CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, February 27, 2008

BAB 8




Jam menunjukkan pukul 7.20 pagi. Loceng sekolah akan berbunyi tepat jam 7.40 pagi. Murid-murid yang datang awal, bermain-main sesama mereka sementara menanti kelas bermula. Suasana riuh rendah kedengaran di sana sini. Begitulah keadaannya setiap pagi di sekolah itu. Namun, keriuhan suara rakan-rakannya itu langsung tidak menarik minat Amran untuk turut serta. Dia terus-menerus melayan perasaannya yang serba salah.


Amran berfikir panjang tentang penglibatannya dalam pertandingan badminton antara sekolah-sekolah. Sukar rasanya untuk dia membuat keputusan dalam hal ini. Dia memang menaruh harapan yang tinggi untuk memenangi pertandingan itu. Seterusnya, dia mahu mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat daerah dan akhirnya ke peringkat antarabangsa. Itulah cita-cita utama Amran. Tetapi, Amran dapat membayangkan cita-cita itu akan patah di tengah jalan.Dia tahu bukan senang untuk mencapai cita-cita tersebut.


Namun, kalau tak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya. Amran pernah membaca di akhbar tentang rintangan yang dihadapi oleh keluarga pemain badminton negara- keluarga Sidek. Orang ramai memang tidak mengetahui betapa susah payahnya keluarga itu dahulu. Keluarga tersebut hanya disanjung apabila anggota keluarga mereka seperti Misbun, Razif, dan Rashid berjaya meraih kejayaan demi kejayaan, baik di peringkat negara mahupun antarabangsa. Memang, tidak ramai yang tahu mereka sebelum ini. Mengenangkan hal itu, Amran menguatkan tekad untuk berjaya dalam bidang sukan badminton.

Amran tersenyum sendirian apabila memikirkan hal itu. Kemudian, fikirannya kembali ke dunia nyata. Dia rungsing semula apabila teringat yang dia perlu membeli sebatang raket untuk berlatih setiap hari Sabtu dan Ahad bersama-sama Sarjit. Kebetulan rumah Sarjit dan rumahnya juga tidak terlalu jauh. Amran tidak sanggup berlatih di sekolah setiap petang. Dia tidak mahu ayahnya memukul dia lagi tanpa usul periksa. Namun, Amran tidak berminat langsung untuk memberitahu Pak Hilmi sebab-sebab dia pulang lewat dari sekolah. Amran juga belum mahu menceritakan apa-apa kepada emaknya. Dia sebenarnya mahu membuat kejutan pada emak dan kakaknya. Dia mahu mereka berdua kagum dengan kebolehannya.


Apabila terkenang akan harga raket yang mahal, Amran tidak dapat melayan terus angan-angannya. Amran tahu, memang ada raket yang berharga murah. Tetapi, raket murah begitu tidak sesuai dan tahan lama untuk digunakan bagi latihan intensif. Dua tiga kali smash, besar kemungkinan tali raket itu akan putus.


Lamunan Amran terhenti apabila motorsikal Cikgu Mahadi melintas di hadapannya. Cikgu Mahadi baru sahaja tiba. Amran segera pergi mendapatkan Cikgu Mahadi yang sedang menongkat motorsikalnya. “Selamat pagi. Cikgu,” sapa Amran. “Oh, kamu Amran! Selamat pagi. Awal kamu sampai ke sekolah, sapa Cikgu Mahadi.


“Cikgu, saya ada hal sedikit yang nak saya cakapkan kepada cikgu,” ujar Amran perlahan. “Apa halnya Amran? Apa masalah kamu?” tanya Cikgu Mahadi dengan agak kehairanan. “Cikgu, saya rasa, saya terpaksa menarik diri daripada menyertai pertandingan badminton antara sekolah-sekolah,” Amran memberitahu Cikgu Mahadi dengan perasaan kesal.


“Tapi, mengapa? Apa sebabnya?” Cikgu Mahadi yang terkejut mendengar kata-kata Amran bertanya. “Adakah kamu mengaku tewas sebelum berjuang?” Cikgu Mahadi cuba menguji. Dia sebenarnya bimbang sekiranya Amran betul-betul mahu menarik diri. Ini kerana dia telah meletakkan harapan sekolah kepada Amran memandangkan bakat Amran yang terserlah dalam sukan badminton. Bakat itu perlu digilap untuk menjadikannya seorang pemain yang disegani lawan.


“Bukan…bukan begitu, cikgu. Cuma saya tak dapat menyertai latihan intensif seperti yang dijadualkan itu,” kata Amran sambil menunjukkan ke arah papan kenyataan sekolah. “Alasannya?” Cikgu Mahadi mahukan penjelasan lebih lanjut. “Saya tidak dibenarkan pulang lewat ke rumah, jawab Amran perlahan lalu menundukkan kepala memandang simen.


“Ohh, itu tak jadi masalah! Petang nanti saya akan ke rumah kamu untuk menerangkan hal yang sebenar kepada emak dan ayah kamu. Saya pasti mereka akan memberi sokongan kepada kamu,” kata Cikgu Mahadi cuba meyakinkan Amran agar tidak berputus asa.

“Bukan begitu, cikgu. Sebenarnya saya terpaksa membantu emak saya menjual kuih pada waktu petang. Saya tidak mahu mengecilkan hati emak saya. Nanti, dia fikir saya sengaja mencari-cari alasan untuk tidak menjual kuih,” Amran terpaksa membohongi Cikgu Mahadi.


“Jadi, kamu tak mahu saya pergi menemui mereka bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar? Atau sekurang-kurangnya meminta kebenaran daripada mereka?” Cikgu Mahadi bertanya inginkan penjelasan daripada Amran. Amran menggeleng-gelengkan kepalanya.


Cikgu Mahadi terus bertanya. “Kamu benar-benar mahu menarik diri daripada pertandingan itu ? Kamu dah fikir habis-habis?”

“Ya, cikgu!” jawab Amran pendek.

Perbualan mereka terhenti apabila loceng berbunyi. Amran meminta izin daripada Cikgu Mahadi untuk masuk ke kelasnya. “Amran, jumpa saya di bilik guru semasa rehat nanti,” Cikgu Mahadi berpesan.


Setelah memberi persetujuan. Amran terus berlari menuju ke kelasnya. Rakan-rakan sekelasnya ketika sedang berbaris di luar kelas. Amran berdiri di sebelah Sarjit, pasangannya sewaktu latihan badminton. Kemudian, mereka berjalan seiring masuk ke dalam kelas dengan teratur.



“Bagaimana?” Sarjit bertanya tidak sabar-sabar lagi. “Belum ada keputusan. Rehat nanti,” Amran menjawab sambil menuju ke tempat duduknya. Amran duduk di bahgian tengah di barisan kanan sekali dalam kelas itu. Semua murid kelas itu kemudiannya mengeluarkan buku teks untuk menghadapi mata pelajaran pertama.


Cikgu Ravi yang mengajar mata pelajaran Matematik belum muncul-muncul lagi. Masa yang terluang itu membuatkan fikiran Amran melayang. Dia juga teringat akan janjinya dengan Sarjit, iaitu untuk menjalani latihan yang lebih keras lagi di rumah, selain mengikuti latihan di sekolah. Kedua-dua mereka mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengharumkan nama sekolah.


Sarjit mencadangkan mereka berlatih pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Malangnya, hanya Sarjit yang memiliki raket sendiri. Raket milik sekolah pula tidak boleh dibawa balik kerana murid-murid lain juga hendak menggunakannya. Amran pun berasa malu untuk menceritakan masalahnya itu kepada Cikgu Mahadi. Lagipun, kalau boleh mereka tidak mahu orang lain mengetahui latihan intensif yang dirancangkan oleh dia dan Sarjit. Oleh itu, Amran terpaksa membeli sebatang raket untuk kegunaannya sendiri. Jadi, tidak dapat tidak, dia mesti berusaha untuk membelinya.


“Lagipun, inilah kali pertama aku ingin membeli sesuatu yang berharga. Insya-Allah raket itu banyak gunanya kepada aku sehingga aku dewasa.” Begitulah, Amran cuba mententeramkan perasaannya yang begitu meluap-luap kerana ingin memiliki sebatang raket sendiri.

Waktu rehat pada hari itu, Amran tidak pergi ke padang sekolah. Dia tidak berminat lagi untuk melihat rakan-rakannya bermain bola. Lagipun, dia sudah sering melihat rakan-rakannya bermain bola. Lagipun, dia ingat akan janjinya dengan Cikgu Mahadi pagi tadi. Dengan perasaan yang masih berkecamuk, Amran melangkah pergi ke bilik guru.


“Assalamualaikum, cikgu,” Amran memberi salam kepada Cikgu Mahadi. “Hah..., Amran! Mari duduk di sini,” Cikgu Mahadi mempelawa Amran duduk di kerusi di hadapannya selepas dia menjawab salam Amran.


Amran berasa kekok duduk bertentangan dengan Cikgu Mahadi. Tambahan pula, dia tidak pernah duduk di atas kerusi empuk seperti itu. Selama ini di rumahnya, Amran hanya biasa duduk bersila di atas lantai yang berlapikkan tikar pandan usang. Cikgu Mahadi tersenyum melihatkan tingkah laku Amran.


“Bagaimana tentang hasrat kamu tadi? Saya harap kamu telah membatalkannya,” Cikgu Mahadi memulakan perbualan. “Tidak, cikgu. Saya tetap dengan keputusan saya tadi. Saya tidak mempunyai pilihan lain,” kata Amran.


“Tapi, Amran, saya telah berbincang dengan guru besar tentang hasrat kamu itu. Guru besar juga tak setuju dengan keputusan kamu. Saya rasa kamu telah membuat keputusan terburu-buru,” Cikgu Mahadi mengatakan pendapatnya kepada Amran.
“Amran, sebenarnya kamu mempunyai bakat dalam sukan badminton. Bakat kamu akan lebih terserlah jika digilap melalui latihan-latihan-latihan intensif. Saya tidak hairan kalau kamu boleh setanding dengan Rashid Sidek pada suatu hari nanti. Kamu tak boleh menjadikan kemiskinan keluarga sebagai penghalang untuk maju. Jika kamu mengalah, bakat yang kamu ada akan menjadi sia-sia saja,” nasihat Cikgu Mahadi sambil merenung ke arah muka Amran.


“Amran, kamu tahu tak, jika kamu berjaya memenangi pertandingan itu dan seterusnya berjaya ke peringkat kebangsaan, kamu bakal mengharumkan nama sekolah ke seluruh negara. Nama kamu akan disebut-sebut dan menjadi sejarah kepada sekolah kita ini. Dan satu lagi guru besar telah berjanji akan memasukkan kamu ke sekolah khas badminton yang berasrama penuh di bandar. Di sana, kamu dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada sukan dan pelajaran dengan lebih sempurna,” Cikgu Mahadi memberitahu janji guru besar kepada Amran. Amran begitu gembira apabila diberitahu jika dia memenangi pertandingan badminton, dia akan dimasukkan ke sekolah berasrama penuh sukan yang menjadi impiannya selama ini. Dia tidak mungkin melepaskan peluang yang ditunggu-tunggu.

Amran termenung seketika. Tidak terlintas di fikrannya betapa besarnya harapan sekolah dan guru besar pada dirinya. Semangat Amran untuk menjadi jaguh dalam sukan badminton kembali membara setelah mendengar janji guru besar yang disampaikan oleh Cikgu Mahadi. Amran juga berazam akan mempamerkan permainan yang cemerlang nanti. Untuk mencapai cita-cita itu, dia perlu mendapatkan raket untuk berlatih di rumah. Dia tidak mahu cita-citanya patah di tengah jalan...

Dalam perjalanan pulang dari sekolah pada hari itu, Amran berlari-lari riang. Dia telah mendapat akal bagaimana untuk mendapatkan wang bagi membeli raket. Dia telah tekad. Dia mesti mendapat raket yang dihajatinya. Fikirannya tak berserabut lagi.


* * * * * * *

Di sebuah kedai kopi di kampung Sri Tanjung. Pak Hilmi sedang minum sambil berbual dengan Yusof. Sesekali perbualan mereka disulami dengan gelak ketawa. Sambil berbual-bual, mereka mengunyah kacang goreng. Begitulah kebisaannya. Pengunjung kedai kopi itu bukan makan makanan yang berat-berat. Mereka lebih suka memakan kacang goreng, kuaci, keropok atau kuih-muih yang siap terhidang di atas meja. Mereka jarang meminta nasi atau mi kerana mereka ke situ untuk berkumpul dan bersembang-sembang kosong. Apabila tiba waktu makan, masing-masing bersurai. Mereka memilih untuk makan di rumah sendiri. Tuan kedai itu sudah maklum benar perangai pelanggan-pelanggan tetapnya itu.


Pak Hilmi terus mengunyah kacang goreng. Matanya merenung ke arah Yusof. Di dalam fikiran Pak Hilmi, dia sedang merancang sesuatu.


“Mengapa Pak Hilmi merenung saya begitu?” tanya Yusof yang berasa tidak senang dengan pandangan Pak Hilmi. “Tak ada apa-apa. Cuma aku hairanlah tengok engkau ini. Kerja entah apa sangat, tapi duit sentiasa ada,” kata Pak Hilmi.

“Ohh, begitu! Kita ni hidup di kampung. Banyak kerja yang boleh kita buat tak bolehlah kita bergantung hidup dengan memikat atau meracik burung saja,” Yusof memberi pandangan ikhlas kepada Pak Hilmi.


Pak Hilmi terdiam mendengar kata-kata Yusof. Dia tahu Yusof menyindirnya. Hatinya terbuku. Tujuan sebenar dia memuji Yusof ialah untuk meminjam wang lagi daripada pemuda itu. Sebaliknya, Yusof menempelaknya pula dengan kata-kata sindiran yang memedihkan hati. Tetapi, Pak Hilmi tidak boleh berbuat apa-apa. Lagipun, kata-kata Yusof itu memang kena pada dirinya.


Yusof memang seorang pemuda yang rajin. Sesungguhnya dia kerap mengikut Pak Hilmi pergi meracik dan memikat burung, tetapi dia tidak pergi dengan tujuan itu semata-mata. Jika Pak Hilmi duduk termenung menanti jeratnya mengena, sebaliknya Yusof pula sibuk mencari damar atau rotan untuk dibawa pulang. Dari situlah dia dapat menambahkan pendapatannya, selain hasil jualan kambing dan susu lembu ternakannya. Bagi Yusof, meracik burung hanyalah hobi. Kalau dapat burung-burung yang baik, bolehlah dijual. Kalau tak dapat pun tak mengapa.


Berlainan pula dengan sikap Pak Hilmi yang memang mengharapkan mendapat burung merbuk atau tekukur. Ini kerana kedua-dua jenis burung itu memberi pendapatannya yang agak lumayan. Jika Pak Hilmi tidak dapat memikat burung-burung tersebut, bermakna tidak berwanglah dia. Tambahan pula, sekarang ini bukan senang hendak mendapatkan burung-burung itu lagi. Kebelakangan ini, tiga empat kali Pak Hilmi pergi meracik burung dan dia terpaksa balik dengan tangan kosong saja.


Pak Hilmi terus mencongak-congak sendiri masa yang sesuai untuk meminjam wang daripada Yusof. Hanya Yusof yang nampak ketika itu.


“Pak Hilmi, apa pula yang difikikan tu?” tegur Yusof. “Sop, ikut aku sekejap,” kata Pak Hilmi sambil bangun daripada duduknya. Kemudian, Pak Hilmi pergi ke bawah sepohon jambu yang rendang berhampiran dengan kedai kopi tersebut. Dia mahu menjauhkan diri daripada orang lain di kedai itu. Pak Hilmi tak mahu orang lain mendengar perbualannya dengan Yusof.


“Apa halnya. Pak Hilmi? Serius nampaknya,” kata Yusof sebaik sahaja berada di bawah pokok jambu itu. “Beri aku pinjam dua ratus ringgit, Sop!” Pak Hilmi berterus terang.


“Pak Hilmi nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” tanya Yusof kehairanan. “Engkau beri sajalah. Tak payah banyak tanya,” Pak Hilmi menjawab tegas tanpa mengatakan tujuannya.


“Maaf, Pak Hilmi. Saya tak ada duit sebanyak itu,” Yusof memberi alasan. Kemudian, dia pergi ke kedai kopi itu semula.

Merah padam muka Pak Hilmi apabila mendengar jawapan Yusof. Pak Hilmi menyangkakan Yusof akan meminjamkan wang kepaadanya dengan senang. Rupa-rupanya sangkaan Pak Hilmi salah. Dia cepat-cepat pergi mendapatkan Yusof semula. “Tolonglah aku, Sop,” kata Pak Hilmi dengan lembut.


“Pak Hilmi... sungguhpun saya suka mengikut Pak Hilmi ke mana-mana, tapi tak bermakna saya menuruti segala kata dan kelakuan Pak Hilmi. Kadang-kadang saya pun pelik. Saya yang masih bujang pun merasa risau jika tak ada pendapatan tetap. Tapi, saya lihat Pak Hilmi ni cukup bahagia dapat memerah hasil titik peluh Mak Limah. Saya simpati melihat Mak Limah tu... berhempas pulas mencari rezeki untuk keluarga,” Yusof meluahkan perasaannya yang terpendam selama ini kepada Pak Hilmi.


Pak Hilmi terdiam mendengar kata-kata Yusof. Dia tidak berani bersuara untuk meminjam wang daripada pemuda itu. Sejurus selepas itu, Pak Hilmi pun beredar dari situ. Di telinganya terngiang-ngiang kata-kata Yusof yang cukup memedihkan hatinya. Sambil mengayuh basikal buruknya perlahan-lahan. Pak Hilmi memikirkan kata-kata Yusof sebentar tadi dengan mendalam.Sedikit cahaya keinsafan di hatinya.

0 comments: