CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, February 27, 2008

BAB 2


Tersergam indah Sekolah Alam Shah. Cuaca pada hari itu seolah-olah seperti begitu mengalu-alukan kedatangan para pelajar baharu ke sekolah itu. Kelihatan begitu ramai para ibu bapa yang datang menghantar anak mereka mendaftar. Pelbagai gelagat para ibu bapa dan anak masing-masing dapat dilihat di sekitar sekolah elit itu. Sungguh mencuit hati Amran.


Hari tersebut merupakan hari pendaftaran bagi kemasukan para pelajar baharu tingkatan satu. Mak Limah, Marlina dan Saiful pergi menghantar Amran ke situ dengan menaiki teksi memandangkan keluarga mereka tidak mempunyai kenderaan lain, melainkan basikal buruk Pak Hilmi. Mak Limah mengambil cuti tanpa gaji selama sehari semata-mata untuk menghantar Amran ke sekolah barunya.


Pak Hilmi tidak turut serta menghantar Amran. Itu yang membuatkan Amran berasa begitu sedih. Walau bagaimanapun, Amran sudah masak benar dengan sikap Pak Hilmi dan dia tidak begitu mengambil hati kerana dia sudah selalu makan hati dengan sikap Pak Hilmi. Amran hanya berdoa moga-moga suatu hari nanti Pak Hilmi akan berubah dan mengharapkan dimakbulkan doanya untuk merasai nikmat kasih sayang yang sebenar daripada seseorang yang bergelar ayah.


Sejurus tiba di dewan besar di mana tempat pendaftaran dibuat, Amran terus pergi menuju ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar dan memberikan segala dokumen yang diminta dibawa bersama-sama dengan Amran seperti surat tawaran, laporan pemeriksaan kesihatan, sijil beranak, sijil berhenti sekolah, beberapa keping gambar dan lain-lain.


Selepas selesai berurusan di kaunter pendaftaran, Amran dibawa ke dormnya oleh pembantu pelajar yang bertugas pada hari pendaftaran tersebut. Langkahnya dituruti oleh Mak Limah, Marlina dan Saiful yang sedang menolong Amran menjinjing beg-beg pakaian dan barangan keperluan Amran sehingga sampai di dorm di mana Amran akan ditempatkan.


“Adik Amran, jemputlah masuk. Ini tempat tidur adik. Adik boleh kemaskan barang-barang adik dulu kerana pada petang nanti program orientasi akan bermula. Adik boleh lihat jadual orientasi yang ada terkandung dalam buku orientasi yang adik dapat semasa pendaftaran tadi. Jika adik ada sebarang masalah, beritahulah kepada abang ataupun adik boleh juga beritahu kepada mana-mana pembantu pelajar yang lain. Mereka sedia membantu adik jika ada ada sebarang masalah,” kata Zulkifli lembut sambil tersenyum. Zulkifli merupakan salah seorang pembantu pelajar bagi pelajar baharu Sekolah Alam Shah.


“Terima kasih, bang.” jawab Amran dengan rasa hormat. Justeru itu, Amran mengemas barangannya yang turut dibantu oleh Mak Limah dan Marlina. “Am, bertuah kamu dapat belajar di sini. Suasana dan keadaan di sini begitu selesa. Mak nak Am belajar bersungguh-sungguh. Jangan disia-siakan peluang ini. Gunakan peluang yang ada sebaik mungkin. Mak tak mampu nak bagi kamu keselesaan begini di rumah kita,” Mak Limah menasihati Amran yang sedang sibuk mengemas loker peribadinya.


“Insyaallah, mak. Am akan cuba sedaya upaya untuk berjaya. Mak janganlah risau,” balas Amran. “Am perlu berbaik-baik dan bertegur sapa dengan semua orang dekat sini nanti ye. Jangan sombong nanti diri sendiri yang rugi, Am.” Mak Limah menasihati Amran lagi. Amran mendengar dengan tekun segala nasihat yang diberikan olah Mak Limah. Marlina hanya mendengar sahaja perbualan Mak Limah dan Amran kerana dia sedang ghalib memasangkan cadar untuk Amran.


Selesai mengemas, Amran menghantar mak dan adik-beradiknya menuju ke tempat letak kereta ibu bapa. Mak Limah sekeluarga akan pulang ke rumah dengan teksi yang membawa mereka tadi. Pak Badar, pemandu teksi tersebut merupakan orang kampung Sri Tanjung juga. Dia merupakan kawan kepada Pak Hilmi.


Sebelum berpisah, Amran bersalam-salaman dengan keluarganya dann mengucapkan selamat tinggal. Begitu sedihnya hati Amran kerana inilah kali pertama dia akan tinggal berjauhan dengan keluarganya. Namun, Amran tahu di harus tabah menghadapi segalanya kerana inilah impian dan harapan keluarganya.



Minggu orientasi berjalan dengan lancar. Secara tidak langsung, Amran dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekolah tersebut. Amran mendapat ramai kawan kerana dia tidak lokek untuk bertegur sapa dan menghulurkan salam perkenalan kepada rakan-rakan barunya di sana. Walaupun kebanyakan mereka datang dari keluarga yang berada, tetapi mereka tidak pernah memandang rendah kepada kekurangan Amran. Inilah bezanya suasana sekolah baru Amran dengan sekolah Amran yang lama.


Di Sekolah Alam Shah, mereka saling merasakan meraka adalah sebuah keluarga yang besar yang akan sentiasa bersama-sama berusaha serta bekerjasama dalam usaha mengukir dan mengharumkan nama Sekolah Alam Shah ke seluruh pelusuk tanah air. Jika di sekolah lamanya dahulu, status menjadi penghalang untuk mereka bergaul antara satu sama lain. Amran tidak seperti pelajar yang lain kerana dia datang dari keluarga yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan. Amran sering dijadikan bahan ejekan dan cacian. Walau bagaimanapun, Amran tidak mudah patah semangat dan tidak menghiraukan semua itu. Apa yang lebih penting baginya adalah belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang berilmu dan disegani semasa dewasa kelak.


Walaupun keadaan di asrama begitu selesa jika hendak dibandingkan dengan rumah Amran, tetapi Amran begitu merindui keluarganya dan rakan-rakan sekolah rendahnya dahulu. Kebanyakan rakan-rakan sekolah rendahnya menyambung pengajian mereka ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Sri Tanjung di mana sekolah itu terletak bersebelahan dengan sekolah lama Amran.

“Amran, awak dah fikir untuk ambil bahasa asing yang mana satu?” tanya Budiman selepas habis ceramah di dewan besar. “Saya rasa saya mahu ambil bahasa Arab. Bagaimana pula dengan kamu, Budiman?” tanya Amran. “Kita sama la, Amran. Saya pun berfikir untuk mengambil bahasa Arab. Nanti bolehlah saya memahami serba sedikit isi kandungan ayat-ayat dalam Al-quran,” jawab Budi sambil tersenyum. “Memang betul apa yang awak katakan, Budiman.” balas Amran ringkas. Selepas itu, mereka berjalan beriringan menuju ke dewan makan.


Pada tahun pertama pengajian di sana, para pelajar akan ditempatkan mengikut bahasa asing yang mereka ingin pelajari. Bahasa asing yang ditawarkan kepada para pelajar baharu adalah antaranya bahasa Arab, bahasa Perancis dan bahasa Jepun. Para pelajar wajib mengambil salah satu daripada bahasa asing tersebut untuk dipelajari.


* * * * * * *

Enam bulan telah berlalu. Amran sudah lama tidak pulang ke kampung halamannya untuk bertemu dengan keluarga. Walaupun jarang pulang ke kampung, setiap bulan Amran tidak akan lupa untuk menulis surat kepada keluarganya untuk memberitahu keadaan dirinya di sekolah tersebut. Amran tidak sabar untuk menunggu cuti penggal kerana pada waktu itulah dia mendapat peluang untuk bercuti di kampung halamannya. Dalam pada masa yang sama, Amran sebenarnya ingin berbincang sesuatu dengan Mak Limah dan kakaknya, Marlina. Amran tidak tahu bagaimana ingin dia nyatakan kepada Mak Limah dan Marlina kelak. Tetapi, dia harus memberitahu perkara yang sebenar kepada emak dan kakaknya. Lambat laun mereka akan tahu juga.


Amran tidak dapat bertahan lagi. Amran tahu bahawa dia akan mengecewakan Mak Limah dan Marlina. Keinginannya untuk ke sekolah sukan tidak pernah pudar, malah semakin kuat. Amran tidak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya. Amran tidak tahu mengapa perasaan sebegini hadir dalam benak hatinya. Mungkin disebabkan dia banyak memendam rasa selama ini dan mungkin disebabkan dia tinggal berjauhan dengan keluarganya.


Walaupun pada mulanya Amran sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekolah, tetapi lama-kelamaan Amran merasakan yang dia tidak mampu bertahan untuk tinggal lebih lama di sekolah berasrama penuh walaupun dia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Amran merasakan dia terlalu muda dan masih mentah untuk berdikari. Dia masih mengharapkan perhatian dan sokongan daripada emak, kakaknya dan juga Pak Hilmi. Ingatan Amran kepada Pak Hilmi makin menjadi-jadi. Dia amat merindui ayahnya itu walaupun hubungan mereka tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, sekeras-keras hati Pak Hilmi, dia masih ayah kepada Amran. “Ya Allah, berilah aku petunjukMu dan berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini untuk menghadapi segala ujian dariMu, Ya Allah,” Amran berdoa selepas dia selesai menunaikan solat Zohor.


Keadaan Amran sedikit sebanyak telah menjejaskan pelajarannya. Dalam masa enam bulan, dari satu bulan ke satu bulan keputusan pelajarannya merosot. “Amran, cikgu nak jumpa kamu semasa rehat. Kamu datang cari cikgu di bilik guru nanti,” kata Cikgu Syaril kepada Amran. Cikgu Syaril merupakan guru kelas Amran. Cikgu Syaril memerhatikan graf keputusan Amran semakin merosot dan dia ingin mencari apakah punca sebenar keadaan ini boleh berlaku kepada Amran. “Baik cikgu.” jawab Amran pendek. Amran sudah dapat mengagak mengapa Cikgi Syaril ingin berjumpa dengannya. Amran sudah bersedia untuk menjawab segala persoalan yang bakal diajukan nanti.


“Assalammualaikum cikgu,” Amran memberi salam apabila dia menghampiri meja Cikgu Syaril. “Waalaikumussalam..Oh kamu, Amran. Sila duduk Amran.” jemput Cikgu Syaril. “Terima kasih cikgu,” jawab Amran. “Adakah kamu tahu kenapa cikgu ingin berjumpa dengan kamu, Amran?” tanya Cikgu Syaril.


“Saya tahu, cikgu. Saya tahu cikgu hendak bertanya mengapa pelajaran saya semakin merosot, bukan?” teka Amran. “Cikgu, saya rasa saya tidak sesuai belajar di sini. Fikiran saya terganggu kerana asyik teringat akan keluarga saya di kampung. Saya tahu saya harapan mereka, cikgu. Tapi saya tak mampu lakukan. Saya telah cuba dalam tempoh setengah tahun ni untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran di sekolah ni, tapi kesannya pelajaran saya jadi makin merosot. Saya tidak nafikan keadaan di sini lebih baik daripada kampung halaman saya. Saya tak sanggup berjauhan dengan keluarga. Saya merasakan tempat ini bukan tempat saya cikgu,” tambah Amran lagi dalam keadaan yang sebak.


Inilah kali pertama Amran meluahkan perasaannya yang sebenar. Cikgu Syaril bersimpati mendengar penjelasan daripada Amran. Sekarang barulah dia tahu punca sebenar mengapa pelajaran Amran terganggu.


“Jadi maksud kamu, kamu hendak berhenti belajar di sini?” tanya Cikgu Syaril lagi. “Saya rasa itulah yang terbaik untuk saya, cikgu. Bagi saya, sama sahaja jika belajar di sekolah asrama ataupun sekolah harian biasa. Di mana-mana kita belajar pun, kita boleh berjaya,” balas Amran.


“Kamu dah fikir masak-masak mengenai perkara ini? Kamu yakin, kamu tidak akan menyesal dengan keputusan yang bakal kamu buat?” Cikgu Syaril meminta kepastian daripada Amran. “Ya, cikgu. Saya dah fikir masak-masak mengenai perkara itu dan saya tidak akan menyesal dengan keputusan yang saya buat. Cikgu sebenarnya saya bercita-cita untuk menjadi seorang pemain badminton yang terkenal. Saya menerima tawaran masuk ke sini adalah kerana emak dan kakak saya begitu mengharapkan saya untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Saya tidak mahu menghampakan mereka,” Amran bercerita panjang lebar.


“Sekarang cikgu sudah mengetahui segala-galanya, Amran. Jika itu yang kamu rasakan terbaik untuk diri kamu, teruskan sahaja. Cikgu menyokong kamu. Cikgu akan menolong kamu untuk proses permohonan tukar sekolah,” kata Cikgu Syaril. “Terima kasih banyak-banyak cikgu,” jawab Amran gembira kerana Cikgu Syaril secara sukarela ingin membantunya bertukar ke sekolah harian biasa.
Amran mengambil keputusan untuk bertukar ke Sekolah Menengah Sri Tanjung. Keputusan itu hanya diketahui Cikgu Syaril kerana Cikgu Syaril yang akan membantu Amran bertukar ke sekolah di Sri Tanjung. Amran akan memberitahu keluarganya mengenai keputusan itu semasa dia pulang pada cuti penggal nanti.


Perasaan Amran bercampur baur. Gembira kerana tidak perlu berjauhan dengan keluarganya lagi, sedih kerana dia mengecewakan harapan keluarga, berat hati meninggalkan guru-guru serta rakan-rakannya di Sekolah Alam Shah dan sebagainya.


* * * * * * *

Kepulangan Amran ke rumah begitu menggembirakan Marlina dan Saiful. Sewaktu Amran tiba di rumah, Mak Limah belum pulang dari ladang. Pak Hilmi pula entah ke mana perginya. “Am, kenapa kamu dah kurus sekarang ini? Am tak cukup makan ke kat sana?” Marlina menegur perubahan fizikal Amran yang kelihatan semakin kurus.


“Mana adalah kak. Am makan banyak dekat sana. Mungkin aktiviti seharian di sana menyebabkan Am tak cukup rehat, kak,” Amran memberi alasan. Dia tidak bersedia lagi untuk memberitahu Marlina apa yang telah terjadi pada dirinya semasa tinggal di asrama.


“Kalau begitu baiklah Am. Kakak cuma tidak mahu apa-apa terjadi pada diri Am. Nanti risau pula mak tengok Am dah kurus. Am berehatlah dulu di dalam bilik ye. Kakak mahu menyediakan makan malam di dapur,” jelas Marlina dengan terperinci. “Kakak jangalah risau. Am tak apa-apa,” balas Amran. Amran menjinjing beg pakaiannya ke bilik dituruti oleh Saiful. Perbualan Marlina dan Amran terhenti di situ.


Tidur Amran terjaga apabila terdengar akan suara Mak Limah berbual-bual dengan Marlina dari arah luar. Mak Limah begitu gembira mendapat tahu Amran pulang ke rumah. “Am apa khabar?” tanya Mak Limah yang terus ke bilik tidur apabila mengetahui Amran berada d dalam. “Am khabar baik, mak,” jawab Amran sambil mencium tangan Mak Limah. “Am berehatla dulu. Nanti waktu makan, mak kejutkan Am bangun,” kata Mak Limah kepada Amran. Amran hanya menganggukkan kepala kerana sememangnya kepenatannya masih terasa.


Pada malam itu, mereka sekeluarga makan bersama-sama dengan perasaan yang gembira kerana kepulangan Amran. Cuma Pak Hilmi sahaja yang bersikap seperti tidak ada apa-apa yang mengembirakan yang berlaku pada hari itu. Sungguh berselera Mak Limah makan pada malam itu. Kegembiraan di hati Mak Limah terpancar. Mak Limah tidak henti-henti bercerita dengan Amran tentang pelbagai perkara yang berlaku semasa ketiadaan Amran. Mak Limah seperti setahun lamanya tidak berjumpa dengan Amran.


“Am, tambah la lauk tu,” kata Mak Limah sambil tersenyum ke arah Amran yang sedang menjamu selera. “Bukan setakat lauk Am tambah mak, nasi pun Am nak tambah ni. Dah lama Am tak makan masakan mak,” kata Amran sambil menyenduk nasi ke dalam pinggannya. Pak Hilmi ketika itu telah selesai makan lalu bangun dan beredar naik ke atas rumah. Amran melihat sahaja tingkah laku ayahnya. Terubat sedikit rindu Amran pada Pak Hilmi setelah dapat melihat wajah ayahnya yang sekian lama tidak muncul di hadapannya.


“Mak..Am ada sesuatu yang hendak diberitahu…” kata Amran kepada emaknya yang sedang menyuapkan nasi kepada Saiful. “Tentang apa yang Am nak beritahu mak ni. Beritahu sajalah Am. Mak sedia mendengarnya.” jawab Mak Limah dengan nada yang lembut. “Mak sebelum Am beritahu mak ni, Am nak mohon maaf kepada mak, kak jika apa yang akan Am beritahu kalian akan mengecewakan kalian.


Mak Limah dan Marlina tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Amran. Mereka kelihatan cemas dan tidak sabar-sabar untuk mendengar penjelasan daripada Amran. “Mak…Kakak..Am dah buat keputusan. Am nak berhenti belajar di sekolah asrama. Am nak belajar dekat sini saja. Am tahu Am telah mengecewakan impian mak. Am tak mampu bertahan tinggal berjauhan daripada keluarga. Memang semua kemudahan kat situ sempurna tapi Am rasa itu bukan tempat Am. Tempat Am di sini, mak. Am lebih selesa belajar di sini. Tidak kira tempat, jika kita berusaha pasti kita akan berjaya, mak. Am janji pada mak dan kakak yang Am akan belajar bersungguh-sungguh dan takkan kecewakan mak dan kakak lagi. Berilah Am peluang tentukan hidup Am, mak...Am minta maaf banyak-banyak,” luah Amran kepada Mak Limah dan Marlina. Amran berasa begitu lega setelah dia meluahkan segala-gala kepada Mak Limah dan Marlina.



“Tak mengapalah, Am. Jika itu yang Am rasakan terbaik, mak sokong Am. Mak bukannya apa Am..Mak nak tengok kamu berjaya dalam hidup tapi jika kamu merasakan kamu tidak sesuai tinggal di asrama, jangan paksa diri kamu. Apa-apa pun mak berbangga dengan kamu kerana kamu tabah menghadapi liku kehidupan di asrama buat beberapa bulan kamu berada di sana,” balas Mak Limah dengan tenang. “Betul cakap mak, Am..Jangan paksa diri. Buat keputusan ikut kata hati Am. Kami tidak akan membangkang malah menyokong Am,” sampuk Marlina.


Amran tidak menyangka bahawa Mak Limah dan Marlina tidak memarahi atau membangkang keputusan yang telah dibuatnya. Fikiran Amran teringat akan Pak Hilmi. Apakah yang akan diperkatakan oleh Pak Hilmi mengenai keputusannya? Getus hati Amran. Walau apa pun yang terjadi, Amran sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan yang akan berlaku.


* * * * * * *

Cuti penggal telah berakhir. Ini bermakna Amran akan pulang ke asramanya untuk menyelesaikan pertukaran sekolahnya ke Sekolah Menengah Sri Tanjung. Kepulangan Amran ditemani oleh Marlina dan Saiful. Mak Limah tidak turut serta kerana bekerja. Banyak perkara yang perlu Amran selesaikan sebelum dia bertukar sekolah. Walaupun proses pertukaran sekolah Amran semuanya telah diuruskan oleh Cikgu Syaril tetapi dia perlu memaklumkan kepada pihak Kementerian Pelajaran mengenai statusnya sebagai penerima biasaisiwa perlu ditamatkan kerana dia akan bertukar sekolah ke sekolah harian biasa.

“Amran, kamu apa khabar? Cikgu dah uruskan semuanya untuk kamu. Sekolah Menengah Sri Tanjung telah dimaklumkan mengenai pertukaran kamu ke sana. Jadi, tiada sebarang masalah bagi kamu untuk mendaftarkan diri di sana nanti. Ini surat sokongan dan surat pertukaran sekolah. Semasa pendaftaran nanti, kamu perlu bawa bersama surat-surat ini sebagai bukti,” Cikgu Syaril memberi penerangan kepada Amran.


“ Saya khabar baik, cikgu. Cikgu, terima kasih saya ucapkan kepada cikgu kerana cikgu telah banyak membantu saya. Saya ada bawakan cikgu sedikit buah tangan untuk cikgu,” Amran berkata sambil menghulurkan ubi rebus kepada Cikgu Syaril.


“Susah-susah sahaja kamu ni, Amran. Memang tugas cikgu membantu kamu. Terima kasih kerana beri cikgu buah tangan ni. Cikgu pun dah lama tak makan ubi rebus. Tentu sedapkan,” jawab Cikgu Syaril. “Biasa saja cikgu. Makanan orang kampung. Cikgu, saya minta diri dulu. Saya perlu mengambil pakaian dan barangan saya yang masih ada di dalam dorm,”kata Amran lagi.


“Baiklah Amran. Saya ucapkan selamat berjaya dan semoga apa yang kamu impikan akan menjadi kenyataan,” balas Cikgu Syaril. “Baik cikgu. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada cikgu. Sampaikan salam saya kepada semua ya, cikgu.” Jawab Amran sambil mencium tangan Cikgu Syaril.


Setelah selesai meletakkan beg-begnya di dalam teksi Pak Badar, Amran mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya. Memang Amran berasa begitu sedih untuk berpisah dengan rakan-rakannya tetapi perjuangan hidupnya masih belum selesai. Kenangan belajar di Sekolah Alam Shah akan sentiasa tersemat dalam memori Amran walaupun jauh di mata..


* * * * * * *


Persekolahan Amran di Sekolah Menengah Sri Tanjung berjalan dengan lancar. Pada mulanya, ramai rakan-rakannya di sana berasa terkejut setelah mendapat tahu Amran membuat keputusan berhenti belajar di sekolah berasrama penuh. Lama-kelamaan mereka mengetahui sebab mengapa Amran bertukar sekolah dan sebenarnya rakan-rakan Amran di Sekolah Menengah Sri Tanjung begitu bangga dengan pencapaian Amran.


* * * * * * *

Dua tahun telah berlalu, prestasi pelajaran Amran meningkat dengan mendadak. Sudah dua kali berturut-turut Amran menjadi pelajar terbaik di sekolahnya. Di sekolah, Amran juga giat bersukan terutamanya sukan badminton. Jika ada festival sukan atau hari sukan sekolah, Amran tidak melepaskan peluang untuk menyertainya. Amran mengimpikan supaya suatu hari nanti dia dapat mengharumkan nama Sekolah Menengah Sri Tanjung.

0 comments: