat mengubah nasib keluarga kita ni. Mak tak paksa Am untuk terima. Terpulang la dengan keputusan Am..” terang Mak Limah panjang lebar. Tekun Amran mendengar penerangan Mak Limah. Amran mengangguk tanda faham.
Amran melihat emaknya begitu bersungguh-sungguh. Mak Limah begitu mengharapkan Am untuk pergi ke sekolah berkenaan. Harapan yang tinggi dari Mak Limah, membuatkan Amran tidak sanggup membantah. Biarlah impiannya untuk memasuki sekolah sukan disimpan dalam hati. Mungkin jika diizinkan tuhan, suatu hari nanti impiannya akan termakbul jua.
“Mak, ayah dah tahu belum pasal ni?” tanya Amran ringkas. “Belum lagi Am..Tadi petang ingat nak beritahu ayah kamu tu hah, tapi ada angin pula dia petang tadi. Am jangan la risau. Nanti mak beritahu ayah,” balas Mak Limah. “Harap-harap ayah tak marah ye mak,” balas Amran. Mak Limah mengangguk.
Amran sudah masak benar dengan perangai ayahnya yang suka marah-marah tak tentu pasal tanpa tujuan. Kalau Pak Hilmi marah untuk tujuan membina, bolehlah juga mereka terima.
“Am fikirlah masak-masak apa yang mak perkatakan tadi. Ini semua untuk kebaikan Am juga. Ini peluang keemasan. Peluang hanya datang sekali je, Am.” Mak Limah berpesan kepada Amran mengenai keputusan Am sama ada ingin pergi atau tidak ke sekolah berasrama penuh. “Baiklah,mak. Am akan fikirkannya,” balas Amran.
Amran serba salah dibuatnya. Antara impiannya yang belum tahu lagi akan menjadi kenyataan ataupun kehendak Mak Limah dan Marlina yang ingin melihat dirinya berjaya di sekolah berasrama penuh. Mana satu lebih penting, kehendak atau impian. Itulah dua perkara yang bermain-main di dalam ruang fikiran Amran pada malam itu.
Rungsing sungguh Amran memikirkan hal tersebut. Dia cuba menyembunyikan kerungsingan yang dihadapi semasa berdepan dengan Mak Limah dan Marlina. Harapan kedua-dua ahli keluarganya begitu tinggi, setinggi harapannya untuk masuk ke sekolah sukan. Amran tahu bahawa dia perlu membuat satu keputusan yang paling penting kerana ini akan menentukan arah tujuan hidupnya kelak. Tersalah membuat keputusan dia akan menyesal seumur hidup. Akhirnya, Amran terlelap dalam kerungsingan.
* * * * * * *
“Amran, kalau mak dah tiada, kamu jagalah adik-beradik kamu baik-baik sebab hanya kamulah yang menjadi harapan keluarga. Mak mahu kamu menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara. Ingatlah pesanan mak ini Amran,” amanat Mak Limah kepada Amran. Marlina dan Saiful yang berada di samping Amran menangis teresak-esak melihat keadaan Mak Limah yang tidak bermaya yang hanya terlantar di atas tilam yang sudah lapuk.
“Janganlah mak berkata begitu. Mak berehatlah banyak-banyak. Am akan ingat pesan mak itu. Am janji mak,” balas Amran dalam nada yang sebak. “Jadilah orang yang berguna. Selamat tinggal anak-anakku,” kata Mak Limah kepada anak-anaknya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Mak……!!!!Mak.....!!!!!Jangan tinggalkan Am, mak….!!Jangan tinggalkan Am....!!Jangan tinggalkan kami, mak!!” jerit Amran. Jeritan Amran telah mengejutkan Mak Limah yang sedang menyiapkan sarapan pagi untuk mereka sekeluarga. Lantas Mak Limah dengan tergesa-gesa berlari untuk mendapatkan anak lelakinya itu.
“Astaghfirullah...Mengigau rupanya budak ini. Am, bangun Am,” Mak Limah mengejutkan Amran dari tidurnya. Amran terkejut lalu menggeliatkan badannya setelah dikejutkan oleh Mak Limah dari tidurnya. “Apa yang Am ngigaukan tadi? Terkejut mak. Dari dapur tadi mak dengar kamu menjerit-jerit. Mak ingatkan apa, tengok-tengok kamu mengigau,” kata Mak Limah kepada Amran sejurus Amran tersedar daripada mengigau.
“Tiada apa-apa mak. Am pun tak ingat apa yang Am ngigaukan tadi,” balas Amran sambil menguap. “Dah la tu Am. Bangun dan pergi mandi serta bersolat subuh. Mak nak pergi siapkan sarapan. Selepas itu, mak nak bersiap pergi ke ladang pula,” kata Mak Limah sambil mengatur langkahnya ke arah dapur. “Baiklah, mak,” jawab Amran yang masih dalam keadaan mengantuk.
Amran tidak mahu melayan sangat mengantuknya itu. Biasalah, pagi-pagi yang dingin ini, begitu sesuai untuk tidur diselubungi selimut. Amran mencapai tuala mandi yang disangkut di belakang pintu bilik lalu mengatur langkah ke bilik air. Ekor matanya memerhatikan Pak Hilmi yang masih enak dibuai mimpi.
“Mak nak Mar tolong apa-apa?” tanya Marlina yang baru terjaga dari tidurnya. Marlina meuju ke dapur kerana dia tahu pada waktu-waktu begini, emaknya berada di dapur menyediakan sarapan untuk mereka sekeluarga. “Eh, Mar dah bangun rupanya. Mar tolong mak jerang air sekejap,” balas Mak Limah yang sedang memotong ubi kayu untuk direbus. Marlina menurut perintah Mak Limah tanpa membantah. “Mak pergi kerja tak pagi ini?” tanya Marlina kepada Mak Limah.
“Pergi, Mar. Semalam dah sehari suntuk mak berehat di rumah. Mak pun dah rasa segar sikit pagi ini,” jawab Mak Limah yang sedang meniup api dapur kayu. “Mak jangan lupa bawa ubat mak bersama ke ladang. Mana la tahu, kalau-kalau mak terasa tak sedap badan. Kita kenalah sediakan payung sebelum hujan mak,” pesan Marlina. “Baiklah doktor.. Sebelum itu Mar, tolong mak sekejap. Api ni tak mahu menyala. Penat mak tiup dari tadi lagi,” balas Mak Limah.
“Mari Mar pula tiup. Kasihan Mar tengok mak. Mak duduk dan makanlah dulu kalau mak lapar,” kata Marlina kepada Mak Limah. “Tak mengapalah Mar. Mak tunggu Mar dan Am. Kita sarapan sama-sama,” kata Mak Limah dengan nada yang lembut.
“Mar, ada tak Am beritahu kamu apa-apa tentang tawarannya untuk masuk ke sekolah berasrama penuh tu?” tanya Mak Limah kepada Marlina. “Am tak cakap apa-apa pun kepada Mar, mak. Kenapa mak tanya?” tanya Marlina dengan lebih lanjut.
“Mak harap Am akan membuat keputusan untuk masuk ke sekolah tersebut sebab bukan calang-calang orang boleh mendapat tawaran sebegitu. Tambahan pula, segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan ini merupakan peluang keemasan untuk Am. Walaupun tanpa bantuan biasiswa pun, mak akan berusaha mencari wang untuk membiayai segala perbelanjaan Am dan mak sanggup bekerja keras asalkan apa yang diingini oleh Am tercapai. Mak hanya inginkan yang terbaik buat Am kerana dialah yang mak harapkan,” jelas Mak Limah dengan panjang lebar.
“Mak, janganlah terlalu risau tentang perkara tersebut. Mar pasti Am akan terima tawaran itu. Siapa nak tolak peluang yang datang sekali dalam seumur hidup tu, mak,” kata Marlina dengan penuh keyakinan.
“Ehem,ehem…Rancak kakak dengan mak berborak. Borak pasal apa? Kutuk Am ye?” tanya Amran yang mengambil tempat untuk duduk di sebelah Mak Limah. “Eh, budak ni..Bila masa kakak kutuk Am. Kakak hanya borak-borak kosong dengan mak. Lama sangat Am mandi. Sampai sejuk ubi rebus buatan kakak ni tau,” Marlina berkata dengan nada yang mengusik. Mak Limah hanya tersenyum melihat telatah kedua-dua anak kesayangannya.
“Kamu berdua ni macam budak-budak pula. Dahlah, mak dah lambat ni. Mak nak pergi ke ladang. Nanti lambat pula kalau mak melayan kerenah kamu berdua ni,” kata Mak Limah kepada Amran dan Marlina.
“Baiklah, mak. Jangan lupa bawa ubat tu ye mak,” Marlina mengingatkan Mak Limah. “Mak dah bawa Mar. Terima kasih kerana ingatkan mak. Mar, jangan lupa kejut ayah kamu tu. Nanti mengamuk pula orang tua tu,” pesan Mak Limah kepada Marlina. “Mar dah kejut ayah tapi ayah masih tak bangun-bangun. Mar takut kalau kejut lagi kena bahagian daripada ayah,” luah Marlina mengenai sikap Pak Hilmi.
“Tak mengapalah kalau begitu. Nanti bangunlah orang tua tu. Oh, jangan lupa tengok-tengokkan Saiful tu. Bagi dia makan bila dia sudah bangun daripada tidur. Baiklah..Mak pergi dulu ye. Assalamualaikum,” kata Mak Limah sebelum beredar. “Waalaikumussalam,” jawab Marlina dan Amran serentak.
Mak Limah pun pergi meninggalkan Marlina dan Amran yang masih tercegat di muka pintu sambil melambaikan tangan kepada Mak Limah. Gembira hati Mak Limah melihat anak-anaknya itu.
“Am pergilah tengok-tengokkan Saiful kat bilik tu ye, kakak nak pergi sambung buat kerja rumah ni,” Marlina berkata kepada Amran. “Kakak nak Am bantu apa-apa ke? Kalau ada apa-apa yang boleh Am bantu kakak, kakak beritahulah Am,” balas Amran. “Buat masa ini belum ada lagi Am. Nanti kalau kakak perlukan bantuan Am, kakak akan panggil Am,” jawab Marlina lembut. Amran tersenyum mendengar jawapan Marlina.
Pada hari itu, Pak Hilmi bangun agak lewat. Setelah Pak Hilmi mandi dan bersarapan, dia lantas pergi mendapatkan basikal buruknya dan Marlina tidak tahu ke mana arah tuju ayahnya itu. Nampak seperti tergesa-gesa meninggalkan rumah. Mungkin Pak Hilmi sudah berjanji untuk bertemu seseorang. Entahlah, malas Marlina mengambil tahu urusan Pak Hilmi.
Amran baru selesai menduduki peperiksaan UPSR dan Amran telah tamat tahun enam di Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung. Cuti sekolah telah bermula. Amran hanya duduk di rumah dan banyak menghabiskan masa di rumah membantu Mak Limah dan Marlina menjaga adik bongsunya, Saiful. Kadang kala jika Amran ingin bertukar angin, dia akan pergi menziarahi kawannya, Sarjit di rumahnya yang tidak berapa jauh daripada kawasan tempat tinggal Amran. Sarjit dan Amran telah berkawan sejak dari mereka sama-sama berada dalam tahun satu.
Fikiran Amran masih teringat akan mimpinya pada malam semalam. Kata-kata Mak Limah yang ingin dia menjadi orang yang berguna begitu menyentuh jiwa Amran. Dia tidak dapat menolak rasa naluri seorang ibu menyelinap masuk ke dalam jiwa. Kata-kata Mak Limah membuatkan dia berfikir lebih dalam. Amran sedar bahawa dialah yang menjadi harapan keluarga.
“Huh, apa yang aku nak buat ni? Kedua-duanya penting tapi aku kena buat pilihan. Pilihan yang terbaik pulak tu.. Kalau aku beritahu mak nanti masalah aku, mesti dia makan hati dengan aku,” getus hati Amran yang semakin gusar memikirkan mengenai hal tawaran yang dia dapat memasuki sekolah berasrama penuh.
Setelah puas Amran berfikir, dia teringat akan Sarjit. “Ha, mungkin Sarjit boleh membantu aku dengan masalah aku ni!” Amran berkata pada dirinya. Amran memberitahu Marlina bahawa dia ingin ke rumah Sarjit. Setelah mendapat keizinan Marlina, Amran lantas menuju ke rumah Sarjit.
“Sarjit..Sarjit,” Amran memanggil Sarjit sejurus dia tiba di rumah Sarjit. “Oh, kamu Amran. Masuklah dulu. Kenapa kamu nampak macam ada masalah saja,” tanya Sarjit kepada Amran. “Itulah yang saya datang cari awak ni, Sarjit. Memang saya ada masalah dan saya tak tahu macam mana nak buat keputusan. Macam pepatah melayu kata, diluah mati emak, ditelan mati bapa pula.” jawab Amran.
“Bunyi macam serius saja masalah kamu tu, Amran. Kamu ceritalah kepada saya. Saya akan cuba membantu apa yang termampu.” Sarjit berkata. “Saya dapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh, Sarjit,” belum sempat Amran menghabiskan ayatnya, Sarjit menyampuk “Wow, sudah cukup bagus la tu kamu dapat tawaran pergi ke sekolah berasrama penuh. Ramai orang yang impikan masuk ke sekolah berasrama penuh tau. Ini peluang keemasan Amran. Jangan kamu lepaskan. Apa yang menjadi masalah bagi kamu, Amran?” tanya Sarjit.
“Masalahnya saya lebih mengimpikan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh sukan. Kamu tahukan Sarjit, bahawa saya mengimpikan untuk menjadi seorang pemain badminton yang terkemuka dan ingin mewakili Malaysia ke peringkat dunia. Saya sedang memikirkan yang mana satu lebih penting sama ada impian sendiri atau kehendak keluarga. Mak begitu menaruh harapan yang tinggi kepada saya. Tapi bagaimana dengan impian saya, Sarjit,” Amran bercerita panjang lebar.
“Kalau saya jadi awak pun memang susah juga nak buat keputusan ni. Macam ni la, Amran.. Kalau saya ada di tempat awak, saya akan mengambil peluang yang ada di depan mata kerana impian kita mungkin hanya akan menjadi fantasi semata-mata ataupun akan menjadi realiti pada suatu hari nanti. Yang penting Amran, kita ambil dahulu peluang yang kita dapat. Peluang hanya datang sekali dalam hidup,” Sarjit memberikan buah fikirannya kepada Amran. Sarjit berharap dengan itu dapat membantu memudahkan Amran untuk membuat keputusan.
“Betul juga apa yang kamu kata tu, Sarjit. Mak saya pun pernah berkata begitu kepada saya. Peluang yang datang jangan disia-siakan. Mungkin peluang yang datang itu akan membuka ruang untuk saya mencapai impian yang saya harapkan selama ni,” balas Amran.
Amran sudah membuat keputusannya. Amran meminta diri daripada Sarjit untuk pulang ke rumah. Hari sudah menganjak ke petang. Sebelum berlalu pergi, Amran mengucapkan terima kasih kepada Sarjit kerana sudi membantunya dan Sarjit mengucapkan tahniah kepada Amran atas kejayaan Amran terpilih untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Sarjit begitu bangga dengan pencapaian Amran.
Amran pulang ke rumah dengan hati yang lega kerana akhirnya dia sudah membuat keputusan. Tetapi hati Amran sebenarnya masih bersarang keinginan menggapai impian itu. Amran hanya membiarkan sahaja keinginan itu berlalu pergi dengan sendirinya. Apa yang lebih difikirkan Amran adalah dia perlu mengutamakan kehendak keluarganya. Amran mahu membalas segala jasa baik dan pengorbanan mereka selama membesarkannya.
Sesampai di rumah, kedengaran Mak Limah dan Pak Hilmi berbual-bual di serambi rumah. Amran mengagak topik perbualan ibu bapanya itu. Mungkin mengenai dirinya yang terpilih masuk ke sekolah berasrama penuh. Berdebar-debar Amran kerana takut jika dia akan dimarahi oleh Pak Hilmi kerana dia pulang ke rumah agak lambat. Amran memberi salam semasa masuk ke dalam rumah dan Pak Hilmi terus bertanya, “Hah Am, kau dah buat keputusan belum nak pergi ke tak?”
“Am dah buat keputusan ayah, mak.. Am akan terima tawaran itu,” Amran menjawab dengan penuh hormat. Mak Limah begitu gembira apabila Amran memberitahu bahawa dia bersetuju untuk menerima tawaran tersebut. Termakbul doanya untuk melihat Amran berjaya dalam hidup. Pak Hilmi tidak berkata apa-apa apabila Amran memberitahu keputusannya. Amran melangkah pergi ke bilik air untuk membersihkan diri dan bersolat Asar setelah dia memberitahu keputusannya kepada kedua ibu bapanya. Amran berharap Pak Hilmi bangga dengan pencapaiannya itu.

0 comments:
Post a Comment