CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, February 27, 2008

BAB 6


Langkah Amran pada petang itu tidak teratur lagi. Sekejap dia berjalan dengan laju dan seketika kemudian, langkahnya menjadi amat perlahan. Badannya yang keletihan dan perutnya yang kelaparan membuatkan Amran benar-benar tidak berdaya. Ini ditambah pula dengan perasaannya yang resah gelisah kerana memikirkan kata-kata Cikgu Mahadi tadi. Walaupun dalam keadaan begitu, Amran terus juga menapak menuju ke rumahnya.


Ketika memasuki halaman rumah, Amran melihat ayahnya sudah tercegat di muka pintu. Dadanya segera berdebar kencang. Begitu juga dengan Pak Hilmi. Jika dada Amran berdegup kencang kerana takut, dada Pak Hilmi berdegup kencang kerana marah. Dia memperhatikan Amran melangkah sambil mengenggam erat tali pinggang di tangan kanannya. Hatinya semakin membara apabila melihat Amran melangkah lambat-lambat. Pada fikiran Pak Hilmi, Amran sengaja mahu membakar api kemarahannya.


“Anak tak dengar kata! Mana kamu merayau?” tanya Pak Hilmi sambil melibaskan tali pinggang ke badan Amran.


Ketika itu Amran sedang membongkok untuk membuka tali kasut usangnya. Libasan tali pingggang yang singgah di lengannya itu benar-benar memedihkan. Amran tidak dapat menahan kesakitan. Dia menangis. Pak Hilmi tidak menghiraukan tangisan Amran. Malah, dia semakin kuat melibaskan tali pinggang itu. Kali ini ke belakang Amran.


Sambil melibaskan tali pinggang ke badan Amran, mulut Pak Hilmi tidak henti menceceh-ceceh. ‘Mentang-mentanglah aku buat tak kisah apabila kamu balik lewat petang semalam, hari ini kamu naik lemak pula. Sampai nak masuk maghrib, baru nak balik ke rumah! Sekarang biar kamu rasa!”


Dalam pada itu, Marlina yang sibuk menyusun kayu api di bawah dapur terkejut mendengarkan tangisan Amran. Serta-merta dia bangun. Malangnya, kepala Marlina terhantuk pada lantai bahagian bawah dapur kayu itu. Marlina mengusap-usap kepalanya. Dia pening seketika. Dalam keadaan terhoyong-hayang, Marlina terus meluru ke muka pintu. Dia menjerit melihatkan Amran yang sedang menangis dikerjakan oleh ayahnya.


“Sudahlah, ayah! Sudahlah….!” Marlina merayu. Pak Hilmi tidak menghiraukan rayuan anak gadisnya itu. Tangannya terus sahaja melibas tali pinggang ke arah Amran. Apabila ayahnya tidak mempedulikan rayuannya, Marlina memeluk Amran. Dia membiarkan Pak Hilmi yang sedang naik hantu melibas badannya pula.


Amran yang kesakitan berasa selamat apabila dilindungi oleh kakaknya. Marlina memeluk Amran erat-erat. Tetapi, kepalanya yang sakit akibat terhantuk pada lantai dapur dan ditambah dengan libasan tali pinggang membuatkan Marlina tidak dapat bertahan lama. Lama-kelamaan, pelukannya itu semakin longgar, dan akhirnya tangannya terkulai. Dia pengsan.


Apabila melihat keadaan Marlina yang pengsan, Pak Hilmi terhenti daripada terus memukul kedua-dua anaknya itu. Dia sendiri terkejut melihatkan apa yang berlaku. Kebetulan ketika itu, Mak Limah tiba di rumah. Sebenarnya, dari jauh lagi Mak Limah sudah terdengar hiruk-pikuk dari arah rumahnya. Mak Limah mempercepatkan langkahnya. Mak Limah terkejut besar melihatkan keadaan Amran dan Marlina.


“Abang! Mengapa ni? Apa yang dah berlaku?” Mak Limah bertanya dengan cemas. Pak Hilmi hanya mendiamkan diri.


Dari atas rumah, kedengaran Saiful menangis ketakutan. Mak Limah kebingungan. Perasaannya menjadi tidak keruan. Perlahan-lahan dia beristighfar beberapa kali. Kemudian, Mak Limah memapah Marlina naik ke atas rumah dan membaringkan anaknya itu di serambi rumah. Amran turut dibaringkan di sebelah Marlina. Mak Limah mendapati muka Amran sangat pucat. Lengannya pula lebam-lebam bekas libasan tali pinggang sebentar tadi.


“Saiful, mari sini sayang,” Mak Limah memanggil anak bongsunya dengan lembut. Mak Limah memujuk Saiful yang teresak-esak menangis kerana ketakutan apabila melihat kakak dan abangnya teruk dipukul oleh ayah mereka.

“Kamu baru balik sekolah, Amran? Mak Limah bertanya kepada Amran yang mula kelihatan tenang. Amran yang berbaring dengan membelakangkan emaknya menoleh dengan mengangguk. Mukanya berkerut-kerut menahan kesakitan.


“Dah makan?” Mak Limah bertanya lagi. “Belum….,” lemah sahaja Amran menjawab.


Sementara itu, Mak Limah terus mengipas-ngipas Marlina. Tuala yang telah dibasahkan dengan air suam disapukan ke muka Marlina. Seketika kemudian, Marlina pulih daripada pengsannya. Dia membuka matanya perlahan-lahan.


“Mak…,” tiba-tiba Marlina bersuara untuk mengadu. “Sudahlah Liza…., mak tahu apa yang terjadi. Kamu berehatlah. Mak nak ambilkan nasi untuk Amran. Kasihan adik kamu tu. Dia belum makan lagi,” kata Mak Limah sambil bangun daripada duduknya.


Marlina agak terkejut apabila mengetahui Amran belum makan. Dia segera memegang tangan adiknya yang kelihatan tidak bergerak-gerak. Marlina mengangkat kepalanya sedikit dan menjenguk muka adiknya. Rupa-rupanya Amran tertidur dalam kelaparan. Kasihan Amran bisik hati Marlina sambil mengusap-usap kepala adiknya itu.




Mak Limah muncul semula dengan membawa sepinggan nasi. Dia menggerakkan Amran perlahan-lahan. “Amran, bangun nak…makan dulu. Nanti perut masuk angina,” ujar Mak Limah sambil menggoyang bahu Amran.


Amran membuka matanya. “Mak, sakit mak,” Amran mengadu sambil membuka bajunya untuk menunjukkkan belakangnya yang lebam-lebam kepada emaknya. Amran berasa amat sedih kerana diperlakukan begitu oleh ayah sendiri. Secara spontan, air mata jernih mula berlinangan di pipinya.


Mak Limah menjadi semakin sayu. Dia bangun lalu mengambil ubat. Dia menyapu ubat ubat yang dia sendiri tidak pasti kegunaannya ke badan Amran. Marlina hanya memperhatikan sahaja.


Malam itu, suasana di rumah Pak Hilmi murung sahaja. Tiada siapa yang berminat untuk bercakap-cakap. Tambahan pula, Pak Hilmi ada di rumah. Dia baru balik setelah menghilangkan diri selepas peristiwa petang tadi. Pak Hilmi duduk termenung di muka pintu. Sebenarnya, dia langsung tidak manyesali tindakannya terhadap Marlina dan Amran. Pak Hilmi rasa, dia telah membuat tindakan yang wajar. Padanya, anak-anak yang pulang lewat dari sekolah, sudah tentu membuang masa di tempat lain atau befoya-foya dengan budak-budak liar kampung itu.



Bagi Pak Hilmi, selepas sahaja waktu sekolah tanpa ada hal yang betul-betul penting, dia seorang yang suka berfoya-foya. Pak Hilmi membuat tuduhan itu berdasarkan pengalamannya sendiri. Disebabkan dia sendiri suka berfoya-foya, lantas dia menganggap orang lain juga sama sepertinya. Marlina seperti juga Amran turut dikawal ketat oleh Pak Hilmi.


“Limah! Limah!” Pak Hilmi memanggil isterinya. Mak Limah yang sedang menyapu ubat di badan Marlina, bangun mendapatkan suaminya di pintu hadapan. Pak Hilmi memandang ke dalam apabila mendengar bunyi tapak kaki Mak Limah menghampirinya.


“Engkau dah tanya budak tu, mana dia pergi selepas sekolah tadi?” Pak Hilmi bertanya dengan kasar kepada isterinya. Mak Limah yang memang tidak gemar dengan sikap Pak Hilmi terfikir-fikir untuk mencari jawapan.


“Belum! Saya balik pun dah petang. Lepas tu, tengok budak-budak tu hampir mati awak belasah. Tak kuasa saya nak menyoal siasat lagi,” Mak Limah menjawab dengan nada yang agak tinggi.


“Sudah! Jangan nak cari kesalahan aku pula. Aku tanya engkau, bukannya suruh engkau berleter. Sia-sia jadi ibu kalau anak-anak tidak terjaga,” kata Pak Hilmi. “Habis, awak tu…jadi ayah..,” kata-kata Mak Limah terhenti di situ.

Pak Hilmi yang sudah berdiri sambil mencekak pinggang, mengjegilkan mata memandang Mak Limah. Mak Limah tahu, jika dia membalas cakap Pak Hilmi, pergaduhan pasti terjadi. Oleh sebab tidak mahu perkara itu berlaku, Mak Limah terus masuk ke dalam rumah.


Pak Hilmi turut masuk ke dalam rumah. Dia menuju ke dapur untuk menghadap makan malam. Matanya terkebil-kebil memandang hidangan di bawah tudung saji yang belum terusik. Ini bermakna semua orang di dalam rumah itu belum makan.


“Marlina! Saiful! Maknya! Mari makan sekali,” panggil Pak Hilmi. Kemudian, dia teringat akan sesuatu. Lalu Pak Hilmi memanggil nama Amran pula. Tetapi, Amran tidak menampakkan muka. Mak Limah tahu Amran merajuk. Oleh sebab itu, dia membiarkan Amran melayan perasaannya. Selesai makan nanti, dia akan memberikan makanan malam kepada Amran.


Dalam pada itu, Marlina menyuap nasi ke mulutnya perlahan-lahan. Matanya masih bengkak kerana menangis sewaktu dilibas oleh ayahnya tadi. Sepanjang waktu makan malam itu, Marlina menundukkan kepalanya. Dia langsung tidak memandang ke arah ayahnya. Hatinya masih terbuku. Hanya Saiful yang belum pandai menyimpan apa-apa perasaan sibuk meminta itu dan ini daripada Mak Limah.



Pak Hilmi juga tidak banyak bercakap semasa makan. Sesekali dia mengerling ke arah Marlina. Dia tahu anak gadis sulungnya itu benar-benar jauh hati dengannya. Tetapi, Pak Hilmi tidak peduli. Dia tidak berasa bersalah sedikit pun.


“Hem…, sikit-sikit nak merajuk! Tak boleh diajar langsungkah?” Pak Hilmi merungut seorang diri.


Marlina mengerling ke arah emaknya. Dia tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan. Marlina dan Mak Limah saling berpandangan.

0 comments: